Ramai bakal ibu dengan ketinggian di bawah 1.5 meter sering tertanya-tanya, apakah jalan terbaik untuk mereka melahirkan bayi? Kebanyakannya menyangka bahawa mereka perlu bersalin secara pembedahan caesarean atau (C-section) kerana masalah ketinggian mereka. Hakikatnya, tiada sebarang bukti saintifik yang mengaitkan ketinggian dengan kaedah kelahiran. Berikut penjelasan tentang mengapa sesetengah wanita perlu melalui pembedahan caesarean berbanding kelahiran normal.
Mengapa sesetengah wanita pendek disarankan menjalani C-section?
Alasan utama yang sering diberikan tentang kelahiran C-section adalah ketaksamaan antara saiz tulang pelvis ibu dan saiz bayi. Ibu yang rendah selalunya mempunyai tulang pelvis yang kecil dan sempit, menjadikan proses kelahiran sedikit sukar berbanding wanita yang mempunyai tulang pelvis yang besar. Walau bagaimanapun, semasa proses bersalin, doktor anda akan memantau bukaan serviks anda, saiz kepala bayi dan juga kesan kontraksi rahim. Hanya apabila mereka melihat sebarang kesukaran yang mungkin bermasalah pada kelahiran anda, barulah doktor akan menyarankan untuk membuat C-section. Sekiranya bayi anda mempunyai sebarang masalah dengan degupan jantung ataupun kedudukan mereka, anda perlu bersalin secara C-section. Dan kesemua masalah ini tiada kaitan dengan saiz badan anda.