Apa Kaitan Antara Rokok, Obesiti dan Kanser?

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Dr. Joseph Tan

Kanser ada kaitan dengan gaya hidup kita? Adakah kenyataan ini benar?

Kebiasaannya, kanser akan dikaitkan dengan tabiat hidup yang tidak sihat seperti merokok. Pun begitu, tahukah anda bahawa obesiti juga adalah antara punca utama yang menyebabkan penyakit yang membawa maut ini? Sila ikuti artikel ini untuk mengetahui mengenainya dengan lebih lanjut. 

Kajian di UK

Menurut kajian terbaharu yang dijalankan oleh Cancer Research di United Kingdom (UK), individu yang mengalami obesiti kini didapati lebih ramai daripada individu yang merokok dengan nisbah 2:1 orang. Nisbah yang membimbangkan ini juga sebenarnya akan meningkatkan lagi risiko beberapa jenis kanser yang berbahaya buat masyarakat sejagat.

Hampir sepertiga daripada individu dewasa di UK mengalami obesiti. Walaupun merokok merupakan punca terbesar penyakit kanser, obesiti juga sebenarnya adalah antara punca utamanya. Cancer Research turut mengeluarkan analisis yang mendedahkan bahawa individu yang mengalami obesiti adalah lebih berisiko mengalami 4 jenis kanser yang berbeza.

Menurut kajian di UK yang dijalankan pada setiap tahun, berat badan berlebihan adalah antara punca berlakunya kanser usus. Selain itu, ia juga adalah punca kepada pelbagai lagi kanser lain seperti kanser buah pinggang, ovari dan hati. Berikut merupakan jumlah kes penyakit berbahaya ini yang disebabkan oleh obesiti:

  • Kanser usus: 1,900 kes
  • Kanser buah pinggang: 1,400 kes
  • Kanser ovari: 460 kes
  • Kanser hati: 180 kes

Kempen kesedaran di seantero dunia

Baru-baru ini, Cancer Research telah melancarkan kempen yang meluas ke serata dunia untuk meningkatkan kesedaran mengenai kaitan antara obesiti dan penyakit berbahaya ini. Lemak badan yang berlebihan akan memberi isyarat kepada sel untuk terbahagi dengan lebih kerap.

Ini seterusnya akan merosakkan sel-sel lalu meningkatkan berlakunya risiko kanser.

Kempen yang membandingkan obesiti dan merokok untuk punca berlakunya kanser ini adalah polisi yang mampu mengubah persepsi individu terhadap kehidupan yang lebih sihat, bukannya sekadar membandingkan makanan dengan tembakau semata-mata.

Kanser, obesiti & rokok

Menurut Michelle Mitchell yang merupakan Pengarah Eksekutif Cancer Research di UK, terdapat banyak kaitan antara merokok, obesiti dengan penyakit yang boleh membawa maut ini. 

“Dalam masa kadar perokok menurun dan kadar obesiti meningkat, kita boleh lihat impaknya secara jelas terhadap krisis kesihatan negara. Kanak-kanak seharusnya menjadi generasi bebas asap rokok tetapi kini kita dibelenggu oleh masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak yang juga merupakan sebuah epidemik yang membimbangkan’’.

“Para saintis setakat ini telah menyimpulkan bahawa obesiti sebenarnya mampu meninggikan risiko 13 jenis kanser tetapi mekanismanya adalah agak sukar untuk difahami. Jadi, kajian yang selanjutnya perlu dijalankan untuk mengetahui mengenai kaitan lemak berlebihan dengan punca berlakunya kanser”, katanya. 

Disebabkan itu, beliau mahu pihak kerajaan untuk membantu mereka mencapai ambisi iaitu mengurangkan kadar obesiti kepada separuh menjelang tahun 2030. Antara idea yang diketengahkan adalah memperkenalkan pengiklanan dan peringatan berkenaan bahaya aneka makanan dan minuman ringan di televisyen dan pelbagai lagi platform media.

Menurut Profesor Linda Bauld yang merupakan Pakar Pencegah dan Pengkaji Cancer Research di UK, tabiat merokok dan makan secara berlebihan adalah punca penyakit berbahaya ini semakin berada dalam tahap yang membimbangkan.

“Terima kasih kepada pengiklanan, peringatan dan larangan untuk merokok, kadar perokok dalam negara sudah mula menurun tahun demi tahun. Langkah yang sama turut perlu diambil untuk mengawal masalah obesiti”.

“Ya, memang agak sukar untuk menjalani hidup yang sihat dan kita sememangnya memerlukan bantuan dan tindakan daripada pihak kerajaan untuk memperbetulkannya. Pun begitu, anda sendiri juga perlu mengubahnya walaupun ia adalah sesuatu yang tampak kecil seperti mengubah diet anda dan sentiasa kekal aktif untuk mengurangkan risiko penyakit yang boleh membawa maut ini”, ujarnya.

kanser

Berjalan kaki boleh kurangkan risiko kanser?

Sekarang, kita sudah tahu bahawa gaya hidup yang tidak sihat boleh meningkatkan risiko kanser. Jadi, apakah cara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya ini? Jawapannya, adalah ubah gaya kita!

Terbaharu, terdapat satu kajian berkenaan senaman dan penurunan risiko penyakit berbahaya ini. Untuk pengetahuan anda, kajian ini mendapati bahawa individu yang melakukan senaman sederhana selama 2 jam 30 minit dalam masa seminggu mempunyai kemungkinan yang lebih rendah untuk mendapat 7 jenis kanser.

Apakah contoh senaman sederhana ini? Ia sebenarnya adalah semudah berjalan kaki selama sekurang-kurangnya 20 minit sehari sahaja. Jadi, sebenarnya tidak sukar untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya ini. Anda hanya perlu ubah gaya hidup anda yang mungkin kurang sihat itu.

Apa sebabnya?

Menurut kajian itu lagi, ia berkemungkinan kerana senaman sederhana seperti berjalan kaki atau berjoging ini mampu membantu individu menurunkan berat badan. Seperti yang kita sudah tahu, obesiti adalah salah satu punca risiko kanser menjadi tinggi. Jadi, apa lagi yang kita tunggu?

Untuk individu yang obesiti atau mempunyai berat badan berlebihan, sila cuba untuk mengurangkan berat badan anda mengikut BMI yang disarankan. Berikut adalah pautan yang mudah dan percuma untuk anda tahu berapa BMI paling sesuai untuk anda: https://hellodoktor.com/ms/alatan-ukur-kesihatan/kalkulator-bmi/

Namun, ketahuilah juga bahawa mengawal berat badan sahaja mungkin tidak cukup untuk mengurangkan risiko penyakit berbahaya ini. Sebaliknya, cuba untuk jalani kehidupan yang lebih sihat, yakni lebih aktif. Dengan ini, anda mungkin mampu mengelakkan penyakit berbahaya ini.

Oleh itu, ajaklah ahli keluarga, sahabat atau pasangan anda untuk berjalan kaki sekurang-kurang 20 minit dalam masa yang sehari. Bukan sahaja ia akan mengurangkan risiko penyakit berbahaya ini, ia juga mempunyai banyak manfaat yang lain!

Antara manfaat yang diperkatakan adalah berjalan kaki mampu untuk meningkatkan kecergasan kardiovaskular, menguatkan tulang, mengurangkan lemak badan yang berlebihan serta meningkatkan lagi kekuatan dan ketahanan otot anda.

Dalam pada itu, ia juga mampu mengurangkan risiko pelbagai penyakit lain seperti penyakit jantung, diabetes, serta osteoporosis. Jadi, apa lagi anda tunggu?

Konklusi

Kesimpulannya, merokok sememangnya merupakan antara punca utama kanser berlaku kepada individu. Pun begitu, ia tidak boleh menjadi satu-satunya perkara yang perlu anda elak dan hindar. Obesiti juga adalah punca risiko penyakit berbahaya ini berlaku. Oleh itu, kawal juga pemakanan anda agar anda tidak berisiko mengalami obesiti. Pendek kata, jalanilah kehidupan yang sihat untuk kesejahteraan anda.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Julai 9, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Januari 28, 2020

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut