7 Tanda Kanser Darah Dalam Kanak-kanak Yang Perlu Ibu Bapa Tahu

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Hampir 400 orang kanak-kanak didiagnos dengan kanser darah setiap tahun di Malaysia. Dengan satu dalam setiap 2,000 kanak-kanak bawah usia 15 tahun didiagnos menghidap Leukemia Limfoblastik Akut (ALL), ia merupakan jenis kanser darah yang paling lazim berlaku. 

Leukemia adalah sejenis kanser sel darah putih yang bermula dari sumsum tulang. Dua kumpulan besar kanser darah leukemia yang wujud adalah leukemia akut dan juga leukemia kronik. Pembahagian kepada dua kumpulan ini dibuat berdasarkan kematangan sel, kepantasan sel membahagi dan juga tempoh keterjadian penyakit. Jenis akut membabitkan tempoh yang lebih cepat, sel kanser yang kurang matang dan pembahagian sel yang lebih pantas berbanding jenis kronik. Daripada dua kumpulan besar ini, terdapat pembahagian kanser darah yang lebih terperinci dibuat berdasarkan jenis keturunan sel tersebut, sama ada ia daripada keturunan sel myeloid atau daripada keturunan sel limfoid. Pembezaan antara kesemua kumpulan tersebut hanya dapat dibuat melalui ujian darah dan sumsum tulang. 

Perhatikan tanda-tanda lazim kanser darah berikut dalam anak-anak anda

Dari sudut yang lebih praktikal, ibu bapa tidak mungkin dapat menentukan jenis leukemia yang dihidapi oleh anak-anak mereka. Namun yang demikian, terdapat tanda-tanda umum yang boleh menunjuk kepada leukemia. Tanda-tanda ini majoritinya disebabkan oleh gangguan kanser tersebut terhadap keupayaan sumsum tulang untuk menghasilkan sel-sel darah lain yang normal (platelet, sel darah putih dan sel-sel darah merah). Walau bagaimanapun, tanda-tanda yang bakal disenaraikan ini tidak unik kepada leukemia kerana ia juga boleh berlaku dalam penyakit lain. Berikut merupakan tanda-tanda leukemia umum yang boleh anda perhatikan dalam anak-anak anda:

1. Simptom-simptom menyeluruh (Constitutional symptoms)

Simptom-simptom seperti kurang selera makan, susut berat badan dan juga demam yang kronik adalah contoh simptom-simptom menyeluruh yang boleh berlaku dalam seseorang yang sedang menghidap kanser. Simptom-simptom tersebut berlaku akibat daripada pengaruh kanser terhadap metabolisma badan dan juga kesannya terhadap keradangan dalam badan. Kurang selera makan juga boleh berpunca daripada kesan pembengkakan atau pembesaran organ-organ dalam abdomen (akibat penyebaran dan pertumbuhan sel kanser ke organ tersebut) yang menekan dinding perut, memberi rasa ‘penuh’.

2. Simptom-simptom berkaitan dengan anemia 

Anemia adalah keadaan di mana jumlah sel darah merah yang sihat dalam salur darah menjadi rendah berbanding biasa. Sel darah merah membekalkan oksigen kepada tisu-tisu badan bagi membolehkannya untuk menghasilkan tenaga melalui aktiviti metabolisma. Dalam keadaan seperti leukemia, anemia berlaku akibat daripada pencerobohan atau pengumpulan sel kanser dalam sumsum tulang sehingga penghasilan sel darah merah menjadi terencat. Antara simptom anemia yang perlu anda perhatikan dalam anak-anak anda adalah:

  1. Kerap merasa letih dan lesu
  2. Senang tercungap-cungap apabila melakukan aktiviti fizikal sederhana
  3. Jantung berdebar-debar 
  4. Rasa sakit atau pening kepala
  5. Kulit menjadi pucat

3. Mudah untuk lebam dan berdarah

Salah satu komponen penting yang dihasilkan oleh sumsum tulang adalah platelet. Platelet berfungsi untuk menutup luka, menutup kebocoran dalam salur darah dan menghalang pendarahan. Apabila sumsum tulang dicerobohi oleh sel-sel kanser leukemia, ia mengganggu semua fungsi sintetik sumsum tulang termasuklah keupayaan untuk menghasilkan platelet. Oleh yang demikian, penghidap leukemia akan mudah mendapat kesan lebam pada badan mereka akibat daripada gangguan keupayaan platelet ini. Mereka juga boleh mengalami pendarahan di gusi dan juga melalui hidung mereka. 

4. Kerap mendapat jangkitan

Tanda ini merupakan satu tanda yang agak ironik untuk penghidap leukemia kerana dalam badan mereka terdapat jumlah sel darah putih yang cukup banyak. Sel darah putih adalah komponen penting dalam sistem imun badan kerana ia memainkan peranan untuk melindungi badan kita daripada jangkitan. Namun yang demikian, sel-sel darah putih yang terhasil dalam leukemia bukanlah sel-sel darah putih yang normal ataupun matang. Oleh yang demikian, ia tidak mampu untuk melawan jangkitan, menyebabkan seseorang itu kerap mendapat dijangkiti patogen. Jika anak anda kerap mendapat jangkitan, itu bermakna ada sesuatu yang tidak kena dengan sistem imun mereka. 

5. Sakit sendi dan tulang

Kanak-kanak yang menghidap leukemia boleh mengalami rasa sakit pada bahagian sendi dan juga tulang mereka. Simptom ini terjadi akibat daripada pengumpulan sel-sel kanser di bahagian permukaan tulang atau di dalam sendi itu sendiri.

6. Kelenjar membengkak

Selain sumsum tulang, kelenjar (lymph nodes) juga boleh mengalami pengumpulan sel-sel kanser. Kanak-kanak ataupun ibu bapa mungkin akan perasan kewujudan benjolan atau pembengkakan kelenjar ini di bahagian leher, sekitar tulang selangka (clavicle), celah kangkang dan juga di bahagian ketiak. Kelenjar di bahagian dada (thymus) dan leher yang membengkak berupaya untuk menghalang peraliran darah dan juga saluran pernafasan. Ini boleh menyebabkan anak-anak anda berdengkur ketika tidur, mempunyai masalah tidur (rasa letih selepas bangun tidur), sukar untuk bernafas dan muka mereka menjadi merah dan membengkak.

7. Abdomen membesar

Seperti yang disebut sebelum ini, sel-sel leukemia boleh terkumpul di dalam organ-organ abdomen dan terus membahagi, menyebabkan organ-organ tersebut menjadi besar. Ini menyebabkan rasa ‘penuh’ atau kembung pada bahagian abdomen penghidap. Dengan teknik pemeriksaan dan sentuhan tertentu, doktor akan dapat merasai dan mengukur pembesaran organ seperti hati dan limpa. 

Sekali lagi diingatkan, kewujudan simptom-simptom ini tidak menjamin kewujudan leukemia kerana ia juga boleh berlaku dalam beberapa penyakit yang lain. Sebaliknya, ia bertujuan untuk membolehkan ibu bapa lebih cakna tentang perubahan pada anak-anak mereka dan untuk mendapatkan perhatian doktor pada peringkat yang awal. Sekiranya anda mempunyai sebarang kemusykilan berkaitan dengan simptom yang dialami oleh anak-anak anda, segera berjumpa dengan doktor. 

Hello Doktor tidak memberi sebarang nasihat perubatan ataupun rawatan.

Rujukan
Ingin menjalani kehidupan yang lebih sihat?
Dapatkan tips dan informasi kesihatan serta gaya hidup sihat terus ke email anda.