Asap Rokok Secondhand: Sayangi Keluarga Anda

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Merokok bukan sahaja berbahaya kepada perokok, tetapi juga turut menjejaskan orang di sekeliling. Asap yang dihembus keluar daripada mulut dikenali sebagai asap rokok secondhand, atau asap rokok terpakai. Jika anda merasakan asap ini tidak berbahaya, fikiran anda mungkin berubah selepas membaca artikel ini.

Asap rokok secondhand tidak kurang bahaya daripada asap rokok yang disedut

Ia boleh menyebabkan kanser paru-paru bagi orang yang tidak pernah merokok. Asap ini turut mengandungi bahan-bahan bahaya yang sama dengan apa yang disedut oleh perokok. Ia mengandungi lebih 4000 bahan kimia dengan sekurang-kurangnya 250 daripadanya dikenali boleh membawa kepada penyakit.

Terdedah kepada asap rokok secondhand boleh menyebabkan:

  • Peningkatan risiko penyakit jantung sebanyak 25%-30%.
  • Risiko serangan strok sebanyak 20%-30%.
  • Mengganggu fungsi jantung, darah serta salur darah, seterusnya meningkatkan kecenderungan kepada serangan jantung
  • Meningkatkan risiko kanser: paru-paru, laring, perut, usus, payudara.

Kanak-kanak golongan paling berisiko

Anda mesti tidak sanggup melihat anak-anak kecil yang tidak bersalah terpaksa mengalami penyakit disebabkan oleh asap rokok yang dihembus oleh orang di sekelilingnya. Lebih parah lagi jika orang tersebut adalah ibu dan bapanya sendiri!

Kanak-kanak paling banyak terdedah di dalam atau kawasan rumahnya. Asap rokok secondhand ini boleh berada di udara selama beberapa jam. Kalau merokok di dalam rumah, sudah pastinya orang di dalamnya akan terjejas ditambah dengan ruang tertutup di dalam rumah.

Kanak-kanak ini akan lebih kerap mendapat jangkitan paru-paru, batuk dan serangan asma.

Sayangi orang lain

Sebaiknya adalah untuk anda berhenti merokok. Namun, jika ia tidak menjadi pilihan anda pada waktu ini, sekurang-kurangnya elakkan daripada mengundang bahaya kepada orang lain. Tanda ‘dilarang merokok’ yang diletakkan di tempat-tempat awam bukanlah sekadar satu hiasan.

Terutamanya di tempat-tempat seperti sekolah, restoran dan hospital, kawalan ketat perlu diberikan. Di restoran misalnya, berapa ramai orang yang boleh terkesan dengan asap rokok jika tidak diselia dengan betul?

Anda mungkin ada sebab tersendiri untuk merokok, tetapi jangan paksakan orang lain untuk terlibat sama. Sebelum anda membakar puntung rokok, lihat dahulu di sekeliling anda. Mulakan hari ini!

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Tarikh Reviu: Julai 11, 2018 | Kali terakhir kemaskini: November 15, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut