Bekam: Tiada Bukti Kukuh Menyokong Keberkesanan Merawat Penyakit

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Terapi bekam adalah kaedah rawatan purba yang telah digunakan dalam rawatan pelbagai jenis keadaan. Terdapat banyak jenis terapi bekam, walau bagaimanapun, dua jenis yang utama adalah bekam kering dan basah. Terapi bekam kering menarik kulit ke dalam cawan tanpa pencalaran, manakala terapi bekam basah kulit dilukakan sehingga darah ditarik ke dalam cawan.

Terdapat dua pendekatan untuk memahami mekanisme bekam, iaitu:

  1. Dari perspektif Perubatan Tradisional Cina, bekam dipercayai mengawal aliran chi dan keseimbangan yin dan yang. Persamaan dengan akupunktur.
  2. Dari perspektif perubatan barat, bekam dipercayai memberi tekanan fizikal yang merangsang refleks neural dan tindak balas endokrin. 

Tiada bukti kukuh keberkesanannya

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Laporan Penilaian Teknologi berkenaan bekam pada tahun 2012 menyatakan tiada bukti kukuh keberkesanannya atas penyakit termasuk herpes zoster (cacar), facial paralysis (strok muka), back pain (sakit belakang) dan spondalysis (sakit tulang belakang).

Selain itu katanya, penyakit lain juga termasuk cerebrovascular accident (strok), hypertension (hipertensi), fibromyalgia (penyakit saraf), bronchitis (radang pada kerongkong), asthma (asma) dan sakit kepala.

Beliau berkata, bagaimanapun kementerian akan meneruskan kajian dan menghasilkan satu Laporan Teknologi Kesihatan berkenaan Wet Cupping Diabetes and Cardiovascular Disease yang akan meneliti bukti saintifik berkaitan keberkesanan bekam basah bagi kedua-dua indikasi berkenaan dalam masa terdekat.

Menurutnya, pengenalan perkhidmatan bekam di fasiliti kesihatan kerajaan boleh dipertimbangkan. Ia boleh dibuat berdasarkan laporan penilaian teknologi berkenaan dan situasi semasa.

Beliau menjawab soalan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah) yang mahu tahu sama ada kementerian berhasrat menggunakan kaedah bekam di hospital kerajaan bagi menangani penyakit kronik dan dapat mengurangkan kos rawatan pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Baca juga:

Tarikh Reviu: Mac 21, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 5, 2019

Rujukan
Anda mungkin berminat dengan artikel berikut