Tiada Lagi Elaun Kritikal Untuk Doktor Baru

Oleh Fakta Perubatan Disemak oleh Panel Perubatan Hello Doktor

Pada 20 Disember 2019, satu pekeliling telah dikeluarkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkenaan dengan pemotongan elaun kritikal pada pekerjaan seperti doktor, jururawat, jurutera dan sebagainya. Langkah ini diambil bagi membantu memulihkan keadaan ekonomi negara yang kian tenat. Namun, adakah langkah ini wajar dilaksanakan? Artikel ini akan memfokuskan perbincangan berkaitan dengan pemotongan elaun pada pekerjaan di sektor kesihatan. Baca untuk tahu dengan lebih lanjut.

Isu pemotongan elaun kritikal

Dalam masa beberapa tahun yang lalu sehingga kini, terdapat perubahan pada bilangan mereka yang ingin menamatkan latihan sebagai doktor pelatih. Jumlah graduan perubatan meningkat membuatkan bakal doktor ini terpaksa menunggu di antara 9 ke 12 bulan sebelum boleh berkhidmat sebagai doktor pelatih. Terdapat juga isu status pekerjaan pegawai perubatan yang telah diubah kepada sistem kontrak dan isu pengekalan pangkat pegawai perubatan yang terlatih pada aras UD41 (dahulunya UD44).

Nak jadi doktor bukannya senang. 5 tahun belajar di sekolah perubatan dengan harapan untuk mengubah masa depan sektor kesihatan negara dan 2 tahun tempoh latihan yang boleh dipanjangkan kepada 3 tahun jika tidak menunjukkan prestasi yang cemerlang. Oh ya, jangan lupa juga dengan 2 tahun khidmat wajib kerajaan setelah tamat tempoh tersebut. Bila nak sambung pakar? Oh, kena lengkapkan satu tahun perkhidmatan lagi, baru boleh sambung master

Masalahnya di sini, kontrak yang terjamin hanyalah selama 4 tahun iaitu 2 tahun sebagai doktor pelatih dan 2 tahun sebagai doktor terlatih. Jika kontraknya tidak disambung, maka kuranglah kriteria untuk mereka meneruskan pengajian siswazah. Aduh, susah betul nak jadi doktor, ya? Lepas dah habis belajar pun kerja masih belum lagi terjamin.

Ada di antara isu tersebut yang sudah menemui jalan penyelesaian seperti isu kenaikan pangkat UD41 kepada UD43 seusai tamat latihan. Namun kini, timbul isu pemotongan elaun kritikal bagi pekerjaan doktor, jururawat, jurutera dan profesional perkhidmatan awam yang lain. Persoalannya di sini, adakah pemotongan elaun ini dianggap wajar dalam memastikan kebajikan pekerja dalam sektor kerajaan terjamin? 

Tidak lagi memenuhi kriteria untuk menerima elaun kritikal?

Berikut merupakan hasil ‘tinjauan 2019’ yang tidak pasti sumbernya datang dari mana. Menurut bahagian soalan lazim yang disertakan di dalam pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), elaun kritikal diberikan kepada pekerjaan yang sukar diisi dan mempunyai kadar pengambilan pekerja yang rendah. Oleh itu, jururawat menerima elaun pada kadar 15% daripada gaji asas dan doktor pula menerima kadar rata RM750. 

Berikutan dapatan ‘tinjauan 2019’ yang menyatakan bahawa kriteria tersebut tidak lagi dipenuhi, maka penerima elaun sedia ada akan terus menerima elaun berkenaan. Manakala bagi pekerja baru (houseman), bermula tahun 2020, mereka akan menerima bayaran pada anggaran RM3,842.55 sebulan (menurut pengiraan pendapatan kasar oleh Public Health Malaysia). Kadar tersebut adalah pada jumlah setelah elaun kritikal ditolak.

Ouh, okay. 2 tahun lagi doktor pelatih akan jadi pegawai perubatan terlatih kan? Mesti gaji naik kan? Jawapannya, tidak. Gaji mereka berada pada kadar RM3,761 sebulan. Melihat kepada nilai tafsiran kategori golongan pendapatan mengikut isi rumah di Malaysia, doktor yang tidak berkahwin atau merupakan sumber pendapatan utama keluarga, golongan ini jatuh dalam kategori B40 (purata isi pendapatan rumah kurang daripada RM3,860) atau golongan miskin bandar.

Tidak dinafikan bahawa isu gaji sering menjadi perbincangan hangat memandangkan kebanyakan doktor dan profesional yang lain dianggap mendapat bayaran yang tidak setimpal dengan beban kerja. Namun, mengapakah tinjauan 2019 telah mendapati bahawa golongan doktor dan jururawat tidak lagi memenuhi kriteria yang ditetapkan untuk menerima elaun kritikal?

Laporan Jabatan Audit Negara

Menurut Jabatan Audit Negara, pada tahun 2018, tinjauan perkhidmatan kesihatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma yang dilakukan di 145 buah hospital di Malaysia telah menunjukkan sebahagian besar daripada jumlah hospital tersebut mempunyai masalah kekurangan staf. Kekurangan tersebut merangkumi pekerjaan:

  • Doktor pakar kecemasan (75.6% – 79.5%)
  • Pegawai perubatan terlatih (41.2% – 64.6%) 
  • Pembantu pegawai perubatan (2.6% – 33.9%)
  • Jururawat terlatih (17.4% – 67.1%)

Kekurangan ini boleh mempengaruhi kualiti servis dan kualiti hidup pekerja yang berkhidmat di Jabatan Kecemasan hospital negara. Mereka terpaksa bekerja lebih masa untuk menguruskan beban kerja yang melimpah ruah dan kira-kira ⅕ daripada pekerja di jabatan tersebut mengalami sindrom burnout (kepenatan emosi, fizikal dan mental kesan daripada stres). 

Jumlah pesakit yang memerlukan rawatan juga berada di antara 5.7% hingga 95.6% bergantung kepada jenis hospital. Ini menyebabkan kesesakan pesakit dan kelewatan untuk mendapat bantuan perubatan bagi keadaan kesihatan yang dialami oleh mereka. Bayangkan 58.7% hingga 74.5% pesakit terpaksa menunggu di antara 4 hingga 6 jam sebelum mereka boleh berjumpa dengan doktor. 

Dengan kekurangan tersebut, mereka (staf sedia ada di Jabatan Kecemasan) berkhidmat untuk merawat lebih daripada 8 juta pesakit pada tahun 2017. Ini merupakan 38.1% daripada jumlah pesakit luar di hospital-hospital Malaysia. Adakah perkara yang telah dilaporkan oleh Jabatan Audit Negara ini merupakan satu tanda bahawa pekerjaan doktor, jururawat, pembantu pegawai perubatan, ahli farmasi dan lain-lain tidak lagi memenuhi kriteria untuk menerima elaun kritikal? 

Kewangan negara tenat, carilah alternatif lain

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Bin Ahmad, telah menyatakan melalui ciapan akaun Twitternya, bahawa perbincangan semula bersama dengan pihak JPA akan diadakan. Ia bertujuan untuk melihat pada kesesuaian semasa berkenaan dengan pemotongan elaun kritikal bagi pekerja kesihatan kerajaan. Langkah ini merupakan alternatif awal yang diambil bagi memastikan hak dan kebajikan golongan profesional kesihatan kerajaan terpelihara. Namun, pada 26 Disember 2019, pihak JPA telah menerbitkan dokumen pengukuhan perlaksanaan pemotongan elaun kritikal tersebut.

Kaji semula elaun menteri

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga telah menyatakan bantahannya melalui akaun Twitter. Beliau mengusulkan pengkajian semula elaun yang diberikan kepada ahli politik dan menteri sebagai langkah yang boleh diambil oleh pihak kerajaan untuk berjimat. Beliau juga telah berikrar untuk mengurangkan jumlah cuti tahunan dan memulangkan elaun percutian sebagai langkah protes terhadap pemotongan cukai kritikal tersebut.

Tiada logiknya kita membuat potongan pada elaun kritikal memandangkan pekerja pada sektor kesihatan sudahpun terbeban dengan kerja lebih masa, masalah kurang kakitangan dan bayaran gaji yang rendah. Jika kerajaan ingin melakukan pemotongan atau penjimatan, terdapat alternatif lain yang boleh diterokai. Syed Saddiq telah memberikan satu contoh pemotongan ke arah penjimatan tersebut iaitu pengkajian semula berkenaan dengan elaun yang diberikan kepada menteri.

Kaji semula kos rawatan di fasiliti kesihatan kerajaan

Perkara lain yang boleh dikaji semula adalah kos rawatan di hospital dan klinik kerajaan. Perkara ini telah diusulkan berulang kali di sosial media, pengurangan kos rawatan setinggi 95% yang bermakna pesakit cuma perlu membayar RM1 (RM5 untuk perkhidmatan doktor pakar) untuk perkhidmatan kesihatan termasuk ubat-ubatan adalah antara yang terendah di dunia. Bayangkan dengan hanya RM1, anda boleh mendapat khidmat konsultasi, pemeriksaan makmal dan ubat-ubatan yang terpilih. Vaksin pneumokokal yang mahal pun akan ditanggung kerajaan bermula tahun 2020.

Peningkatan pada kos rawatan sedikit sebanyak boleh membantu meringankan krisis ekonomi negara. Kenaikan kepada RM2, RM3 atau RM10 masih dianggap terlalu rendah berbanding dengan kos di klinik dan hospital swasta. Mereka yang betul-betul tidak berkemampuan, boleh mendapatkan rawatan percuma atau pengurangan kos jika disertakan dengan dokumen tertentu. Peningkatan kos ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan jumlah pendapatan negara malah ia merupakan inisiatif supaya rakyat lebih menghargai ubat-ubatan mahal yang diberikan pada kadar yang teramat murah.

Konklusi

Keperluan untuk meneliti semula pekeliling yang dikeluarkan sepatutnya menjadi prioriti pihak atasan agar pekerja baru tidak teraniaya. Menurut surat pekeliling berkenaan dengan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK) yang dikeluarkan pada tahun 2007, kriteria untuk menetapkan sama ada suatu pekerjaan itu layak mendapat BIPK atau tidak bergantung kepada jumlah permohonan yang melebihi jumlah keperluan semata-mata. Faktor lain seperti sumbangan perkhidmatan kepada perkembangan ekonomi negara, kelayakan yang perlu ada dan faktor keselamatan pada tempat kerja perlu diambil kira. Moga ada alternatif lain yang bakal dibentangkan oleh kerajaan agar hak pekerja seumpama ini terpelihara.

Kemaskini 27 Disember 2019: Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad telah bersetuju untuk menangguhkan pelaksanaan pekeliling pemotongan BIPK. Perkara ini akan diperbincangkan dengan lebih lanjut pada mesyuarat kabinet akan datang.

Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

Tarikh Reviu: Disember 27, 2019 | Kali terakhir kemaskini: Disember 27, 2019

Rujukan