Lagi Wabak Dari China. AWAS! Penyakit Selesema Burung Sedang Menular

Fakta Perubatan Disemak oleh | Oleh

Update Date 19/02/2020
Share now

H5N1 atau lebih dikenali sebagai selesema burung bukan sahaja boleh menjangkiti burung, tapi juga manusia. Baru sahaja dunia dikejutkan dengan wabak virus korona baharu, kini, wilayah Hunan (bersebelahan dengan Hubei) gempar dengan wabak selesema burung yang membunuh hampir 4,500 ayam.

Untuk makluman pembaca, selesema burung merupakan jangkitan yang disebabkan oleh virus influenza. Jika anda ingin mengetahuinya dengan lebih lanjut, baca artikel ini.

Mutasi, punca virus H5N1 semakin meliar

Walaupun risiko untuk seseorang itu dijangkiti dengan virus selesema burung rendah, namun mereka yang mengalaminya boleh mendapat komplikasi yang membawa maut. 

Pada tahun 1997, apabila virus ini ditemui dalam kalangan manusia, ia meragut nyawa kira-kira 60% daripada jumlah mereka yang dijangkiti. Walau bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengesahkan kebarangkalian untuk virus ini tersebar di antara manusia adalah sangat rendah.

Apa yang difahami setakat ini adalah sentuhan secara langsung dengan burung atau persekitaran yang tercemar dengan virus H5N1 boleh meningkatkan risiko jangkitan. 

Namun, masih tiada lagi bukti klinikal yang menunjukkan virus ini boleh tersebar melalui makanan yang dimasak dengan baik.

Virus H5N1 mempunyai beberapa jenis strainnya yang tersendiri berdasarkan keupayaannya untuk membunuh ayam. Kebanyakannya merupakan virus strain lemah yang boleh menyebabkan gejala dalam kalangan burung yang dijangkiti.

Namun begitu, strain yang lemah boleh mengalami proses mutasi menjadi virus H5N1 strain kuat. Jangkitan yang disebabkan olehnya boleh tersebar dengan mudah dalam kalangan binatang ternakan menyebabkan kematian.

Adakah anda berisiko untuk mendapat jangkitan selesema burung?

selesema burung

Mereka yang dijangkiti oleh virus ini berisiko untuk mengalami komplikasi teruk yang boleh menyebabkan kematian. Walau bagaimanapun, kadar jangkitan virus H5N1 terhadap manusia sangat rendah.

Pada kebanyakan kes, mereka yang dijangkiti mempunyai faktor risiko seperti berikut:

  • Penternak ayam dan itik
  • Pelancong yang melawat kawasan wabak
  • Mereka yang terdedah kepada burung yang dijangkiti
  • Mereka yang makan telur atau daging ayam separuh masak
  • Ahli keluarga kepada pesakit yang dijangkiti
  • Pekerja kesihatan yang menjaga pesakit

Jangkitan selesema burung sukar untuk dibezakan dengan jangkitan selesema yang lain. Tanpa pemeriksaan makmal, mereka yang mendapat jangkitan ini ibarat mengalami jangkitan selesema biasa.

Pusat Kawalan Penyakit Berjangkit (CDC) telah memberikan ‘lampu hijau’ kepada sejenis ujian yang direka khas untuk mendiagnosis jangkitan selesema burung. Ujian tersebut dikenali sebagai RT-PCR primer virus influenza A/H5.

Walaupun ujian tersebut boleh memberikan keputusan dalam masa yang singkat, namun bukan semua fasiliti kesihatan mempunyai kemudahan ini.

Pemeriksaan fizikal dan sinar X (x-ray) juga boleh membantu doktor dalam membuat diagnosis jangkitan selesema burung.

Tiada ayam yang diimport dari wilayah Hunan, China 

Walaupun risiko untuk mendapat jangkitan selesema burung agak rendah, namun jika berjangkit, ia boleh menyebabkan komplikasi teruk.

Perkara ini mewujudkan kebimbangan pada pengguna khususnya mereka yang makan ayam sebagai hidangan harian utama. Menurut Jabatan Perkhidmatan Veterinar Malaysia J, urusan import ayam tidak dibuat dengan wilayah Hunan.

Setakat ini (5 Februari 2020), ayam yang diambil dari China, diimport dari kota Liaocheng yang terletak kira-kira 1,313 km dari wilayah Hunan. Jumlah ayam yang dijangkiti hampir mencecah 8,000 dan pihak berkuasa China telah menarik balik 17,828 ayam daripada urusan eksport.

Menurut Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Quaza Nizamuddin Hassan Nizam, pihaknya akan terus memantau keadaan semasa bersama dengan Pertubuhan Kesihatan Haiwan Sedunia (OIE).

Setiap ayam yang diimport dari China, tidak kiralah dari wilayah mana sekalipun, akan disaring bagi mengesan virus H5N1. Setakat ini, tiada sampel yang menunjukkan keputusan positif. 

Apa akan berlaku sekiranya anda mendapat jangkitan selesema burung?

selesema burung

Banyak faktor mempengaruhi tahap kesihatan seseorang individu itu sekiranya mereka dijangkiti dengan jangkitan selesema. Mereka yang berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi seperti orang tua dan ibu hamil mempunyai risiko kematian yang tinggi.

Antara komplikasi yang boleh diambil oleh mereka yang menghidap selesema burung adalah seperti berikut:

Rawatan bagi masalah ini bergantung kepada simptom yang dialami oleh pesakit. 

Bagi mengurangkan risiko komplikasi, ubat antiviral seperti Tamiflu (oseltamivir) boleh digunakan. Namun keberkesanannya jatuh jika diambil selepas 48 jam simptom pertama muncul.

Ubat antiviral lain seperti amantadine dan rimantadine tidak sepatutnya digunakan kerana virus H5N1 mudah rintang terhadap kedua-dua agen tersebut. 

Ubat oseltamivir seharusnya digunakan mengikut preskripsi doktor. Jangan beli ubat Tamiflu yang dijual online. Ini berikutan rawatan ubat antiviral bergantung kepada tahap keterukan simptom yang dialami oleh pesakit dan risiko mereka untuk mendapat komplikasi.

Berbanding dengan jangkitan influenza yang lain, selesema burung, jika berjangkit kepada manusia, boleh menyebabkan risiko kematian yang tinggi. Jika anda mendapat simptom selesema dalam tempoh masa 10 hari selepas menguruskan ayam ternakan atau burung peliharaan, dapatkan pemeriksaan doktor.

Konklusi

Selesema burung, walaupun membawa kesan komplikasi yang teruk, risiko jangkitannya sangat rendah. Wabak yang melanda di wilayah Hunan ketika ini sedang aktif dikawal oleh pihak berkuasa China dan urusan eksport ayam telah ditarik balik bagi pemeriksaan selanjutnya.

Negara China kini diuji dengan dugaan yang berat berikutan wabak virus korona baharu dan virus H5N1 yang menular dalam kalangan manusia dan haiwan. Marilah bersama-sama kita doakan agar kedua-dua wabak tersebut dapat dikawal dengan baik dan mereka yang dijangkiti penyakit ini sembuh.

Hello Health Group tidak memberikan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan. 

Baca juga:

    Rujukan
    1. Bird Flu. (https://www.healthline.com/health/avian-influenza#symptoms). Diakses pada 4 Februari 2020.
    2. FAQs: H5N1 influenza, WHO. (https://www.who.int/influenza/human_animal_interface/avian_influenza/h5n1_research/faqs/en/). Diakses pada 4 Februari 2020.
    3. A ‘highly pathogenic strain’ of H5N1 bird flu has been reported in China’s Hunan province. (https://www.businessinsider.my/bird-flu-china-coronavirus-pathogenic-strain-of-h5n1-highly-2020-2/?r=US&IR=T). Diakses pada 4 Februari 2020.
    4. China reports an outbreak of deadly bird flu among chickens in Hunan province, close to coronavirus epicentre of Wuhan. (https://www.scmp.com/news/china/society/article/3048566/china-reports-outbreak-deadly-bird-flu-among-chickens-hunan). Diakses pada 4 Februari 2020.
    5. China reports H5N1 bird flu outbreak; 18,000 chickens culled. (https://www.nst.com.my/world/world/2020/02/562172/china-reports-h5n1-bird-flu-outbreak-18000-chickens-culled). Diakses pada 4 Februari 2020.
    6. Influenza (flu), CDC. (https://www.cdc.gov/flu/avianflu/avian-in-humans.htm#treating). Diakses pada 4 Februari 2020.
    7. DVS: Malaysia does not import live animals from China's Hunan province. (https://www.thestar.com.my/news/nation/2020/02/03/dvs-malaysia-does-not-import-live-animals-from-china039s-hunan-province). Diakses pada 4 Februari 2020.