Dalam hidup, kita tidak dapat elak daripada mengalami kemalangan. Kadangkala, kita mungkin akan alami trauma kepala ataupun pendarahan kepala yang membuatkan kita terkejut dan tidak tahu apa yang patut dilakukan.
Namun, apa tindakan yang paling tepat anda boleh lakukan jika anda alami konkusi? Rehat, tunggu bantuan ataupun cepat-cepat bergerak berjumpa doktor?
Jika anda juga tidak pasti apa yang anda patut lakukan ketika terhantuk ataupun tercedera pada bahagian kepala, jom ikuti artikel kami. Mana tahu boleh membantu anda!
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan kesihatan saraf dan otak, anda boleh klik di sini.
Apa itu konkusi (concussion)?
Konkusi merupakan sejenis kecederaan pada otak yang disebabkan oleh hentakan di kepala. Jika anda ataupun orang tersayang mengalami konkusi, rehat dan juga rawatan perlu bermula dengan kadar segera.
Jika anda tidak pasti sama ada hantukan kepala anda itu serius ataupun tidak, cepat-cepatlah berjumpa dengan doktor untuk rawatan lanjut.
Ramai orang yang mengalami konkusi hanya mendapat simptom ringan seperti pening kepala dan boleh sembuh dalam masa sehari atau dua.
Namun, sebanyak 5% pesakit yang tidak mendapatkan rawatan boleh mengalami pendarahan kepala dan darah beku jika tidak didiagnosis dengan betul.
Elak pendarahan kepala, periksa tanda amaran ini dalam masa 48 jam setelah konkusi
Masalah yang disebabkan oleh konkusi akan muncul dalam masa 24 hingga 48 jam selepas berlakunya hantukan pada kepala.
Antara simptomnya termasuklah:
- Pening kepala yang tidak hilang dan tidak pulih walaupun makan ubat tahan sakit.
- Rasa sakit.
- Hilang ingatan dan tidak boleh ingat semula apa yang terjadi ketika dan selepas kejadian.
- Tidak dapat cam orang ataupun tempat yang dahulunya familiar.
- Mempunyai masalah untuk seimbangkan diri.
- Mempunyai perangai yang pelik seperti senang marah atau mengalami mood swing.
- Rasa keliru.
- Penglihatan jadi kabur ataupun bertindih.
- Susah untuk kekal terjaga.
- Rasa kebas pada tangan atau kaki.
Apa yang anda perlu lakukan jika mendapat kecederaan kepala?
Jika kecederaan trauma kepala anda tidak teruk, simptom sakit kepala yang anda alami tidak akan kekal lama. Ia akan hilang dalam masa beberapa hari.
Namun, setiap individu mempunyai jangka masa tersendiri untuk sembuh. Sama juga dengan kanak-kanak, mereka mungkin akan makan masa untuk sembuh setelah terhantuk atau mengalami konkusi.
Jika anda mengalami konkusi atau trauma kepala sewaktu melakukan aktiviti sukan, anda perlu berhenti dan kurangkan aktiviti tersebut. Berikan masa kepada badan anda untuk sembuh.
Dalam masa 24 jam selepas kecederaan kepala, lebih baik jika anda tidak memandu, bekerja ataupun berjalan berseorangan. Disebabkan simptom konkusi masih lagi berlangsung, anda berisiko untuk jatuh pengsan seorang diri.
Pada hari 1 dan 2 selepas kecederaan kepala:
- Berehat sahajalah di rumah. Anda boleh lakukan aktiviti yang ringan. Namun, jika simptom jadi makin teruk, cuba rehat untuk beberapa minit dan sambung aktiviti tersebut kemudian
- Jangan berada terlalu lama di hadapan skrin
- Jangan memandu
- Jangan minum minuman berkafein
- Elakkan melakukan sukan ataupun aktiviti lasak yang boleh membuatkan anda cedera lagi
- Tidur sekurang-kurangnya 8-10 jam jika anda mengalami konkusi dalam masa 24 jam
Selepas beberapa hari hinggalah 1 minggu
- Cuba lakukan beberapa aktiviti ringan. Jika anda masih tidak dapat lakukannya untuk masa yang lama, tidak mengapa. Berehat sebentar dan cuba lagi kemudian
- Anda mungkin boleh kembali ke sekolah ataupun bekerja dalam masa seminggu selepas konkusi atau trauma kepala. Jika anda rasa sukar untuk kembali ke sekolah atau bekerja, anda perlu kembali ke hospital untuk pemeriksaan lanjut
- Elakkan melakukan sukan yang boleh menyebabkan anda terkena hantukan kepala sekali lagi
- Jika dalam 7 hingga 10 hari simptom anda tidak sembuh, anda perlu berjumpa doktor untuk rawatan lanjut
Selepas seminggu terkena trauma kepala
- Jika simptom sudah beransur hilang, anda boleh sambung semua aktiviti anda seperti biasa
- Tunggu dulu dan jangan lakukan lagi aktiviti yang telah membuatkan anda terkena konkusi. Jika anda terlibat dalam sukan, ambil cuti pendek daripada menyertai sukan tersebut
Selepas sebulan cedera di kepala
- Pada waktu ini, semua aktiviti anda mungkin telah berjalan seperti biasa
- Jika anda ingin sertai semula aktiviti sukan, anda perlu berhubung dengan jurulatih anda supaya beliau boleh menyediakan pelan untuk anda. Sebaiknya, anda perlu lakukan aktiviti sukan dengan cara perlahan-lahan
Jangan gopoh selepas mendapat trauma kepala
Jika anda mahu sembuh trauma kepala dalam masa yang singkat, anda perlu mendapatkan rehat yang cukup.
Selain itu, perhatikan aktiviti mana yang membuatkan simptom anda jadi makin teruk. Jika boleh, elakkan daripada melakukan aktiviti tersebut.
Kecederaan kepala juga boleh buatkan anda rasa sukar untuk belajar. Jangan panik. Beri masa untuk kecederaan anda pulih.
Anda juga boleh berehat dan bercakap dengan guru atau pensyarah anda jika perlukan masa yang lebih panjang untuk sembuh.
Jika anda boleh lakukan semua perkara di atas, kecederaan anda pasti tidak akan kekal lama dan sembuh dalam masa yang singkat!
[embed-health-tool-bmi]