Apabila terlintas sahaja perkataan strok, pasti anda akan terbayang akan pesakit yang terlantar di atas katil dan tidak berkeupayaan untuk bergerak.
Strok atau angin ahmar adalah keadaan kesihatan kecemasan yang berlaku akibat daripada kematian sel otak berikutan gangguan pada aliran darah.
Ia boleh menyebabkan simptom yang serius, kecacatan kekal dan kematian jika tidak dirawat dengan segera.
Terdapat beberapa jenis strok yang berbeza dan setiap satu daripadanya mempunyai punca yang berlainan.
Teruskan membaca untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut.
Pengelasan angin ahmar
Secara amnya, strok boleh dibahagikan kepada 3 jenis yang utama iaitu serangan iskemik transien, strok iskemik dan strok hemorhagik.
Serangan iskemik transien
Berbeza dengan dua jenis strok yang lain, serangan iskemik transien (TIA) hanya berlaku dalam tempoh masa yang singkat.
Aliran darah ke otak hanya terhenti seketika dan simptom akan hilang sebaik sahaja aliran darah kembali normal.
TIA juga digelar strok mini.
Strok iskemik
Apabila terdapat darah beku yang menyekat aliran darah ke otak, keadaan tersebut boleh menyebabkan strok iskemik.
Darah beku boleh terbentuk akibat masalah kesihatan kronik yang menyumbang kepada pembentukan plak aterosklerosis.
Apabila sebahagian daripada plak tersebut tertanggal, ia boleh mengalir dan tersekat pada salur darah kecil di otak menyebabkan aliran darah terganggu.
Konsepnya lebih kurang sama dengan serangan jantung. Apabila terdapat halangan pada aliran darah, anda akan mendapat simptom sakit dada.
Dianggarkan 87% kes strok merupakan jenis iskemik.
Dan pengelasan ini boleh dibahagikan kepada dua punca, sama ada embolik atau trombotik.
Trombotik bermaksud darah beku terbentuk di dalam salur darah otak manakala embolik pula, darah beku terbentuk di kawasan anggota badan lain dan mengalir ke otak.
Berbeza dengan TIA, strok iskemik tidak akan boleh sembuh tanpa rawatan.
Strok hemorhagik
Keadaan ini berlaku apabila terdapat salur darah di dalam otak pecah sehingga menyebabkan pendarahan di persekitaran tisu.
Aliran darah akan terhenti dan sel otak akan mula mati menyebabkan simptom strok.
Strok hemorhagik boleh dikelaskan kepada 3 jenis punca:
- Aneurisma – Dinding salur darah menjadi lemah menyebabkan ia membengkak dan boleh pecah
- Malformasi arteriovenous – Pembentukan salur darah tidak normal sehingga boleh meningkatkan risikonya untuk pecah
- Tekanan darah tinggi tidak terkawal yang boleh melemahkan struktur dinding arteri sehingga menyebabkan pendarahan berlaku
Bagaimana saya nak tahu jika mengalami strok?
Tiada siapa yang boleh mengenal pasti jenis strok yang mana tanpa membuat pemeriksaan kesihatan.
Doktor akan menganalisis imbasan otak bagi melihat jika ada tanda pendarahan dan sebagainya sebelum membuat diagnosis.
Persatuan Strok Amerika Syarikat telah menyarankan teknik FAST untuk mengenal pasti tanda amaran serangan strok.
- Face (Muka): Adakah kedua-dua belah pipi anda terangkat semasa anda senyum?
- Arms (Lengan): Adakah lengan anda jatuh sewaktu anda cuba mengangkatnya?
- Speech (Percakapan): Adakah percakapan anda boleh difahami? Adakah anda mengalami kesukaran untuk bercakap
- Time (Masa): Jika anda mengalami mana-mana simptom di atas, hubungi kecemasan dengan kadar segera
Terdapat juga simptom yang tidak diterangkan dalam teknik FAST. Ini termasuklah:
- Kekeliruan: Sukar memahami apa yang dituturkan oleh orang lain atau kelihatan tidak keruan dengan keadaan sekeliling
- Sukar berjalan, pening secara tiba-tiba dan hilang keseimbangan badan
- Sakit kepala teruk yang diketahui puncanya
- Sukar untuk melihat menggunakan satu atau kedua-dua belah mata
Jika anda mengalami TIA, simptom kebiasaannya akan hilang dalam masa 1 hingga 5 minit.
Namun, walau ia hilang sekalipun, anda masih disarankan untuk berjumpa dengan doktor bagi menjalani siasatan lanjut.
Komplikasi jika tiada rawatan diberi
Strok boleh mengancam nyawa. Oleh sebab itulah ia digelar keadaan kesihatan kecemasan.
Otak merupakan organ penting yang mengawal fungsi major dalam kehidupan manusia.
Tanpa aliran darah yang cukup, ia boleh mengganggu pelbagai proses fisiologi seperti pernafasan, tekanan darah dan lain-lain.
Komplikasi yang bakal dialami bergantung kepada jenis strok dan secepat mana anda mendapatkan rawatan.
- Perubahan tingkah laku
- Kesukaran untuk bertutur
- Sakit atau kebas
- Lumpuh bergantung kepada lokasi strok
Pesakit strok yang sembuh masih boleh mendapatkan kembali fungsi motor, percakapan dan keupayaan untuk menelan melalui proses rehabilitasi.
Namun, perkara ini akan memerlukan masa yang agak panjang.
Konklusi
Strok atau angin ahmar bukanlah satu penyakit yang boleh dipandang ringan.
Oleh sebab terdapat pelbagai jenis strok, tahap keterukan bergantung kepada keadaan klinikal pesakit.
Mereka yang mengalami TIA mungkin akan berasa lega selepas simptom hilang beberapa minit selepas itu.
Namun, itu tidak bermakna anda tidak perlu berjumpa dengan doktor.
[embed-health-tool-bmi]