Kenapa bibir atas bergerak ya? Kata orang, pergerakan bibir di tempat berbeza mempunyai maksud yang berlainan. Kononnya, bibir bergerak di bahagian atas tanda bakal mendapat duit yang banyak, betul ke?
Sebenarnya, ‘lip twitching’ atau bibir bergerak tanpa sebab ini boleh berlaku disebabkan pelbagai perkara. Namun, ia jarang sekali menjadi punca penyakit yang serius.
Dalam artikel kali ni, kami akan terangkan penyebab kedutan bibir atas tengah dan mulut atas bergerak dari segi sains.
Jom, teruskan pembacaan untuk ketahui lebih lanjut.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Mengapa bibir atas bergerak?
Fakta menarik
- Bibir bergerak secara tiba-tiba disebabkan pergerakan otot pada kawasan bibir.
- Otot pada kawasan muka dan bibir dikawal oleh saraf pada wajah.
- Jika pergerakan ini sering berlaku, orang lain mungkin akan perasan!
Jangan risau jika bibir anda sering bergerak-gerak. Ia bukanlah tanda anda bakal ditimpa kemalangan atau bakal menjadi kaya.
Sebenarnya, ada beberapa faktor yang menyebabkan bibir bergerak-gerak. Antaranya:
1. Terlalu banyak mengambil minuman berkafein
Tidak dinafikan, kafein mempunyai kebaikannya yang tersendiri. Ia boleh membuatkan anda berjaga dan lebih fokus pada waktu siang.
Walau bagaimanapun, kafein merupakan sejenis stimulan. Pengambilan kopi dan teh boleh menyebabkan bibir bergerak tanpa sebab sekiranya anda ambil secara berlebihan.
Orang dewasa boleh mengambil 400 mg kafein sehari, bersamaan 4 cawan kopi, 10 tin minuman berkarbonat atau 2 tin minuman tenaga. Namun, setiap produk mempunyai kandungan kafein yang berbeza.
Cara untuk mengurangkan masalah bibir bergerak disebabkan kafein mudah sahaja. Kurangkan pengambilan kopi dan simptom akan hilang dengan sendirinya.
2. Bibir atas bergerak disebabkan stres dan keletihan
Tekanan perasaan dan keletihan juga boleh menyebabkan bibir bergerak dengan sendiri.
Kadangkala, otot pada badan akan mula menjadi tegang ketika stres. Ketegangan inilah yang menyebabkan pergerakan otot.
Lakukan teknik untuk melegakan stres seperti bersenam, meditasi dan yoga untuk kurangkan masalah ‘lip twitching‘. Tidur malam yang mencukupi juga mungkin dapat membantu.
3. Bibir atas bergerak kerana ubat-ubatan tertentu
Ubat-ubatan juga boleh menyebabkan bibir bergerak-gerak. Pergerakan otot secara tiba-tiba ini boleh menjadi kesan sampingan pelbagai jenis ubat, antaranya kortikosteroid.
Jika anda mengalami masalah ini dalam jangka masa yang panjang, ia mungkin disebabkan pengambilan diuretik dan juga ubat hormon seperti estrogen.
Sekiranya anda mempunyai masalah ini, berbincanglah dengan doktor mengenai rawatan yang bersesuaian.
4. Kekurangan potassium punca mulut atas bergerak
Salah satu punca bibir atas bergerak-gerak ialah kekurangan potassium dalam badan. Mineral ini merupakan sejenis elektrolit yang membantu membawa signal saraf dalam badan.
Kekurangan potassium boleh menyebabkan kekejangan berlaku dengan lebih kerap.
Cara termudah untuk mengelakkan masalah ini adalah dengan mengambil lebih banyak makanan yang kaya dengan potassium seperti:
- Buah-buahan kering
- Kekacang
- Kentang
- Bayam
- Brokoli
- Avokado
- Pisang
5. Tahap kalsium yang rendah dalam badan
Selain potassium, tahap kalsium yang rendah dalam badan juga boleh menyebabkan kawasan atas bibir bergerak-gerak seperti kedutan bibir atas tengah.
Dalam kalangan wanita hamil, kekurangan kalsium merupakan satu kondisi yang biasa.
Ketika mengandung, kebanyakan kalsium yang ibu terima akan disalurkan kepada fetus, terutamanya pada trimester terakhir.
6. Bell’s palsy penyebab bibir atas bergerak
Bell’s palsy merupakan sejenis kondisi neurologikal yang menyebabkan sebelah kawasan muka menjadi lumpuh.
Antara simptom Bell’s palsy ialah mata yang jatuh ke bawah dan stuktur otot yang lemah pada sebelah muka. Pesakit yang menghidap kondisi ini juga sering mengalami ketegangan otot pada kawasan yang terjejas.
Oleh sebab itu, bibir mereka mungkin akan bergerak secara tiba-tiba.
Sehingga hari ini, pakar masih lagi belum pasti apakah yang menyebabkan penyakit ini. Namun, ia dipercayai berkaitan dengan jangkitan virus herpes oral.
Kesimpulan
Sekiranya simptom yang anda alami menjadi semakin teruk, dapatkan pemeriksaan doktor secepat mungkin. Jangan lupa, diagnosis awal merupakan kunci kesembuhan. Jika dikesan awal, doktor dapat membekalkan ubat-ubatan yang bersesuaian dengan kondisi anda.
[embed-health-tool-bmi]