backup og meta

Insurans Perubatan VS Insurans Penyakit Kritikal: Mana Satu Patut Anda Pilih?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 01/09/2021

    Insurans Perubatan VS Insurans Penyakit Kritikal: Mana Satu Patut Anda Pilih?

    Rasanya kebanyakan daripada kita semua memiliki insurans perubatan masing-masing namun, rata-rata tidak tahu tentang insurans untuk penyakit kritikal.

    Mungkin sesuai dengan namanya, adakah ia hanya perlu diambil oleh individu yang menghidap sebarang penyakit kritikal? Atau sesiapa sahaja pun boleh ambil?

    Untuk menjawab persoalan yang sering bermain dan berlegar di fikiran ini, ayuh sama-sama kita semua ikuti artikel ini dengan lebih mendalam lagi!

    Kenapa kita semua kena ada insurans?

    Hakikatnya, tidak semua orang mempunyai insurans kesihatan sedangkan ia adalah antara perkara yang sangat penting dalam hidup kita semua.

    Mungkin ini disebabkan oleh segelintir individu yang mungkin masih kurang cakna serta tidak yakin akan kepentingan insurans terhadap kehidupan seharian.

    Mungkin juga ada individu yang menyangka bahawa wang simpanan mereka itu sudah memadai sekiranya berlaku sebarang kecemasan kesihatan.

    Sebenarnya, kita semua perlu memiliki insuran kesihatan dengan tujuan menampung segala perbelanjaan yang harus ditanggung di saat kita sakit.

    Persoalannya, insurans jenis mana yang patut kita ambil? Adakah cukup sekadar insurans perubatan biasa ataupun insurans untuk penyakit kritikal?

    insurans untuk penyakit kritikal

    Apa itu insurans perubatan yang biasa?

    Insurans perubatan yang biasa adalah sejenis insurans yang akan membiayai kesemua atau sebahagian kos jika seseorang itu memerlukan rawatan dan ubatan.

    Rawatan dan ubatan yang diterima itu pula mungkin perlu diambil di pusat perubatan yakni klinik atau hospital panel yang terbabit dalam perjanjian insurans.

    Pencarum insurans jenis ini perlu membayar sejumlah yuran bulanan/tahunan yang dipersetujui di antara pihak mereka dengan pihak ejen atau syarikat insurans.

    Di dunia ini, terdapat pelbagai jenis penyakit dan kos untuk rawatan serta ubatan pula mungkin akan berbeza bergantung kepada tahap keterukannya.
    Di negara kita, kebanyakan insurans kesihatan akan membiayai kesemua jenis penyakit, namun ia adalah bergantung kepada beberapa terma dan syarat.

    Apa pula insurans untuk penyakit kritikal?

    Insurans untuk penyakit kritikal adalah sejenis insurans yang akan meliputi pembayaran kepada pencarum jika mereka menghidap beberapa jenis penyakit kritikal.

    Pembayaran ini termasuklah pembayaran secara terus (lump sum) sekiranya doktor mengesahkan mereka menghidap penyakit spesifik yang termaktub dalam polisi.

    Ini bermakna, wang yang bakal mereka terima melalui pembayaran ini harus diperuntukkan secara sendiri untuk kegunaan rawatan, ubatan dan lain-lain.

    Sebagai contoh, penyakit kritikal yang biasa termaktub dalam polisi insurans sebegini adalah kanser dan strok yang mungkin boleh membawa maut.

    insurans untuk penyakit kritikal

    Namun terdapat beberapa terma dan syarat yang perlu dipatuhi sebelum pencarum menerima sebarang pembayaran sekiranya disahkan berpenyakit.

    Ini perbezaan di antara keduanya!

    Jika hanya dibaca dan didengar secara kasar, mungkin kalian agak sukar untuk membezakan manfaat yang bakal diterima melalui 2 jenis insurans ini.

    Sebenarnya, terdapat perbezaan besar dan ketara di antara insurans perubatan yang biasa dengan insurans untuk penyakit kritikal ini.

    Berikut adalah penerangannya secara lebih terperinci:

    Insurans perubatan biasa Insurans untuk penyakit kritikal
    Pihak syarikat Pihak insurans membiayai segala kos untuk rawatan dan ubatan untuk penyakit yang tertentu
    Pihak insurans membayar secara terus sejumlah wang jika didiagnosis penyakit kritikal tertentu
    Pencarum Pencarum perlu menggunakan wang untuk tujuan mendapatkan rawatan dan ubatan yang diperlukan sahaja
    Pencarum boleh menggunakan wang untuk sebarang tujuan dan tidak terhad bagi urusan perubatan sahaja

    Setelah meneliti segala perbezaan yang wujud di antara kedua-dua jenis skim insurans ini, dapatkah pembaca membuat pilihan yang terbaik untuk diri anda?

    Mana satu yang patut anda pilih?

    Sebenarnya, pilihan untuk memilih mana satu jenis insurans yang terbaik adalah terletak di tangan anda bergantung kepada keadaaan kesihatan anda sendiri.

    Jika kalian rasa diri masih lagi kuat, sihat dan sempurna tubuh badan, mungkin adalah memadai untuk mencarum di dalam insuran kesihatan yang biasa.

    Namun kalau anda mempunyai risiko tinggi untuk mendapat beberapa penyakit kritikal yang boleh membawa maut, insurans untuk penyakit kritikal adalah pilihan yang lebih baik.

    insurans untuk penyakit kritikal

    Buat anda yang tertanya-tanya, berikut adalah antara penyakit kritikal tersebut:

    • Penyakit organ jantung
    • Penyakit buah pinggang
    • Kehilangan upaya fizikal
    • Kehilangan upaya mental
    • Kanser
    • Strok
    • Koma

    Namun, segalanya adalah tertakluk kepada terma dan syarat syarikat insurans anda, jadi sila pilih yang terbaik setelah menilai kesemua polisi insurans yang ditunjukkan!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 01/09/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan