Anda berhak untuk berasa sedih
Anda mungkin pergi ke masjid semasa iftar atau terawih, dan berasa terasing. Mungkin anda melihat muka ceria saling mengenali dan bertegur sapa, sedangkan anda masih baru dan kekok. Mungkin rakan Muslim anda yang sudah berkeluarga tidak berkesempatan menemani anda. Bulan Ramadan mungkin terasa sukar bukan sahaja daripada fizikal, bahkan emosi. Anda berhak untuk berasa sedih, tanpa perlu rasa bersalah. Adalah normal untuk teringat dan merindui krismas dan perayaan lain yang ada raikan bersama keluarga. Jangan merasa bersalah dan menghukum diri sebagai Muslim yang tidak baik. Perkembangan ini adalah normal, apatah lagi anda masih dalam proses membina hubungan baru dengan komuniti Muslim setempat.
Jangan terlepas sahur
Pastikan anda bangun untuk sahur setiap hari. Anda boleh memesan rakan anda untuk menelefon anda pada waktu sahur sebagai bantuan untuk bangun. Jika anda kerap terlepas sahur, letakkan makanan sahur anda di meja sebelah katil anda. Sama ada jus buah, air mineral dan sandwich yang membekalkan tenaga mencukupi. Apabila jam loceng berbunyi, bangun, makan dan bersihkan sebarang sisa makanan. Pengambilan sahur amat penting untuk kesihatan anda dan untuk mengelakkan dehidrasi.
Berbuka dan bersahur dengan cara anda
Tidak ada format bersahur atau berbuka yang perlu anda ikuti untuk menjadikan anda Muslim yang lebih baik. Walaupun pengambilan kurma adalah sunnah, jika anda tidak masih tidak dapat membiasakan diri dengan rasa kurma, anda boleh memilih buah lain. Jangan berasa terbeban untuk menyediakan hidangan berbuka seperti hidangan di rumah rakan anda yang Muslim, pilih makanan yang anda sukai, asal sahaja halal dan tidak berlebihan.
Jangan menjauhkan diri daripada keluarga anda
Keluarga anda mungkin berasa terasing daripada anda apabila anda tidak lagi duduk makan semeja pada waktu makan. Lebih-lebih lagi jika waktu makan merupakan waktu mengeratkan hubungan yang bermakna dalam keluarga anda.
Jika waktu makan malam keluarga anda sebelum waktu berbuka, jadikan Ramadan lebih bermakna dengan menjadi masa untuk anda membuat pencuci mulut untuk keluarga anda semasa makan malam. Bersikap ceria dan tersenyum, tanya mereka apa yang mereka suka. Tunjukkan kepada keluarga anda bahwa anda masih menyayangi mereka dan mahu mendampingi mereka dengan menggantikan waktu makan yang telah berlalu. Jadilah proaktif dalam menghabiskan masa yang berkualiti dengan mereka.
Jangan memaksa diri
Jika anda mempunyai daya dan kemampuan untuk menghabiskan bacaan Al-Quran dan berterawih, lakukannya sebaik mungkin. Tetapi jika anda tidak mampu, jangan memaksakan diri dan merasa kecewa apabila gagal mencapai matlamat. Letakkan matlamat yang realistik dan mulakan perlahan-lahan. Jika anda masih belum boleh membaca Al-Quran, cukuplah dengan membaca terjemahannya dan memahaminya.