Piala Dunia 2018 di Rusia telah melabuhkan tirai. Bagi peminat bola sepak, penantian selama lebih sebulan akhirnya terjawab apabila penjaga gol pasukan Perancis, Hugo Lloris, yang juga ketua bagi pasukan berkenaan menjulang trofi emas Piala Dunia 2018. Penyokong Croatia pula terpaksa menerima kenyataan apabila pasukan negara Balkan tersebut tewas meskipun telah menunjukkan aksi yang terbaik.
Bola sepak adalah sukan yang paling popular di dunia, baik dari sudut pemain mahupun penonton. Selain menyeronokkan, ia adalah sukan yang mudah untuk dimainkan dan boleh dimainkan secara beramai-ramai dengan hanya memerlukan sebiji bola dan sebuah padang.
Di sebalik itu, sukan ini juga datang dengan beberapa risiko kesihatan dan kecederaan yang kerap berlaku di atas padang.
1. Sendi terseliuh atau koyak
Kecederaan ini adalah yang paling biasa berlaku bagi pemain bola sepak, sama ada dalam kalangan profesional atau pemain kampung. Kebiasaannya, ia melibatkan kaki meskipun tangan juga tidak terkecuali daripada mengalaminya. Selain daripada terseliuh biasa, kecederaan yang lebih serius mungkin berlaku seperti tulang rawan (cartilage) atau ACL koyak.
Pemain-pemain terkenal juga tidak terlepas termasuk Zlatan Ibrahimovic dan Ruud Van Nistelrooy.
2. Penggunaan otot berlebihan
Purata jarak berlari bagi seorang pemain bola sepak adalah 11 km. Ditambah lagi dengan pergerakan kiri dan kanan, tekanan yang diberikan ke atas otot, khususnya otot kaki, tentunya banyak. Jika dilakukan terlalu kerap tanpa disiplin dan penjagaan yang betul, otot anda mungkin mengalami kecederaan.
Contohnya, radang tendon kepala lutut (patellar tendonitis) – menyebabkan sakit lutut – dan radang tendon Achilles (Achilles tendonitis) – sakit di belakang buku lali.
3. Patah tulang
Sama ada jatuh atau hentakan langsung daripada pemain lain ke atas tulang, kedua-duanya boleh menyebabkan patah tulang. Tulang betis (tibia dan fibula) lebih cenderung untuk patah kerana terdedah kepada hentakan dan secara relatifnya lebih nipis berbanding tulang paha (femur).
Dalam jangka masa panjang, penggunaan berlebihan juga boleh membuatkan tulang patah disebabkan tekanan berpanjangan sehingga tulang menjadi lemah.
4. Gegaran otak
Apabila seorang pemain jatuh di atas padang, gegaran mungkin berlaku di dalam kepala, terutamanya jika kepala menerima hentakan. Gegaran ini, dalam jangka masa panjang, boleh membawa kepada kehilangan memori, gangguan tidur dan emosi serta komplikasi lain. Malah, kecederaan berulang boleh menyebabkan kematian.
Namun, ia lebih kerap dalam sukan ragbi, di mana lebih banyak pelanggaran dan hetakan yang berlaku.
Meskipun sukan ini terdapat beberapa risiko kesihatan, bukan bermakna anda perlu meninggalkan bola sepak. Bahkan, sukan ini amat bagus untuk diamalkan sebagai aktiviti senaman yang sihat.
Tidak perlu berhenti, hanya berhati-hati dan cermat ketika bermain.
[embed-health-tool-bmi]