Hipertensi atau darah tinggi adalah ‘pembunuh senyap’ yang boleh membawa kematian sekiranya ia tidak dirawat dengan segera. Hal ini kerana, hipertensi jarang sekali menunjukkan sebarang simptom atau gejala yang lebih jelas. Dengan adanya perkhidmatan telekesihatan pada hari ini, ia memudahkan setiap individu untuk membuat pemeriksaan kesihatan di hujung jari sahaja tanpa perlu bersusah payah ke klinik atau hospital.
Ingin tahu apa yang Hello Doktor lakukan di Ranau, Sabah baru-baru ini? Jom baca artikel ini!
Untuk mendapatkan lebih banyak informasi tentang Kesihatan, anda boleh klik di sini.
Perkhidmatan telekesihatan secara percuma bantu majukan penduduk luar bandar
MEASAT Global Berhad (MEASAT) dengan kerjasama Mudah Healthtech Sdn Bhd (Mudah Healthtech) melancarkan perkhidmatan telekesihatan Sihat Xpress melalui perkhidmatan jalur lebar satelit CONNECTme NOW di Kampung Togop Darat 1 di Ranau, Sabah pada 16 Mei 2024 yang lalu.
Ketua Pegawai Operasi MEASAT, Yau Chyong Lim berkata usaha ini dapat menggalakkan penduduk luar bandar untuk memantau kesihatan mereka secara proaktif melalui pemeriksaan rutin dan konsultasi dalam talian tanpa perlu menghabiskan masa dan wang untuk perjalanan jauh ke klinik atau hospital.
Melalui Sihat Xpress, penduduk luar bandar di Ranau dapat memeriksa tekanan darah, suhu badan, tahap oksigen, paras gula dalam badan, dan berat badan secara kendiri.
Malah, platform tersebut juga memudahkan penduduk untuk berhubung dengan doktor secara dalam talian bagi kes yang bukan kecemasan.
“Misi kami adalah untuk menjadikan penjagaan kesihatan lebih mudah diakses oleh setiap individu tanpa mengira lokasi atau status sosioekonomi mereka,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Mudah Healthtech, Dato’ Dr Kantha Rasalingam.
Dalam majlis tersebut, Hello Doktor berkesempatan untuk menemubual beberapa penduduk tentang penyediaan perkhidmatan kiosk Sihat Xpress ini.
Dalam tinjauan itu, rata-rata penduduk sangat berpuas hati dengan perkhidmatan telekesihatan yang telah disediakan sejak sebulan lalu.
Lebih menarik lagi, penduduk juga dapat mengakses perkhidmatan telekesihatan ini secara percuma sahaja di kedai runcit yang berdekatan dengan kawasan perumahan mereka.
“Jika kami ingin mendapatkan rawatan di Hospital Ranau, kami terpaksa menempuh perjalanan yang jauh iaitu kira-kira 1 jam setengah dari kawasan perkampungan ini. Tapi dengan adanya Sihat Xpress, segalanya di hujung jari sahaja,” kata Ketua Kampung Togop Darat 1, Linjjasu Barayang.
Kedua-dua syarikat ini juga komited untuk mendigitalkan klinik dengan keupayaan perkhidmatan telekesihatan, membolehkan sekurang-kurangnya 1,000 doktor menyokong sehingga 2,000 kiosk telekesihatan Sihat Xpress luar bandar yang akan diwujudkan di tapak CONNECTme NOW dalam tempoh 2 tahun akan datang.
Kesedaran masyarakat terhadap kepentingan pemeriksaan kesihatan
Apakah kepentingan melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala?
Pemeriksaan kesihatan secara berkala adalah penting untuk mengesan sebarang penyakit walaupun tubuh badan anda tidak menunjukkan sebarang gejala yang jelas.
Ini kerana, pengesanan penyakit pada peringkat awal sebenarnya dapat membantu anda untuk mendapatkan rawatan yang sewajarnya dengan kadar segera.
Tetapi malangnya, kebanyakan individu mula sedar untuk menerima rawatan apabila mereka sudah ditimpa penyakit dan berada pada tahap yang membimbangkan.
Sebenarnya, tahap kesihatan masyarakat bermula dengan kesedaran diri individu itu sendiri. Kita boleh bercakap tentang sistem dan teknologi serta kemudahan canggih yang sedia ada.
Namun, tanpa kesedaran yang baik untuk melakukan pemeriksaan kesihatan secara berkala, ia tidak akan dapat mengurangkan peningkatan masalah kesihatan dalam negara ini.
Tahap kesihatan sebuah negara paling tinggi apabila masyarakatnya juga mengamalkan gaya hidup yang sihat.
Masyarakat yang sihat sebenarnya lebih kurang berisiko untuk mendapat penyakit-penyakit kronik seperti sakit hipertensi, jantung, diabetes dan strok.
Gaya hidup sihat dapat meningkatkan tahap kesihatan
Amalan gaya hidup yang sihat bukanlah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Setiap individu juga berhak mendapatkan kesihatan dan kehidupan yang baik.
Jadi, bagaimana anda boleh mengamalkan gaya hidup yang sihat? Berikut adalah caranya:
#1. Lakukan pemeriksaan kesihatan
Amalan gaya hidup sihat bermula dengan pemeriksaan kesihatan secara berkala. Langkah ini adalah sangat penting untuk mengetahui tahap kesihatan anda.
Anda boleh melakukan pemeriksaan kesihatan di klinik, hospital atau melalui perkhidmatan telekesihatan yang sedia ada.
Antara perkara yang akan diperiksa semasa anda melakukan saringan kesihatan adalah:
- Berat, tinggi dan ukur lilit pinggang
- Komponen darah
- Kadar kolesterol di dalam badan
- Gula dalam darah
- Tekanan darah
#2. Mengamalkan pemakanan yang sihat
Jangan ambil mudah terhadap apa yang anda makan kerana ia mungkin akan menjadi penentu kepada keadaan kesihatan anda dalam tempoh 10 atau 20 tahun akan datang.
Ambil masa untuk merancang diet harian anda dengan mengurangkan pengambilan lemak, minyak dan gula yang berlebihan.
#3. Banyakkan bergerak
Senaman dan aktiviti fizikal dapat membuatkan badan anda bekerja dan membakar kalori serta lemak yang ada.
Anda boleh mengaktifkan diri anda dengan aktiviti fizikal seperti berjalan kaki, berbasikal, senaman regangan selama 10 minit, joging, senaman aerobik atau yoga.
#4. Dapatkan tidur yang cukup
Tidur yang cukup adalah sangat penting untuk mengekalkan badan yang sihat. Menurut National Sleep Foundation, orang dewasa memerlukan tidur selama 7 hingga 9 jam dalam sehari.
Tidur yang berkualiti dapat meningkatkan sistem imunisasi badan anda terhadap penyakit dan meningkatkan mood anda.
#5. Berhenti merokok
Jika anda seorang perokok, berhenti merokok adalah keputusan dan langkah paling penting anda boleh lakukan untuk menjalani kehidupan yang sihat. Merokok boleh merosakkan jantung, paru-paru, saluran darah dan sel darah anda.
Kesimpulan
[embed-health-tool-bmi]