Apakah maksud mati putik? Ia merupakan kondisi yang berlaku kepada kaum Hawa yang baru sahaja melahirkan anak. Wanita yang mempunyai masalah ini selalunya tidak mempunyai nafsu untuk melakukan hubungan seks dan sering rasa lesu serta letih sepanjang hari.
Menurut kajian, ramai wanita yang baru melahirkan anak akan hilang keinginan untuk melakukan hubungan seks selama 1 tahun setengah selepas kelahiran.
Bukan itu sahaja, dalam masa 6 bulan pertama, wanita juga dilaporkan dua kali ganda berisiko untuk mengalami masalah disfungsi seksual berbanding sebelum melahirkan anak.
Inilah maksud mati putik; satu keadaan yang membuatkan wanita mengambil masa yang lama untuk kembali bersenggama dengan suami.
Bagi wanita di luar sana yang mengalami masalah ini, jangan risau. Ini merupakan perkara yang normal. Bagi suami pula, anda perlulah banyak bersabar. Sokongan dan bantuan anda amat penting untuk pastikan isteri kekal sihat dan bertenaga.
Manakan tidak, isteri baru sahaja melahirkan anak. Badan mereka masih lagi perlukan masa untuk sembuh. Pada masa yang sama, mereka juga perlu menyusukan anak dan menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan ibu.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.
Mati putik dan wanita lepas bersalin
Tidak dinafikan, bahtera perkahwinan pasti akan dilanda badai. Selepas melahirkan anak, isteri perlu melalui tempoh berpantang untuk pastikan badan mereka benar-benar sembuh. Pada waktu ini, suami dan isteri tidak dibenarkan untuk melakukan hubungan seks.
Tetapi, bagaimana jika isteri masih tidak mahu bersenggama dengan suami selepas habis tempoh pantang?
Menurut pakar, tahap ketersediaan wanita berbeza-beza. Ada wanita yang boleh melakukan hubungan seks sejurus tempoh pantang habis. Namun, ada wanita yang perlukan masa yang lebih lama untuk kembali bersama suami.
Bukan itu sahaja, jenis kelahiran yang dialami wanita juga memberi impak yang tersendiri.
Jika wanita mengalami kehamilan yang dan kelahiran yang lebih sukar, mereka lebih berisiko untuk mati putik dan mungkin akan mengambil masa yang lebih panjang untuk berehat.
Walau bagaimanapun, persoalan ‘bila’ terserah sepenuhnya pada isteri. Suami perlulah beri isteri ruang dan masa untuk betul-betul bersedia secara fizikal dan emosi.
Malah, menurut pakar, masa terbaik untuk mula melakukan seks adalah sewaktu isteri bersedia. Selepas pantang, isteri selalunya sudah sembuh dan ingin kembali bersama suami.
Tetapi, dalam sesetengah kes, ada wanita yang perlukan masa lebih lama dan kadangkala selama setahun untuk benar-benar rasa selesa sebelum melakukan seks semula.
Namun, ada berita baik untuk para wanita di luar sana. Masalah seksual selepas melahirkan anak selalunya tidak kekal lama. Tidak kiralah berapa kalipun anda melahirkan anak, kepuasan seksual akan dapat dinikmati selepas badan anda sembuh sepenuhnya.
Baca juga:
- Seks selepas Bersalin: Berapa Lama Perlu Tunggu?
- Suami Main Cuit Ajak Seks, Tapi Isteri Masih Takut Lepas Bersalin, Jadi Bila Waktu Sesuai?
4 tip untuk atasi mati putik
Walaupun kebanyakan wanita bagaikan ‘tidak bernafsu’ selepas melahirkan anak, sebenarnya ada cara untuk meningkatkan kembali libido mereka.
Jika pasangan suami isteri ingin merancakkan kembali hubungan kelamin masing-masing, ada beberapa tip yang mungkin dapat membantu mengurangkan masalah seksual isteri ini:
1. Mulakan seks dengan sentuhan intim
Kadangkala, selepas melahirkan anak, pasangan suami isteri sudah tidak lagi seintim dahulu. Manakan tidak, masing-masing sibuk melayan anak yang baru lahir.
Kalau boleh, cari masa untuk ‘bercinta’ semula. Mulakan hubungan intim dengan sentuhan manja dan pelukan hangat untuk bangkitkan mood isteri. Selepas itu, pasti isteri akan lebih bersedia untuk melakukan hubungan seks.
2. Berbincang dengan pasangan
Perbincangan yang sihat merupakan kunci seks yang hangat selepas melahirkan anak. Oleh sebab itu, jika anda mempunyai masalah mati putik ini, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah berbincang dengan pasangan. Pastikan pasangan tahu tentang mati putik, maksud serta cara mengatasinya.
Jangan lupa, luahkan kegusaran hati anda dan dengar juga keluhan daripada pasangan. Perbincangan amat penting sebelum dan selepas melakukan seks untuk pastikan kepuasan kedua-dua belah pihak.
3. Sediakan masa khas untuk bersama pasangan
Jika anda dan pasangan ingin melakukan hubungan seks, letak ia sebagai benda yang paling penting. Kerja rumah lain seperti membasuh baju atau menyapu sampah boleh dilakukan nanti.
Jika ada masa terluang, cuba habiskan masa tersebut dengan pasangan, lebih-lebih lagi ketika anak sedang lena tidur.
4. Jangan paksa diri jika mati putik
Kadangkala, wanita yang mengalami mati seksual ini tidak suka dipaksa. Kalau dipaksa, makin kuranglah keinginan mereka nanti. Malah, keletihan yang isteri alami selepas melahirkan anak boleh menyebabkan mereka tidak ada mood bersama dengan suami.
Apa yang penting, beri masa pada diri untuk betul-betul sembuh. Namun, jangan sesekali lupakan suami yang sudah lama bersabar!
[embed-health-tool-ovulation]