backup og meta

Pusat Bau MASAM? Eee, Jangan Dibiarkan! Puncanya Mungkin Kerana 5 Perkara Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 06/07/2022

    Pusat Bau MASAM? Eee, Jangan Dibiarkan! Puncanya Mungkin Kerana 5 Perkara Ini!

    Eee, kenapa pusat bau busuk dan masam ya? Pasti ramai yang tertanya-tanya, apa sebenarnya yang sedang berlaku di kawasan tersebut. Selalunya, bau pusat bukanlah sesuatu yang merunsingkan. Tetapi, bagaimana pula jika baunya kuat dan menusuk?

    Tidak dinafikan, kawasan pusat yang terlindung di bawah lapisan baju ini selalunya tidak mendapat perhatian kita.

    Malah, cuba ingat kembali, bilakah kali terakhir anda basuh pusat masing-masing? Mesti ramai tak ingat kan! Sebab itulah berbau!

    Sama seperti bahagian kulit yang lain, kulit pada kawasan pusat juga akan tertanggal. Namun, disebabkan pusat kita termasuk ke dalam, sel kulit mati ini akan berkumpul bersama-sama peluh, kekotoran dan juga partikel lain.

    Menurut pakar, pusat berbau bukanlah petanda masalah yang besar. Malah, semua orang mempunyai bau pusat mereka sendiri.

    Tetapi, bilakah kita patut mulai risau mengenai pusat masing-masing? Jom ikuti penjelasan kami di bawah mengenai masalah bau pusat dan bagaimana untuk atasinya.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Wanita, sila dapatkannya di sini.

    Kenapa pusat bau busuk dan pelik?

    bau pusat

    Sebenarnya, bukannya sukar untuk memastikan kawasan pusat sentiasa bersih.

    Cukuplah sekadar mencucinya dengan sabun tiap kali mandi. Selalunya, amalan ini sudah memadai untuk menyingkirkan bau pelik yang terkumpul di kawasan pusat.

    Walau bagaimanapun, lain pula masalahnya jika anda rasa sakit dan pedih pada kawasan pusat. Jika ia bertukar kemerah-merahan dan mulai bengkak, pastikan anda berjumpa doktor secepat mungkin untuk pemeriksaan lanjut.

    Di bawah, kami senaraikan beberapa punca pusat berbau, terutamanya dalam kalangan wanita.

    1. Tidak menjaga kebersihan diri dengan baik

    bau pusat

    Punca utama masalah pusat berbau adalah penjagaan diri yang tidak sempurna.

    Jika anda sudah lama mengabaikan kawasan ini, sudah tentulah segala kekotoran, peluh, bakteria dan sel kulit mati akan menyebabkan bau yang pelik dan tidak menyenangkan.

    Walaupun begitu, ada juga orang yang lebih cenderung mengalami masalah pusat berbau disebabkan bentuk atau keadaan pusat mereka. Jadi, jika pusat anda lebih dalam dan berlapis-lapis, anda mungkin perlu mencucinya lebih kerap daripada biasa.

    2. Bau disebabkan jangkitan bakteria

    Sama seperti kawasan kulit yang lain, pusat kita juga terdedah dengan jangkitan bakteria.

    Kawasan ini juga merupakan perumah mikroorganisma seperti bakteria, kulat dan virus yang boleh menyebabkan jangkitan.

    Malah, pusat juga merupakan kawasan yang sangat berisiko untuk mengalami sebarang jangkitan.

    Namun, masalah jangkitan ini mudah untuk diselesaikan. Dengan pengambilan ubat-ubatan topikal, jangkitan ini akan sembuh dalam masa beberapa hari.

    Selain itu, pastikan kawasan tersebut bersih dan sentiasa kering untuk elakkan jangkitan berulang.

    Baca juga:

  • Payudara Kemerahan & Sakit? Mungkin Sebab Jangkitan Bakteria! AWAS, Boleh Ancam Nyawa!
  • Kemaluan Gatal-gatal, Keputihan Berbau Hanyir… Usah Dibiarkan, Ini Tanda Jangkitan Bakteria!
  • 3. Luka di kawasan pusat

    Jangan terkejut jika lebam atau luka di kawasan pusat boleh menghasilkan bau yang tidak menyenangkan.

    Sebarang luka di kawasan pusat berpotensi untuk menyebabkan masalah. Malah, jika bakteria menjangkiti kawasan tersebut, pusat akan menjadi sakit, pedih dan mungkin mengeluarkan cecair atau nanah yang berbau pelik.

    Bau pusat yang disebabkan oleh luka boleh diatasi jika anda sering mencuci kawasan tersebut dengan air dan sabun.

    Pada masa yang sama, doktor mungkin perlu merawat luka tersebut untuk memastikannya tidak merebak.

    4. Mungkin ada sista yang menyebabkan bau pusat

    Sista adalah sejenis ketumbuhan yang dipenuhi dengan nanah. Ia boleh muncul pada mana-mana kawasan badan, termasuklah pada kawasan pusat.

    Sebagai contoh, sista epidermoid boleh muncul pada pusat, terutamanya pada permukaan kulit yang tidak tertanggal secara normal. Pengumpulan sel kulit mati inilah yang akan menyebabkan terbentuknya ketulan yang akan menjadi sista.

    Selain itu, sista sebum juga boleh terbentuk disebabkan kecederaan. Kelenjar minyak yang tidak dapat berfungsi dengan baik pada permukaan kulit juga boleh menyebabkan terbentuknya sista pada badan.

    5. Bau pusat disebabkan peluh

    kenapa pusat bau busuk

    Jika anda merupakan orang yang kerap bersenam atau mudah berpeluh, pusat mungkin akan menghasilkan bau yang luar biasa.

    Hampir semua orang berpeluh. Ia merupakan proses semula jadi badan. Jadi, tidak hairanlah jika pusat berbau setelah bersenam atau pada hari yang panas.

    Dengan mengamalkan penjagaan diri yang baik, anda boleh atasi masalah pusat berbau.

    Jangan sesekali abaikan kawasan perut dan anggap pusat tidak perlu dibersihkan dengan sabun. Rajinkan diri untuk membersihkan kawasan tersebut sebelum ia mendatangkan mudarat pada masa hadapan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 06/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan