Endometriosis bukanlah perkara asing lagi kerana ramai wanita menghidapinya. Masalah ini bukan sahaja memberikan kesan ketika haid, malah rasa sakit ketika seks juga boleh terjadi.
Kesakitan semasa hubungan seks adalah gejala endometriosis yang biasa berlaku akibat penetrasi dan pergerakan lain yang berkaitan semasa bersama pasangan.
Bagaimana endometriosis boleh mempengaruhi kehidupan seks anda
Endometriosis berlaku apabila tisu yang biasanya melapisi rahim anda mula tumbuh di bahagian luar.
Sebilangan besar individu tahu bahawa ia boleh menyebabkan kekejangan yang menyakitkan semasa haid, tetapi kesannya tidak hanya berhenti di situ.
Mereka mengalami kesakitan dan keletihan kronik tanpa mengira waktu dan bagi sesetengah individu pula, endometriosis juga memberi kesan terhadap hubungan kerana mengakibatkan sakit ketika seks.
Ini kerana penetrasi yang berlaku akan menekan dan menarik sebarang pertumbuhan tisu di belakang faraj dan bahagian bawah rahim.
Walaupun gejalanya mungkin berbeza bagi setiap individu, tapi terdapat jalan penyelesaian dan perkara yang boleh anda lakukan untuk mengurangkan kesakitan ini.
Teruskan membaca untuk mengetahui lebih lanjut.
-
Jejaki kitaran haid anda dan cuba pada masa-masa tertentu
Bagi kebanyakan wanita, ketidakselesaan yang disebabkan oleh endometriosis adalah masalah yang berterusan.
Tetapi, rasa sakit akan menjadi lebih menyakitkan ketika haid anda dan semasa berovulasi.
Dengan mengikuti kitaran haid, anda juga akan dapat mengesan sebarang gejala yang berkaitan dengan endometriosis.
Ini akan memberi anda pemahaman yang lebih baik mengenai waktu apa yang paling banyak mempengaruhi kesakitan yang boleh berlaku, dan waktu yang mungkin tidak terkesan.
-
Gunakan pelincir
Sekiranya anda menghidapi endometriosis, maka pelincir adalah sahabat baik anda!
Sebilangan wanita yang mempunyai endometriosis merasa sakit ketika seks kerana kekeringan faraj atau kekurangan faktor pelinciran.
Dengan menggunakan pelincir berasaskan air atau silikon semasa melakukan hubungan seks benar-benar dapat membantu mengurangkan rasa tidak selesa dan kesakitan.
Justeru, anda harus menggunakan pelincir sebanyak mungkin sehingga anda cukup basah, dan letakkannya lagi apabila faraj anda mulai mengering.
-
Cubalah posisi seks yang berbeza!
Sekiranya anda menghidap endometriosis, anda mungkin mendapati bahawa beberapa posisi akan menyebabkan rasa sakit ketika seks lebih parah.
Posisi missionary cenderung menjadi paling menyakitkan bagi mereka dengan masalah ini kerana kedudukan rahim dan kedalaman penetrasi.
Justeru, bereksperimen dengan posisi yang berbeza dapat mengajar anda dan pasangan tentang posisi mana yang menyakitkan dan mana yang harus dielakkan.
Ini bagi memberikan kenikmatan seks yang lebih baik buat anda dan pasangan.
-
Rancang kemungkinan berlaku pendarahan
Pendarahan yang terjadi selepas hubungan seks, yang dikenali sebagai pendarahan postcoital, adalah gejala endometriosis yang biasa berlaku.
Pendarahan postcoital boleh berlaku kerana penetrasi semasa seks menyebabkan iritasi tisu pada rahim.
Pengalaman ini boleh mengganggu emosi dan mengecewakan, tetapi usah risau kerana terdapat cara yang boleh anda persiapkan untuk pendarahan yang berpotensi terjadi.
Antara cara yang dapat membantu anda adalah:
- Meletakkan tuala sebelum memulakan hubungan seks
- Simpan tisu berhampiran untuk memudahkan proses pembersihan
- Fokus pada posisi yang menyebabkan kurang kegatalan
Anda juga harus memaklumkan pasangan anda terlebih dahulu agar mereka tidak akan terkejut dan tertanya-tanya akan potensi kejadian tersebut ketika melakukan seks.
Rumusan
Walaupun endometriosis boleh memberi kesan yang negatif terhadap kehidupan seks anda, namun ia tidak harus kekal seperti itu selamanya.
Berkomunikasi dengan pasangan anda tentang masalah endometriosis dan kesannya terhadap kehidupan seksual anda. Pemahaman daripada si dia adalah kunci untuk hubungan yang lebih sihat dan jujur.
Bagi memastikan pasangan benar-benar memahami situasi kesihatan, anda harus:
- Memaklumkan pasangan anda bagaimana perasaan anda secara fizikal dan emosi, walaupun pada saat yang paling menyakitkan
- Duduk bersama untuk mengetahui cara-cara bagi memastikan seks yang lebih baik, tetapi masih berpusatkan pengalaman dan gejala-gejala anda
- Bercakap secara terbuka mengenai perasaan anda mengenai seks dan penetrasi, dan apa yang dapat membantu meredakan kebimbangan anda
- Pastikan pasangan anda bertanggungjawab sekiranya mereka tidak mengikuti atau mendengarkan masalah anda. Jangan takut untuk membincangkan masalah ini sekerap mana yang diperlukan
[embed-health-tool-ovulation]