Apakah perasaan anda apabila rakan-rakan lain membatalkan rancangan bercuti yang telah dirancang sejak sekian lama? Perasaan yang berbaur pasti wujud sama ada ingin meneruskan hasrat percutian tersebut atau membatalkannya. Kami memahami bahawa ramai yang mungkin tidak begitu berani untuk mengembara atau bercuti berseorangan, lebih-lebih ke luar negara. Jadi bagaimana anda mahu mengatasinya?
Tip mencari rakan ketika mengembara secara solo
Anda tidak perlu risau lagi. Anda boleh teruskan niat anda untuk bercuti atau mengembara dan cari rakan baharu di negara yang ingin dilawati. Bagaimana? Ikuti cara-cara yang kami ingin kongsikan disini.
#1. Tinggal di dorm atau hostel
Selain memilih tempat penginapan di resort atau hotel, anda boleh cuba menginap di kemudahan dorm atau hostel untuk pengembara. Disebalik anda perlu berkongsi ruang tidur dan kemudahan seperti tandas dengan individu lain, ia merupakan satu cara terbaik untuk anda berkenalan dengan pengembara lain secara tidak langsung.
#2. Buat kawan ketika transit
Anda mungkin akan terkandas beberapa kali di sepanjang perjalanan anda. Ini boleh terjadi sama ada ketika anda menunggu penerbangan kedua anda, tersangkut di sempadan atau berdiri menunggu giliran untuk menaiki bas atau bot. Inilah masa untuk anda memulakan perbualan dengan pelancong dan pengembara lain yang turut mengalami nasib yang sama dengan anda.
#3. Cari komuniti anda di luar negara
Sekiranya anda merupakan salah seorang ahli komuniti organisasi antarabangsa, ia lebih mudah untuk anda berkenalan dengan individu yang berada di negara lain. Mungkin mereka lebih teruja dan bersedia menjemput anda di lapangan terbang. Sekiranya anda bukan merupakan ahli dalam mana-mana organisasi antarabangsa, anda boleh berkenalan dengan komuniti dari negara anda seperti pelajar-pelajar yang menyambung pelajaran di sana atau rakan kepada rakan atau ahli keluarga anda.
#4. Gunakan aplikasi pengembaraan sosial
Anda tidak perlu lagi untuk menjadi pengembara tradisional dengan menahan mana-mana kereta di tepi jalan untuk menumpang mereka. Dunia kini serba moden, dan banyak kemudahan tersedia di hujung jari anda. Anda boleh menggunakan pelbagai jenis platform aplikasi yang boleh menghubungkan anda dengan pengembara lain. Anda boleh mencuba aplikasi seperti Travello yang membolehkan anda mencari pengembara lain yang berada di sekitar anda. Selain itu anda boleh menggunakan aplikasi Coachsurfing untuk tujuan yang sama dan Airbnb untuk penempahan kemudahan penginapan yang dikendalikan oleh penduduk tempatan. Mudah kan?
#5. Sertai lawatan berkumpulan
Apabila anda pertama kali melawat sesebuah negara, lawatan berkumpulan adalah cara terbaik untuk anda mendapat gambaran pertama mengenai sesebuah kawasan selain mewujudkan persahabatan dengan individu lain. Ya, individu lain yang menyertai lawatan berkumpulan adalah pengembara seperti anda. Jadi, lawatan berkumpulan seolah-olah bertindak sebagai titik berkumpulnya semua pengembara di sesuatu kawasan. Gunakan peluang ini dengan sebaiknya untuk berkawan dengan individu lain.
Jangan rasa gusar sekiranya anda perlu mengembara secara berseorangan. Jangan sesekali burn tiket penerbangan anda hanya kerana rakan anda membatalkan penyertaan mereka di saat akhir. Mungkin travel secara solo akan memberikan pengalaman baharu melalui dimensi baharu pelancongan dalam kamus hidup anda. Gunakan tip yang kami beri ini untuk memudahkan anda mencari rakan baharu seantero dunia ketika mengembara. Best bukan?
[embed-health-tool-ovulation]