Setiap individu yang pernah bekerja atau sedang bekerja, pasti pernah merasakan tekanan atau ketegangan berkaitan dengan kerja. Apa juga pekerjaan, walau betapa anda sukakan pekerjaan anda itu, pasti akan mempunyai tekanan.
Sebagai contoh, anda mungkin berdepan tekanan untuk menyelesaikan tugasan sebelum tarikh akhir atau memenuhi keperluan yang mencabar dalam tempoh yang singkat. Apabila tekanan kerja menjadi kronik, ia boleh memudaratkan kesihatan fizikal dan mental.
Malangnya, tekanan jangka masa panjang merupakan antara paling kerap dihadapi, dan anda sebenarnya tidak dapat menghindari tekanan yang berlaku kerana kerja. Tetapi anda boleh mengambli langkah-langkah untuk menangani ketegangan ini.
Hadapi tekanan dengan positif
Daripada anda menyalurkan ketegangan yang dihadapi dengan mengambil makanan yang tidak sihat seperti makanan segera atau alkohol, cuba untuk membuat pilihan yang lebih baik untuk mengurangkan ketegangan ketika bekerja.
Melakukan senaman juga dapat melegakan ketegangan perasan, seperti yoga atau bermeditasi, atau apa juga senaman fizikal. Pastikan anda mempunyai masa untuk melakukan sebarang hobi atau aktiviti yang anda gemari.
Dapatkan tidur yang berkualiti dan mencipta tabiat tidur yang sihat juga bermanfaat untuk menangani sebarang tekanan.
Hadkan segalanya
Cuba wujudkan peraturan dan had kerja untuk diri sendiri, seperti membuat peraturan untuk tidak memeriksa emel di rumah pada waktu malam, atau tidak menjawab panggilan telefon semasa waktu makan.
Setiap individu mempunyai pandangan dan cara yang tersendiri apabila ia berkaitan kewajaran mengabungkan kerja dengan kehidupan peribadi. Sebaiknya, tetapkan had yang jelas antara kerja dan kehidupan peribadi untuk mengurangkan potensi timbulnya konflik dan ketegangan.
Berehat
Jangan jadikan percutian anda sebagai sesuatu yang sia-sia. Ambil masa untuk berehat dan bersantai, agar apabila anda kembali bekerja, anda akan berasa segar dan bersedia untuk melakukan yang terbaik.
Apabila anda tidak dapat bercuti, anda boleh untuk melakukan sebarang aktiviti yang tidak melibatkan kerja, dan pastikan anda mematikan sebarang alat peranti agar anda dapat menumpukan sepenuhnya kepada apa yang anda ingin lakukan.
Ketahui teknik untuk berehat
Pelbagai teknik seperti bermeditasi, menenangkan minda dan latihan pernafasan mendalam dapat membantu menyingkirkan sebarang ketegangan. Anda juga mungkin dapat meningkatkan kemahiran untuk fokus dan memberi perhatian kepada sesuatu pekerjaan tanpa gangguan.
Luahkan kepada penyelia
Ia bukan bertujuan untuk mengadu, tetapi ia untuk berkongsi pelan menguruskan tekanan dan pendapat yang berkesan, supaya anda dapat melakukan pekerjaan anda dengan lebih baik.
Dapatkan sokongan
Meminta bantuan dari individu yang anda percayai seperti kawan dan keluarga boleh membantu memperbaiki cara anda menangani tekanan. Walau bagaimanapun, jika anda tetap mengalami ketegangan dengan kerja, anda boleh mendapatkan bantuan dan nasihat pakar seperti kaunselor, pakar psikologi, pakar psikiatri untuk membantu mengatasi masalah ini dan mengubah tingkah laku yang tidak sihat.
Secara umumnya, tekanan yang berlebihan boleh mengganggu produktiviti dan prestasi kerja anda, dan ia turut mendatangkan kesan negatif terhadap kesihatan fizikal dan emosi anda. Keupayaan anda menangani ketegangan boleh membawa perbezaan terhadap kejayaan dan kegagalan anda dalam sesuatu tugasan. Anda tidak dapat mengawal segalanya, namun, itu tidak bermakna anda tidak bagus.