Perceraian bukanlah satu situasi yang asing dalam masyarakat sekarang. Kesan negatifnya terhadap perkembangan psikologi anak telah dibuktikan dalam pelbagai jenis kajian. Salah satu daripadanya adalah parental alienation. Nak tau berkenaan dengannya? Teruskan membaca.
Fenomena parental alienation
Kanak-kanak seringkali terbeban dengan keputusan yang melibatkan pemilihan pihak dalam pertarungan mendapatkan hak penjagaan anak di antara ibu dan bapa. Pelbagai taktik kotor yang sering dimainkan. Antara yang sering digunakan adalah taktik parental alienation.
Fenomena ini melibatkan perbuatan memburuk-burukkan pihak lain (ibu atau bapa) bagi menanamkan rasa benci terhadap individu tersebut. Akibatnya, mereka yang diburukkan akan dibenci oleh anak walaupun sebab kebencian itu sebenarnya adalah tidak benar, tidak logik atau ia sengaja dibesar-besarkan. Ia boleh berunsur pujukan, ugutan atau kedua-duanya sekali. Kesannya kepada perkembangan psikologi kanak-kanak sering menjadi tumpuan para pengkaji.
Menurut pakar psikologi, Jennifer Harman, taktik yang digunakan oleh kedua ibu dan ayah dalam memenangi hati anak adalah berbeza. Namun, ia mempunyai objektif yang sama. Para ibu lebih cenderung untuk menggunakan pengisyaratan secara tidak langsung bagi memenangi hati anak. Para bapa pula menggunakan pengisyaratan langsung dan secara tidak langsung pada kadar yang sama dalam mencapai matlamat sama.
Sukar untuk dibuat perbandingan
Agak sukar untuk para pengkaji merekodkan perbuatan parental alienation yang dilakukan secara tidak langsung. Ia merupakan satu perkara yang subjektif dan sukar diterjemahkan oleh semua individu.
Contoh perbuatan parental alienation yang dilakukan secara langsung adalah:
- Menghalang masa bersama dengan anak
- Menghantar ugutan melalui e-mel dan teks mesej
- Menukar nombor telefon bagi menghalang bekas pasangan daripada membuat sebarang hubungan telekomunikasi dengan anak
- Membuat keputusan sendiri berkenaan dengan penjagaan anak tanpa melibatkan bekas pasangan
Contoh perbuatan parental alienation yang dilakukan secara tidak langsung adalah:
- Mengumpat berkenaan dengan keburukan bekas pasangan kepada anak
- Menghubungi polis bagi menangkap bekas pasangan dengan tuduhan palsu
- Menghasut rakan-rakan dan keluarga agar membenci bekas pasangan
- Menceritakan kisah silam yang tidak benar berkenaan dengan bekas pasangan kepada anak
- Jerit memarahi bekas pasangan di hadapan anak
- Menyenaraikan ibu/bapa tiri sebagai ibu/bapa kandung dalam dokumen persekolahan
Perbezaan jantina dalam melaksanakan parental alienation
Dalam proses menentukan hak penjagaan anak, mereka yang bertanggungjawab perlu memahami peranan jantina dalam melakukan parental alienation. Tanpa pengetahuan yang cukup, keputusan yang bakal dikeluarkan akan mengandungi unsur-unsur berat sebelah (bias).
Perkara yang perlu ditentukan adalah sama ada berlakunya penderaan ataupun pengasingan dalam dinamik hubungan selepas penceraian. Disebabkan oleh bapa kebiasaannya melakukan parental alienation secara langsung, penilaian yang adil sukar untuk dicapai disebabkan oleh kepayahan untuk mengenal pasti tindakan parental alienation secara tidak langsung.
Jika perbuatan itu berjaya, anak tersebut akan menjadi proksi kepada mereka.
Adakah ia satu bentuk jenayah?
Buat masa sekarang, tiada undang-undang yang disasarkan secara spesifik berkenaan dengan parental alienation. Sukar untuk polisi baru digubal jika aspek secara tidak langsung perbuatan tersebut tidak dapat dikenal pasti. Namun, terdapat beberapa negara lain yang sudah mengisytiharkan perbuatan ini sebagai satu bentuk jenayah. Di Mexico, mereka boleh dipenjarakan maksimum 15 tahun manakala di Itali, mereka boleh didenda wang tunai.
Tindakan parental alienation ini bagaikan perbuatan brainwash yang akan mewujudkan tindak balas kasar terhadap bekas pasangan. Terdapat juga kes di mana kanak-kanak diajar untuk membuat tuduhan yang salah terhadap bekas pasangan seperti tuduhan penderaan fizikal dan seksual. Kadangkala tuduhan tersebut disertai dengan tangisan yang nampak seperti ia benar-benar berlaku. Disebabkan oleh perkara tersebut, adalah penting prosiding mahkamah terhadap sesuatu kes dibantu oleh pakar psikologi kanak-kanak bagi memberikan keadilan kepada semua pihak.
Konklusi
Parental alienation adalah satu fenomena yang tidak sepatutnya menjadi amalan dalam populasi mereka yang bercerai. Ibu dan bapa sepatutnya menjadi model contoh buat kanak-kanak bagi memastikan mereka dapat dididik dengan akhlak yang sempurna. Jangan main kotor. Jika anda ingin bertarung bagi mendapatkan hak penjagaan anak, lawanlah dengan adil.
[embed-health-tool-ovulation]