Bercakap tentang media sosial, anak muda merupakan golongan utama yang memenuhi ruang ini. Di sebalik keterbukaan yang tentunya memberikan banyak manfaat kepada pengguna, ia juga mengundang kepada banyak gejala negatif seperti buli siber, penggunaan kata-kata kasar dan lucah, menjadi mangsa penipuan, masalah kesihatan mental, serta penyebaran berita atau maklumat palsu.
Sebagai pengguna, anda haruslah menjadi lebih bijak. Bagaimana ingin melakukannya? Baca selanjutnya.
1. Kurangkan berkongsi hal peribadi
Media sosial seperti facebook, instagram, dan twitter sememangnya satu platform utama untuk berkongsi maklumat. Namun, berkongsi semua perkara bukanlah satu perkara yang baik. Ia sebenarnya mengundang kepada bahaya apabila orang ramai tahu mengenai harta, pekerjaaan, dan anak-anak anda.
Kes culik anak boleh bermula di media sosial jika anda selalu berkongsi di facebook atau instagram. Ia juga boleh mengundang rasa iri hati dalam kalangan pengguna lain yang mungkin tidak berpeluang memperoleh nikmat seperti anda.
Tidak perlu sampai berkongsi semua hidangan makanan atau destinasi anda setiap hari tetapi kalau sekali-sekala tidak mengapa.
2. Jangan tekan butang “share” jika tidak pasti
Berita atau maklumat yang palsu boleh membawa kepada salah faham dan persepsi yang buruk terhadap pihak yang terlibat. Jangan terlalu mudah mempercayai sebarang maklumat yang berasal dari sumber yang meragukan seperti mesej berantai di whatsapp yang tidak diketahui asal usulnya.
Pastikan sesuatu maklumat itu datang dari pihak yang berautoriti. Contohnya, isu kesihatan mestilah bersumberkan doktor atau ahli profesional kesihatan, bukannya pendapat orang awam yang mungkin salah.
Ambil masa untuk menyemak maklumat dan jangan terlalu gopoh untuk menekan butang share.
3. Bukan semua jawapan boleh ditemui di media sosial
Anda boleh meminta dan mencari pendapat terhadap persoalan anda di facebook, instagram, atau twitter tetapi bergantung kepada jenis persoalan tersebut. Jika ia memerlukan pertimbangan pihak yang pakar seperti doktor perubatan, peguam, atau ahli agama, media sosial mungkin hanya akan mengelirukan anda.
Medium yang terlalu terbuka kepada semua pendapat akan membuatkan anda terdedah kepada pendapat yang kurang tepat. Oleh itu, sila dapatkan nasihat daripada orang yang sepatutnya.
Tetapi jika ingin bertanya tempat makan sedap atau harga tiket wayang, sememangnya media sosial merupakan platform terbaik untuk anda!