backup og meta

Ptosis Kelopak Mata

Definisi

Apa itu Ptosis Kelopak Mata?

Semakin kita tua, kelopak mata bawah kadang-kadang mula melendut daripada biji mata. Melendut merupakan kesan daripada nada otot yang berkurangan dalam otot yang mengawal kelopak mata.

Sekiranya kelopak mata atas anda melendut terlalu bawah (ptosis) atau kelopak mata melitupi tepi mata, penglihatan anda mungkin akan terganggu. Bergantung kepada tahap keterukan sesuatu keadaan dan sejauh mana ia menghalang pupil, kelopak mata yang melendut boleh menghalang atau mengurangkan penglihatan. Dalam kebanyakan kes, keadaan ini boleh dipulihkan, sama ada secara semula jadi atau melalui intervensi perubatan.

Apakah kebarangkalian Ptosis Kelopak Mata?

Ptosis Kelopak Mata boleh terjadi kepada pesakit pelbagai umur. Ia boleh diuruskan dengan mengurangkan faktor-faktor risikonya. Sila berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Simptom-simptom

Apakah simptom-simptom Ptosis Kelopak Mata?

Simptom utama kelopak mata melendut adalah satu atau kedua kelopak mata mengendur. Dalam beberapa keadaan, hal ini boleh menjejaskan penglihatan anda. Walau bagaimanapun, kebanyakan orang mendapati bahawa kelopak matanya yang melendut itu hampir tidak kelihatan atau tidak berlaku sepanjang masa. Anda juga mungkin akan mengalami mata yang sangat kering atau berair. Dan anda mungkin akan mendapati bahawa wajah anda kelihatan lelah atau letih.

Bahagian bermasalah utama akan berlaku di sekitar mata. Anda mungkin mengalami sakit-sakit yang boleh menyebabkan anda kelihatan letih. Beberapa pesakit dalam kes yang teruk terpaksa mendongakkan kepala mereka ke belakang sepanjang masa apabila bercakap mahupun semasa perbualan biasa.

Doktor perlu menyiasat kelopak mata melendut yang berlarutan bagi memastikan tiada penyakit tersirat. Hal ini sangat penting sekiranya anda mengalami sakit kepala migrain atau isu lain yang timbul semenjak anda pertama kali mendapati kelopak mata melendut.

Terdapat beberapa simptom lagi yang tidak disenaraikan di atas. Jika anda mempunyai sebarang kemusykilan terhadap sesuatu simptom, sila merujuk dengan doktor anda.

Bila saya harus berjumpa doktor?

Anda perlu menghubungi doktor sekiranya anda mengalami mana-mana yang berikut:

  • Kelopak mata melendut menjejaskan penampilan mahupun penglihatan anda.
  • Satu kelopak mata tiba-tiba melendut atau menutup mata.
  • Ia disertai dengan beberapa simptom lain, seperti penglihatan ganda atau rasa sakit.
  • Kelopak mata melendut pada kanak-kanak.
  • Baru mengalami atau cepat berubah kelopak mata melendut bagi orang dewasa.

Punca

Apakah punca Ptosis Kelopak Mata?

Punca semula jadi: Sesiapa sahaja boleh mengalami kelopak mata melendut, tetapi kebanyakannya sering terjadi kepada orang tua. Hal ini kerana ia merupakan proses penuaan semula jadi. Tendon yang dihubungkan dengan otot levator, bertanggungjawab untuk mengangkat kelopak mata. Seiring usia, otot tersebut boleh direnggangkan dan, hasilnya ia menyebabkan kelopak mata untuk jatuh. Namun begitu perlu diingat, semua orang pada pelbagai umur boleh mengalaminya. Kadang-kadang bayi dilahirkan dengan keadaan ini, tetapi ia jarang berlaku.

Kadang-kadang punca sebenar tidak diketahui, tetapi di masa lain ia mungkin disebabkan oleh trauma. Ia juga boleh jadi neurologikal. Punca biasa yang sering menyebabkan ptosis kongenital ialah otot levator tidak berkembang dengan sempurna seterusnya menjejaskan keupayaan anda untuk membuka mata.

Kanak-kanak yang mempunyai ptosis mungkin juga akan mengalami ambliopia, yang biasanya dikenali sebagai mata malas. Gangguan ini juga boleh melambatkan atau mengehadkan penglihatan mereka.

Keadaan perubatan: Sekiranya kelopak mata anda melendut, ia mungkin menjadi tanda kepada penyakit tersirat terutamanya jika penyakit tersebut menjejaskan kedua kelopak mata. Sekiranya satu kelopak mata sahaja yang melendut, ia mungkin kesan daripada kecederaan saraf atau ketumbit sementara (keradangan dan bengkak pada kelopak mata yang biasanya tidak berbahaya). LASIK rutin atau pembedahan katarak kadang-kadang dipersalahkan atas perkembangan ptosis, ia dikaitkan sebagai hasil daripada regangan otot atau tendon.

Keadaan serius: Dalam beberapa kes, kelopak mata melendut disebabkan oleh keadaan yang lebih serius seperti strok, ketumbuhan otak atau kanser saraf mahupun otot. Gangguan neurologikal yang menjejaskan saraf atau otot mata seperti miastenia gravis juga boleh mengakibatkan ptosis. Penyakit lain yang boleh menyebabkan ptosis termasuk:

  • Ketumbuhan pada sekeliling atau belakang mata.
  • Diabetes.
  • Sindrom Horner.
  • Bengkak pada kelompak mata, seperti ketumbit.

Faktor-faktor Risiko

Apakah yang meningkatkan risiko saya kepada Ptosis Kelopak Mata?

Terdapat banyak faktor risiko bagi ptosis kelopak mata, seperti:

  • Penuaan.
  • Diabetes.
  • Strok.
  • Sindrom Horner.
  • Ketumbuhan Otak.

Diagnosis dan Rawatan

Maklumat yang diberikan bukan pengganti untuk sebarang nasihat perubatan. SILA berunding dengan doktor anda untuk maklumat lanjut.

Bagaimana pesakit Ptosis Kelopak Mata didiagnosis?

Doktor anda berkemungkinan akan melakukan pemeriksaan fizikal dan bertanyakan tentang sejarah perubatan anda. Sebaik sahaja anda memberitahu tentang kekerapan kelopak mata melendut dan tempoh masa keadaan ini berlaku, doktor anda akan melaksanakan beberapa ujian bagi mencari puncanya.

  • Pemeriksaan lampu-slit: Pemeriksaan lampu-slit akan dilakukan, seterusnya doktor akan melihat secara dekat pada mata anda dengan bantuan cahaya berkepekatan tinggi. Mata anda akan didilatkan bagi pemeriksaan ini. Jadi anda mungkin mengalami sedikit ketidakselesaan pada mata.
  • Ujian tensilon: Doktor anda akan menyuntik ubat yang dipanggil tensilon (nama umum: edrophonium) ke dalam salah satu vena. Anda mungkin akan diminta untuk menyilangkan mata atau membuat pergerakan lain yang menggunakan otot mata anda. Doktor akan memantau anda untuk melihat sekiranya tensilon memperbaiki kekuatan otot anda. Hal ini akan membantu mereka menentukan jika masalah otot menjadi punca kepada kelopak mata melendut.
  • Ujian medan penglihatan.

Bagaimana pesakit Ptosis Kelopak Mata dirawat?

Rawatan bagi kelopak mata melendut bergantung kepada punca yang spesifik. Sekiranya keadaan ini kesan dari penuaan atau sesuatu yang anda dilahirkan dengannya, anda mungkin tidak menerima rawatan. Doktor akan menerangkan yang anda tidak perlu melakukan apa-apa kerana keadaan ini biasanya tidak berbahaya kepada kesihatan. Walau bagaimanapun, anda diberi pilihan untuk melakukan pembedahan plastik sekiranya anda mahu mengurangkan lendutannya.

Sekiranya kelopak mata anda menghalang penglihatan, anda perlu mendapatkan rawatan perubatan. Doktor mungkin mengesyorkan pembedahan. Kaca mata yang boleh menahan kelopak mata juga merupakan pilihan lain. Rawatan ini selalunya sangat efektif apabila kelopak mata melendut berlaku hanya sementara. Oleh itu, anda tidak perlu memakai kaca mata tersebut sepanjang masa. Kaca mata juga akan disyorkan sekiranya anda tidak tercalon untuk melakukan pembedahan.

Doktor anda mungkin mengesyorkan pembedahan ptosis. Dalam prosedur ini, otot levator diketatkan. Ia akan mengangkat kelopak mata ke atas kepada posisi yang dikehendaki. Alternatif lain ialah pembedahan anduh, yang mana otot dahi digunakan untuk mengangkat kelopak mata.

Bagi kanak-kanak yang mengalami ptosis, kadang-kadang doktor mengesyorkan pembedahan bagi mengelakkan permulaan ambliopia atau mata malas

Sekiranya doktor mendapati kelopak mata anda melendut disebabkan oleh penyakit tersirat, anda berkemungkinan dirawat bagi penyakit tersebut terlebih dahulu. Hal ini biasanya menghalang kelopak mata daripada kendur.

Perubahan gaya hidup & rawatan sampingan

Apakah perubahan gaya hidup dan rawatan sampingan yang boleh saya ambil untuk menangani Ptosis Kelopak Mata?

Tiada rawatan di rumah untuk kelopak mata melendut. Tetapi pembedahan kadang-kadang boleh membantu.

Sekiranya anda mempunyai sebarang pertanyaan, sila berunding dengan doktor untuk memahami dengan lebih baik penyelesaian terbaik untuk anda.

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Eyelid Drooping (Ptosis). http://www.healthline.com/health/eyelid-drooping#Overview1. Accessed October 19, 2016.

Eyelid drooping. https://medlineplus.gov/ency/article/001018.htm. Accessed October 19, 2016.

Drooping Eyelids – Description. http://www.webmd.com/eye-health/tc/drooping-eyelids-description. Accessed October 19, 2016.

Ptosis (Drooping Eyelid). http://www.keystoneeyecare.com/vision-services/management-of-eye-diseases/ptosis-drooping-eyelid/. Accessed October 19, 2016.

Versi Terbaru

13/09/2019

Ditulis oleh Nur Hadirah Mustafa

Fakta Disemak oleh Hello Doktor Medical Panel

Diperbaharui oleh: Muhammad Wa'iz


Artikel Berkaitan

Mata Juling VS Mata Malas: Benarkah Hanya Kanak-kanak Yang Berisiko Alaminya?

8 Mitos Berkenaan Kesihatan Mata Paling Popular! #5 Tu Boleh Percaya Ke?


Fakta Disemak oleh

Hello Doktor Medical Panel


Ditulis oleh Nur Hadirah Mustafa · Disemak pada 13/09/2019

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan