backup og meta

Bahaya Buka Mata Masa Berenang Dalam 'Pool', Boleh Jejaskan Penglihatan?

Bahaya Buka Mata Masa Berenang Dalam 'Pool', Boleh Jejaskan Penglihatan?

Dalam cuaca panas ini, pasti syok sekali jika dapat berendam di dalam air kolam, kan? Namun, tahukah anda kesan di sebalik air klorin terhadap kornea dan kesihatan mata secara menyeluruh?

Klorin, sejenis bahan asas untuk kebanyakan produk pembersih rumah, juga terkandung dalam bahan kimia kolam renang, seperti kalsium atau natrium hipoklorit.

Ia bertindak sebagai antimicrobial pesticides, yang membunuh bakteria dan mengawal alga di dalam air.

Kehadiran klorin di dalam air kolam renang bertujuan untuk menjaga kebersihannya.

Klorin bantu mengurangkan bakteria dan virus untuk mencegah patogen dan penyakit daripada merebak.

Walaupun klorin adalah agen pembersih air yang bagus, namun keberkesanannya bergantung pada beberapa faktor.

Ini termasuklah seberapa baru klorin ditambahkan ke dalam air, kepekatan bahan kimia dan sekerap mana kolam digunakan.

Jadi, apa sebenarnya kesan air klorin terhadap mata kita? Adakah ia memudaratkan? Teruskan pembacaan okey!

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mata, sila dapatkannya di sini.

Memahami kesan klorin terhadap mata

Apabila mata anda terdedah kepada air kolam berklorin, lapisan air mata (tear film) yang biasanya berfungsi sebagai pelindung kornea akan menghilang.

Ini bermakna, mata anda tidak lagi terlindung daripada kekotoran atau bakteria yang tidak dihilangkan sepenuhnya oleh air kolam berklorin. Maka, para perenang berupaya terdedah kepada jangkitan mata.

Ya, menyelam dengan mata yang terbuka pastinya menggoda untuk dilakukan, terutama pada hari yang cerah ketika airnya jernih dan menyegarkan!

Tetapi, sila berfikir 2 kali dahulu sebelum kalian berbuat demikian okey? Ini kerana, ada bahayanya… Anda hanya akan merisikokan kesihatan mata!

Mata akan mengalami apa yang disebut oleh American Optometric Association sebagai konjunktivitis kimia; kes sakit mata yang disebabkan oleh air klorin kolam renang.

Masalah berkaitan dengan mata yang paling kerap terjadi akibat air berklorin termasuklah:

jangkitan konjunktivitis

  1. Konjunktivitis: Jangkitan boleh terbentuk sama ada disebabkan oleh bakteria atau virus dan ia hidup di dalam air. Ia menyebabkan mata alami kegatalan dan kemerahan.
  2. Mata merah: Klorin mengeringkan mata dan, seperti yang disebutkan di atas, menghilangkan lapisan air mata. Ini mengakibatkan penglihatan kabur, tetapi biasanya hanya bersifat sementara. Kemerahan berlaku apabila saluran darah berdekatan permukaan mata anda menjadi lebih besar dan melebar.
  3. Acanthamoebic keratitis: Amoeba adalah organisma sel tunggal yang hidup di dalam air atau sebagai parasit, yang menjadikan kolam renang sebagai medium yang ideal untuk menyebarkannya. Sekiranya anda berenang dengan memakai kanta lekap, anda berisiko terkena Acanthamoebic keratitis, kerana bakteria tersebut akan terperangkap di antara kornea dan kanta lekap. Hal ini boleh menyebabkan ulser kornea, penglihatan rosak secara kekal dan menyebabkan jangkitan teruk! Dalam kes yang paling parah, pesakit bakal memerlukan pemindahan kornea untuk bantu mengembalikan penglihatan mereka.

Sains di sebalik air klorin…

Punca utama terjadinya kerengsaan mata setelah berenang adalah kerana tahap pH klorin.

Tahap pH normal air ialah 7 (neutral); di bawah 7 menunjukkan tahap lebih berasid, dan nilai di atas 7 menunjukkan tahap alkali.

PH air kolam harus berada di antara 7.2 dan 7.8 agar selamat digunakan perenang, di samping memastikan tahap bakteria kekal rendah.

Sebaik-baiknya, klorin di kolam renang mempunyai pH 6.5 yang membuatkannya 100% berkesan terhadap bakteria.

Walau bagaimanapun, 6.5 akan menjadi terlalu berasid untuk kulit kita, itulah sebabnya tahap yang disyorkan adalah antara 7.2 ke 7.8.

Pada kadar PH yang kurang berasid ini, klorin tidak dapat mematikan kuman, lemak dan minyak di dalam air dengan berkesan, menyebabkan bakteria dan risiko jangkitan masih wujud.

Justeru, kerengsaan serta jangkitan mata boleh tercetus kerana klorin tidak dapat berfungsi dengan baik.

Begitu juga bagi masalah kegatalan mata yang berlaku dek kandungan klorin yang berlebihan di dalam air.

Pokok pangkalnya, mencari keseimbangan PH yang tepat adalah mustahak!

Bagaimana pula jika berenang di dalam air tawar?

berenang

Sekiranya anda berenang di dalam air yang tidak dirawat dengan klorin, seperti sungai atau tasik, kalian sebenarnya berhadapan risiko lebih besar untuk terkena jangkitan mata!

Apabila mata anda terdedah kepada air sebegini, lapisan air mata semula jadi yang melindungi kornea daripada bakteria akan menghilang.

Seperti yang telah penulis terangkan, perkara ini bakal menyebabkan mata anda terjejas terhadap kekotoran dan bakteria yang terkandung di dalam air.

Oleh itu, pemakaian pelindung mata goggles menjadi cara terbaik untuk melindungi mata daripada klorin dan bakteria yang terkandung sama ada di kolam renang atau tasik air tawar.

Tetapi jika anda tidak memilikinya dan masih ingin berenang, yakinlah bahawa pada tahap PH yang disyorkan, klorin dianggap selamat untuk mata anda.

Tambah lagi, dengan membilas mata menggunakan air yang bersih dan sejuk setelah berenang adalah cara mudah untuk melegakan sebarang kerengsaan.

Ubat titis mata juga merupakan kaedah mudah untuk sakit mata, menjadikannya barangan penting untuk dibawa bersama ke kolam renang pada musim panas ini!

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. https://health.clevelandclinic.org/pools-lakes-sprinklers-when-are-they-dangerous-for-your-eyes/
  2. https://scienceline.org/2007/07/ask-bewley-cloudypooleyes/
  3. https://www.aao.org/eye-health/tips-prevention/swimming-contacts-your-eyes
  4. https://blog.ochsner.org/articles/is-chlorine-bad-for-your-little-swimmers-eyes
  5. https://waterandhealth.org/healthy-pools/the-truth-about-chlorine-in-swimming-pools/

Versi Terbaru

15/09/2021

Ditulis oleh Nisreen Nadiah

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Asyikin Md Isa


Artikel Berkaitan

Bahayakah Jangkitan Konjunktivitis?

Lindungi Kulit Anda daripada Klorin Sewaktu Berenang


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Nisreen Nadiah · Disemak pada 15/09/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan