backup og meta

Orang Lelaki Lebih Ramai Yang Buta Warna Berbanding Kaum Wanita, Apa Sebabnya?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 24/07/2023

Orang Lelaki Lebih Ramai Yang Buta Warna Berbanding Kaum Wanita, Apa Sebabnya?

Buta warna (atau rabun warna) bukanlah satu masalah kesihatan yang asing.

Ia berlaku apabila terdapat masalah pada fungsi pigmen pengesan cahaya yang terletak di dalam mata.

Kebanyakan individu yang mengalami masalah rabun ini tidak dapat membezakan di antara warna merah dan hijau.

Namun, terdapat segelintir yang sukar membezakan warna kuning dan biru.

Tahap keterukan buta warna akan menentukan sama ada anda dapat membezakan sebarang warna yang terdapat di persekitaran anda.

Jika terlalu serius, seseorang itu boleh didiagnosis dengan masalah akromatopsia (rabun warna penuh), iaitu penghidap hanya boleh melihat warna kelabu atau hitam dan putih sahaja.

Mungkin bagi segelintir individu keadaan ini tidak serius. 

Namun ada juga keadaan di mana ia begitu teruk sehingga mempengaruhi kualiti hidup.

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Mata, sila dapatkannya di sini.

Kenapa lelaki lebih mudah mendapat masalah rabun warna?

rabun warna

Maklumat genetik bagi masalah rabun ini dibawa oleh kromosom seks X. 

Oleh sebab lelaki hanya mewarisi 1 kromosom X daripada maklumat genetik ibu, mereka lebih berisiko untuk mendapat masalah rabun ini sekiranya ibu adalah pembawa kepada masalah tersebut.

Kajian oleh Persatuan Optometri Amerika (AOA) menunjukkan 8% lelaki berkulit putih dilahirkan dengan masalah buta warna berbanding dengan 0.5% wanita dari pelbagai jenis bangsa.

Kebanyakan individu hanya sedar mereka buta warna ketika mengambil ujian khusus i.e. semasa ambil lesen memandu.

Walaupun mereka yang rabun ini sering didiagnosis ketika usia muda, namun ada segelintir yang sukar dikesan.

Ini berikutan mereka boleh mengaitkan warna dengan objek yang spesifik.

Sebagai contoh, rumput dengan warna hijau atau cili kering dengan warna merah.

Sekiranya tahap keterukan buta warna itu tidak serius, simptom yang dialami berkemungkinan tidak jelas bagi mereka yang menghidapnya.

Rabun warna bukan disebabkan oleh masalah genetik sahaja

Walaupun majoriti individu yang mengalami buta warna genetik, tapi kerosakan pada saraf optik mata juga boleh menyebabkan permasalahan yang sama.

rabun warna

Mata manusia mempunyai sel saraf yang dikenali sebagai sel kon. 

Ia membolehkan retina (bahagian yang sensitif pada cahaya) menterjemahkan isyarat cahaya kepada warna.

Ada 3 jenis sel kon di dalam mata manusia dan ia boleh bertindak balas kepada warna merah, hijau dan biru.

Apabila isyarat cahaya mencecah sel kon, ia akan menghantar maklumat tersebut ke otak dan diterjemahkan kepada warna.

Kecederaan atau apa-apa faktor yang merosakkan sel kon tersebut boleh menyebabkan individu sukar menterjemah isyarat warna dengan betul.

Apa punca buta warna selain masalah genetik?

Masalah kesihatan mata

Kecederaan secara langsung pada saraf optik atau faktor yang boleh menyebabkan kerosakan saraf optik adalah punca utama rabun ini.

Ini berikutan peranan saraf optik penting bagi membawa isyarat cahaya untuk diterjemahkan pada otak.

Antara penyakit yang boleh mempengaruhi integriti sel kon dalam mata adalah:

rabun warna

  1. Masalah retinopati diabetes 
  2. Glaukoma
  3. Degenerasi makula
  4. Masalah katarak. Apabila lensa mata berubah menjadi legap, cahaya tidak dapat masuk.
  5. Sklerosis multipel
  6. Penyakit Alzheimer

Ubat-ubatan punca rabun warna

Kesan sampingan antibiotik ethambutol yang sering digunakan dalam rawatan penyakit tuberkulosis boleh menyebabkan gangguan pada fungsi saraf optik.

Akibatnya, mereka yang mengalami kesan sampingan tersebut mempunyai kesukaran untuk melihat dan mengenal pasti warna di sekeliling.

Individu yang mengambil ubat antipsikotik chlorpromazine dan thioridazine turut berisiko mengalami kesan sampingan yang sama.

Faktor lain

Faktor lain seperti penuaan dan kecederaan yang melibatkan bahan kimia boleh menyebabkan seseorang itu mengalami rabun.

Oleh sebab proses penuaan turut mempengaruhi fungsi penglihatan, populasi tersebut boleh mengalami kesukaran untuk mengenal pasti warna.

Macam mana nak tahu jika anda alami rabun warna?

Mereka yang buta warna tidak dapat mengenali warna disebabkan sel kon mereka tidak berfungsi dengan baik.

Ujian menggunakan carta pseudoisokromatik atau carta ishihara agak popular dalam mendiagnosis masalah buta warna.

Ia merupakan gambar dengan dot berwarna yang mengandungi nombor atau simbol.

Jika anda mempunyai masalah buta warna, anda akan mengalami kesukaran untuk membaca nombor atau simbol tersebut.

Baca juga:

Buta warna, adakah boleh dirawat?

Jika masalah rabun yang anda alami ini berpunca daripada faktor selain genetik, rawatan terhadap masalah kesihatan tersebut boleh mengembalikan fungsi kesan warna asal.

Namun, bagi mereka yang lahir dengan masalah genetik buta warna, tiada ubat yang boleh menyembuhkan keadaan tersebut.

Doktor mungkin akan menyarankan penggunaan kanta lekap yang boleh membantu anda untuk membezakan warna.

Terdapat juga aplikasi yang boleh menukarkan warna di dalam skrin komputer atau alat elektronik kepada warna yang boleh digunakan oleh mereka yang buta warna.

Kesimpulannya, masalah rabun warna merupakan keadaan kronik yang perlu diuruskan dengan baik.

Jika anda mengalami masalah ini disebabkan oleh masalah kesihatan lain seperti glaukoma, pastikan anda mendapatkan rawatan dengan kadar segera. 

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 24/07/2023

advertisement iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

advertisement iconIklan
advertisement iconIklan