backup og meta
Info Kesihatan
Alat Kesihatan

1

Tanya Doktor
Simpan

Tak Perlu Malu, Rawat Saja Masalah Mati Pucuk Di Rumah, Hanya 5 Minit Sehari!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 01/12/2022

    Tak Perlu Malu, Rawat Saja Masalah Mati Pucuk Di Rumah, Hanya 5 Minit Sehari!

    Masalah lelaki mati pucuk (atau disfungsi erektil lelaki, ED) merupakan satu isu hubungan seksual yang sering mendapat perhatian ramai.

    Di laman web carian Google sahaja, lebih daripada 2 juta pencarian berkaitan dengan isu mati pucuk dibuat setiap bulan.

    Oleh sebab kesihatan seksual boleh mempengaruhi kualiti hidup manusia, masalah sebegini perlu mempunyai penyelesaian yang berkesan.

    Faktor yang menyebabkan berlakunya mati pucuk perlu difahami dan kesannya kepada kesihatan mental dan psikologi lelaki perlu diperakui.

    Kajian sains menunjukkan terdapat senaman yang boleh membantu meredakan simptom mati pucuk dalam kalangan penghidap. Baca ini. 

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kesihatan Lelaki, sila dapatkannya di sini.

    Definisi dan konteks lelaki mati pucuk atau disfungsi erektil lelaki

    disfungsi erektil lelaki

    Apa yang anda perlu faham adalah mati pucuk tidak semestinya merujuk kepada mereka yang tidak boleh mengalami ereksi.

    Lelaki yang tidak boleh mengekalkan ereksi semasa hubungan seks juga boleh didiagnosis dengan masalah mati pucuk.

    Kebanyakan lelaki boleh mengalami keadaan ini terutamanya jika mereka stres. Kaitan antara kesihatan mental dan seksual terbukti melalui kajian saintifik.

    Secara amnya, lelaki yang mengalami masalah emosi dan hubungan berisiko untuk berhadapan masalah ini.

    Namun, apa yang lebih serius adalah masalah mati pucuk yang disebabkan oleh penyakit kronik seperti sakit jantung, kencing manis dan obesiti.

    Jika penyakit tersebut tidak dikawal, masalah mati pucuk boleh mempengaruhi kesihatan individu secara menyeluruh.

    Perlu ambil ubat ke untuk rawat masalah mati pucuk?

    Mungkin anda biasa dengar ubat Viagra dalam rawatan mati pucuk. Namun ia bukanlah ubat mati pucuk paling mujarab.

    Walaupun penggunaan ubat tersebut mampu memulihkan fungsi organ seks lelaki, tapi preskripsinya bergantung kepada keadaan klinikal pesakit.

    Sebagai contoh, mereka yang mengalami masalah berkaitan dengan stres dan kemurungan perlu mendapatkan bantuan pakar.

    Pun begitu, terdapat senaman yang boleh diamalkan bagi mengurangkan kesan patologi mati pucuk terhadap kehidupan seks anda.

    Kajian yang dijalankan oleh Universiti England Barat di UK pada tahun 2005 menunjukkan senaman pelvik boleh membantu 40% subjek lelaki mati pucuk untuk mengalami ereksi.

    Bukan itu sahaja, ereksi mereka mengalami peningkatan kualiti setinggi 33.5%.

    Dapatan ini disokong oleh beberapa kajian lain yang turut menunjukkan potensi senaman otot pelvik dalam merawat masalah mati pucuk dan isu kesihatan berkaitan dengan pelvik.

    Asas kepada senaman kegel bagi lelaki

    Senaman pelvik atau senaman kegel boleh membantu lelaki untuk menguatkan otot yang dikenali sebagai otot bulbocavernosus.

    Otot ini mempunyai 3 fungsi penting iaitu:

    1. Membolehkan zakar dipenuhi dengan darah semasa ereksi. 
    2. Membantu mengosongkan tiub uretra selepas kencing.
    3. Mengepam keluar air mani semasa proses ejakulasi

    Jika anda pernah cuba menahan air kencing keluar, otot yang mengeras semasa tindakan tersebut merupakan sasaran utama bagi senaman kegel lelaki untuk elak mati pucuk.

    Apa yang anda perlu buat secara asasnya adalah kemut otot tersebut, tahan untuk 5 saat dan relaks. 

    Senaman ini boleh dibuat 2 hingga 3 kali sehari. Pada setiap sesi, ulang sebanyak 10 hingga 20 kali.

    Dalam masa sehari, anda hanya perlu luangkan 5 minit sahaja untuk senaman kegel pada kekerapan 20 kemutan 3 kali sehari.

    Pun begitu, senaman ini bukanlah aktiviti ajaib yang boleh merawat semua jenis mati pucuk.

    Bagi yang mengalami mati pucuk tahap teruk, ia perlu diiringi dengan rawatan doktor.

    Senaman kegel boleh dilakukan dalam posisi yang berbeza seperti baring, duduk atau ketika berdiri.

    Jika pada cubaan pertama anda tidak boleh melakukan sebanyak 10 kali, usah risau.

    Kalau sentiasa diulang, lama-kelamaan anda boleh melakukan sehingga 20 kali pada kekerapan 3 kali sehari.

    Seperti otot lain, ia akan menjadi kuat jika selalu dilatih.

    Anda mungkin berminat:

    Senaman aerobik turut berkesan dalam merawat masalah disfungsi erektil lelaki

    disfungsi erektil lelaki

    Kajian yang diterbitkan pada tahun 2014 di laman Jurnal Kardiologi Amerika menunjukkan senaman aerobik boleh membantu merawat masalah mati pucuk atau disfungsi erektil lelaki.

    Oleh sebab mati pucuk diakibatkan oleh masalah pengaliran darah di dalam badan, senaman yang melancarkan pengaliran darah boleh membantu.

    Tak perlu buat senaman berat jika tidak mahu, berjalan laju selama 30 minit, 3 hingga 4 kali seminggu juga boleh memberikan impak yang besar dalam kehidupan anda.

    Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan aktiviti senaman berintensiti sederhana (joging, jalan laju) sekurang-kurangnya 150 minit seminggu bagi setiap individu untuk kekal sihat.

    Jangan hanya bergantung kepada pil untuk menyelesaikan masalah mati pucuk atau disfungsi erektil lelaki.

    Pastikan anda cuba alternatif sihat seperti senaman untuk menambah baik kualiti hidup anda.

    Konklusi

    Anda boleh cuba amalkan senaman kegel dan aerobik untuk bantu atasi masalah kesihatan termasuklah mati pucuk atau disfungsi erektil lelaki.

    Ingat, jika anda mempunyai masalah disfungsi erektil lelaki teruk, nasihat daripada doktor berkaitan dengan perubahan gaya hidup dan rawatan ubat perlu dituruti.

    Senaman tidak boleh bantu untuk rawat masalah lelaki mati pucuk jika pemakanan dan pengambilan ubat (sekiranya perlu) tidak dijaga dengan baik.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 01/12/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan