backup og meta

Sakit Kepala Lepas Bangun Tidur? Ini Mungkin Angkara Hipoglisemia Nokturnal

Sakit Kepala Lepas Bangun Tidur? Ini Mungkin Angkara Hipoglisemia Nokturnal

Benarkah penghidap diabetes perlu suntik insulin sebelum tidur untuk elakkan daripada mengalami hipoglisemia waktu malam atau turut dikenali sebagai hipoglisemia nokturnal?

Kalau ingin tahu jawapannya, teruskan membaca perkongsian artikel ini. 

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.

Hipoglisemia nokturnal, paras glukosa rendah waktu malam

Sebelum mengetahui sama ada dengan suntik insulin sebelum tidur dapat mencegah hipoglisemia waktu malam atau tidak, kita fahami terlebih dahulu mengenai masalah penurunan tahap glukosa semasa tidur ini.

Paras gula dalam darah boleh turun di bawah julat seimbang waktu malam jika seseorang makan terlalu sedikit selepas mengambil dos insulin biasa di malam hari atau lebih banyak daripada ditetapkan pada waktu petang.

Tahap glukosa juga boleh menurun jika:

  • Terdapat masalah dengan insulin contohnya, ia telah tamat tempoh atau cara penyimpanan tidak betul
  • Jumlah insulin berubah seperti apabila doktor melakukan perubahan dos
  • Jatuh sakit

Tetapi kadang-kadang sebabnya tidak jelas. Hipoglisemia waktu malam juga mungkin berkaitan senaman yang dilakukan sebelumnya atau peningkatan aktiviti fizikal.

Umumnya, hipoglisemia waktu malam adalah keadaan biasa pada individu yang merawat diabetes dengan insulin. Namun ia juga boleh terjadi kepada pesakit diabetes dengan ubat antidiabetik oral. Gejala hipo ini hanya disedari apabila bangun tidur.

Baca juga:

Siapa yang berisiko?

Keadaan hipo ini juga boleh terjadi kepada:

  • Individu yang melangkau hidangan makan, terutamanya waktu malam
  • Bersenam sebelum tidur
  • Minum alkohol sebelum tidur
  • Mempunyai jangkitan

Tidak suntik insulin sebelum tidur? Ini simptom yang boleh dialami

Kadangkala anda mungkin terjaga semasa episod hipoglisemia pada waktu malam.

Walau bagaimanapun, jika tidak terjaga, anda mungkin melihat satu atau lebih daripada tanda berikut yang menunjukkan hipoglisemia mungkin berlaku semasa sedang tidur, seperti:

  • Bangun dengan sakit kepala
  • Mengalami gangguan tidur yang seolah-olah tidak diprovokasi
  • Degupan jantung laju
  • Menggeletar atau menggigil
  • Rasa letih yang luar biasa
  • Bangun dengan pakaian tidur dan cadar lembap kerana berpeluh
  • Bahagian leher terasa basah

suntik insulin sebelum tidur

Hipoglisemia nokturnal pada kanak-kanak

Bagi ibu bapa dengan anak menghidap diabetes, masalah hipo pada waktu malam boleh menjadi keadaan yang membimbangkan.

Anda mungkin ingin memeriksa leher anak semasa mereka tidur sekiranya risau hipoglisemia waktu malam mungkin berlaku. 

Selain tidak suntik insulin sebelum tidur, apakah punca hipoglisemia?

Berikut antara punca keadaan hipo waktu malam mungkin terjadi:

  • Tahap insulin basal terlalu tinggi 
  • Aktiviti fizikal di siang hari boleh meningkatkan sensitiviti insulin yang boleh menyebabkan hipoglisemia pada waktu malam
  • Diikuti dengan pengambilan alkohol
  • Melangkau sesi snek di malam hari, apabila ia menjadi rutin
  • Melangkau hidangan makan malam
  • Jatuh sakit untuk tempoh tertentu selepas insulin basal meningkat

Suntik insulin sebelum tidur bantu rawat hipoglisemia

Sudah tentu untuk mengelakkan keadaan ini, memastikan diri mendapat suntikan insulin seperti disarankan adalah cara yang terbaik.

Pun begitu, cara rawatan sekiranya hipo waktu malam terjadi adalah sama seperti mengatasi masalah hipoglisemia secara am.

Caranya dengan mengambil 10-15 gram makanan manis dengan tindak balas pantas seperti gula-gula atau tablet glukosa dan beberapa karbohidrat tindak balas perlahan seperti roti bagi mengelakkan hipoglisemia terus berlaku.

Sebaiknya sediakan bekalan karbohidrat di sebelah katil untuk merawat keadaan ini secepat mungkin jika ia berlaku.

suntik insulin sebelum tidur

Selain suntik insulin sebelum tidur, ini langkah mencegah hipoglisemia waktu malam

Langkah pertama ke arah mencegah hipoglisemia adalah untuk mengukur tahap glukosa darah sebelum tidur – sama ada menggunakan meter glukosa atau peranti pemantauan glukosa berterusan.

Bagi mereka yang mengambil 2 atau lebih suntikan insulin setiap hari, pencegahan boleh dilakukan dengan mengekalkan tahap glukosa melebihi 6.5 mmol/l sebelum tidur.

Jika mengesyaki diri mengalami hipoglisemia nokturnal, lakukan ujian darah pada pukul 3 pagi. Dengan hasil ujian sebelum tidur dan pada awal pagi ini, ia dapat membantu untuk memahami tindak balas tahap gula anda sepanjang malam.

Jika gula terlalu rendah sepanjang malam, anda mungkin perlu melaraskan dos insulin. Berbincanglah dengan doktor untuk melaraskan kadar insulin dengan betul.

Cara lain untuk mengelakkan paras gula terlalu rendah adalah dengan mengambil sedikit karbohidrat sebelum tidur.

suntik insulin sebelum tidur

Selain suntik insulin sebelum tidur, hipoglisemia nokturnal boleh dicegah dengan:

  • Memastikan dos insulin basal tidak terlalu tinggi
  • Mengurangkan kadar insulin malam atau petang selepas bersenam
  • Mengambil karbohidrat sebelum tidur selepas minum petang atau malam
  • Konsisten dengan sesi hidangan makan/snek

Pemeriksaan doktor

Penting untuk berjumpa doktor jika anda mengetahui atau mengesyaki diri mengalami hipoglisemia waktu malam.

Berikut beberapa pilihan yang mungkin dicadangkan oleh doktor:

  • Menukar dos, jenis, atau masa insulin
  • Menukar dos, jenis, atau masa untuk ubat lain
  • Membangunkan strategi pemantauan gula darah baharu seperti pemantauan glukosa berterusan

Untuk mengurangkan risiko terdedah kepada keadaan ini, pastikan suntikan insulin sebelum tidur diambil seperti disarankan doktor. Ia bagi memastikan tahap glukosa berada pada tahap yang stabil.

[embed-health-tool-bmi]

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Nocturnal Hypoglycemia – Night Time Hypo. https://www.diabetes.co.uk/nocturnal-hypoglycemia.html#, Accessed on March 5, 2022
  2. Avoiding Nighttime Hypoglycemia. https://www.joslin.org/patient-care/diabetes-education/diabetes-learning-center/avoiding-nighttime-hypoglycemia, Accessed on March 5, 2022
  3. Hypoglycemia: Nocturnal. https://www.hopkinsmedicine.org/health/conditions-and-diseases/diabetes/hypoglycemia-nocturnal, Accessed on March 5, 2022
  4. Nocturnal hypoglycemia. https://myhealth.alberta.ca/Health/pages/conditions.aspx?hwid=uq2844&, Accessed on March 5, 2022
  5. Hypoglycemia (Low Blood sugar). https://www.diabetes.org/healthy-living/medication-treatments/blood-glucose-testing-and-control/hypoglycemia, Accessed on March 5, 2022
  6. Anthony L. McCall. Insulin Therapy and Hypoglycemia (2012). https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4265808/, Accessed on March 5, 2022

Versi Terbaru

21/06/2022

Ditulis oleh Asyikin Md Isa

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Maria Stork


Artikel Berkaitan

Alami Badan Bergetar & Degupan Jantung Laju, Ini Petanda Hipoglisemia (Glukosa Darah Menurun)!

Hipoglisemia Diabetes Boleh Jadi Punca KOMA, Ketahui Cara Untuk Rawat!


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 21/06/2022

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan