Diabetes ialah penyakit kronik serius yang boleh menimbulkan pelbagai kerumitan kritikal. Diabetes menyebabkan sakit jantung, strok dan pelbagai penyakit kardiovaskular lain. Oleh itu, inovasi rawatan baharu yang berterusan penting untuk mengelakkan kesan diabetes terhadap individu, terutama sekali komplikasi penyakit jantung.
Sesungguhnya, penyakit kencing manis kini dikenali sebagai satu masalah kesihatan dan beban negara kita memandangkan bilangan individu yang didiagnosis semakin meningkat.
Teruskan membaca artikel ini untuk memahami penyakit kronik ini sepenuhnya serta perubatan terkini dalam penjagaan diabetes jenis dua.
Untuk mendapatkan lebih banyak info berkenaan Kencing Manis, anda boleh klik di sini.
Kelaziman diabetes jenis dua di Malaysia
Menurut Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi terkini, kadar kelaziman diabetes dalam kalangan dewasa berusia 18 tahun dan ke atas telah meningkat kepada 18.3% dalam tahun 2019, berbanding 13.4% pada 2015.
Angka ini membimbangkan kerana Persekutuan Diabetes Antarabangsa meramalkan peningkatan 18.7% pada tahun 2045, tetapi telah dicapai oleh negara kita 26 tahun lebih awal daripada yang dijangkakan.
Walaupun peningkatan peratusan tersebut sangat drastik, Dr Chan Siew Pheng, Pakar Perunding Endokrinologi mendedahkan sekurang-kurangnya masih terdapat 49% individu yang belum didiagnosis dengan penyakit ini.
Dalam 18.3% pesakit diabetes tersebut, 8.1% iaitu sebanyak 1.7 juta pesakit diabetes menyebabkan penyakit kronik seperti tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi.
Diabetes menyebabkan pelbagai penyakit kronik
Pola peningkatan diagnosis diabetes jenis dua hakikatnya amat membimbangkan, walaupun banyak kajian mendedahkan penyakit kronik ini mampu dicegah.
Antara faktor penyumbang kepada peningkatan ini ialah kebanyakan orang Malaysia berlebihan berat badan atau obes.
Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi mendedahkan satu dalam dua individu dewasa di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau obes, majoritinya adalah perempuan dan kaum India.
Berat badan berlebihan ditakrifkan sebagai indeks jisim badan (BMI) melebihi 25 kg/m² manakala obes pula melebihi 30 kg/m².
[embed-health-tool-bmi]
Selain indeks jisim badan, kegemukan di bahagian perut juga menjadi salah satu faktor risiko yang penting.
Satu dalam dua individu dewasa di Malaysia mempunyai obesiti abdomen di mana ukuran lilitan pinggang bersamaan atau melebihi 90 cm untuk lelaki dan bersamaan atau melebihi 80 cm untuk wanita. Seperti BMI, majoritinya adalah wanita sebanyak 64.8% dan kaum India (68.3%).
Antara faktor risiko diabetes jenis dua yang lain termasuklah:
- Gaya hidup kurang aktif
- Sejarah keluarga menghidap diabetes jenis dua
- Usia, di mana risiko mendapat diabetes jenis dua meningkat selepas 45 tahun
- Prediabetes, keadaan di mana jumlah gula dalam darah anda lebih tinggi daripada normal tapi belum cukup tinggi untuk dianggap sebagai diabetes jenis dua
- Sejarah diabetes gestasi bagi wanita
- Sindrom ovari polisistik (PCOS) buat wanita
Baca juga:
- Awas! Ada 7 Faktor Risiko Untuk Anda Menghidap Diabetes Jenis 2
- Amalan 5 Tabiat Ini Punca Diabetes, Ubah Gaya Hidup Anda Sekarang!
Diabetes menyebabkan penyakit jantung
Diabetes jenis dua senang untuk mudah diabaikan, terutama pada peringkat awal ketika anda masih berasa sihat.
Namun, diabetes menyebabkan banyak organ utama rosak termasuklah jantung, saluran darah, saraf, mata dan buah pinggang anda.
Mengawal tahap gula darah anda boleh membantu untuk mencegah komplikasi ini.
Dr Chan mendedahkan hanya 23.8% pesakit mempunyai kawalan gula darah yang memuaskan.
Walaupun kesan diabetes jangka panjang berkembang secara beransur-ansur, ia akhirnya boleh menjejaskan kualiti kehidupan, melumpuhkan bahkan mengancam nyawa.
Sementara itu, Datuk Seri Dr Azhari Rosman, Pakar Perunding Kardiologi di Institut Jantung Negara berkata, “Individu yang menghidap diabetes berkemungkinan lebih tinggi mengalami penyakit jantung awal jika tidak diuruskan dengan sewajarnya.”
“Pesakit perlu mendapatkan rawatan awal kerana statistik menunjukkan bahawa penyakit kardiovaskular merupakan punca kematian, sebanyak 80% antara mereka yang menghidap diabetes di Malaysia. Masalah ini kian serius kerana semakin ramai pesakit muda disahkan menghidap diabetes dan penyakit jantung pada usia muda,” katanya.
Jika pesakit tidak menguruskan kawalan gula dengan baik, paras gula darah tinggi boleh mengakibatkan plak terkumpul yang akan menyekat dan merosakkan saluran darah jantung.
Secara tidak langsung, ini akan menyebabkan kekurangan oksigen dan nutrien yang boleh menjurus kepada serangan jantung dan kematian.
Konklusi
Diabetes jenis dua adalah sejenis penyakit kronik yang boleh dicegah dengan pengurusan sewajarnya seperti pengawalan tahap glukosa, tekanan darah dan kolesterol. Diabetes menyebabkan pelbagai jenis penyakit. Namun, ia dapat dielakkan dengan cara:
- Mengamalkan gaya hidup lebih sihat
- Bersenam dengan kerap
- Sentiasa memantau paras gula darah
- Mengambil ubat preskripsi seperti yang dicadangkan