Ibu mengandung yang ada diabetes gestasi pasti risau dan tertanya-tanya mengenai bacaan GDM semasa hamil. Bukan itu sahaja, bakal mommy juga haruslah peka mengenai bacaan normal GDM semasa hamil.
Namun, apakah maksud diabetes gestasi dan apakah bezanya dengan kencing manis biasa?
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kencing Manis, sila dapatkannya di sini.
Apa itu diabetes gestasi?
Diabetes gestasi merupakan sejenis diabetes yang berlaku ketika kehamilan. Setiap tahun, ia berlaku kepada 2 hingga 10% kehamilan di seluruh dunia.
Sama seperti kencing manis, penghidap diabetes gestasi perlulah memantau kadar gula dalam darah dengan kerap untuk memastikan kesihatan ibu dan bayi sentiasa terjaga.
Berbeza dengan kencing manis biasa, diabetes gestasi tidak berlaku disebabkan kekurangan hormon insulin.
Namun, ia terjadi disebabkan hormon lain yang dihasilkan ketika kehamilan. Hormon ini membuatkan insulin menjadi tidak efektif.
Malah, simptom diabetes gestasi juga akan perlahan-lahan hilang selepas ibu melahirkan anak.
Dalam artikel kali ini, kami akan membincangkan tentang bacaan GDM semasa hamil untuk panduan bakal ibu.
Selain itu, ketahui juga langkah-langkah yang boleh anda lakukan untuk pastikan kadar gula dalam darah sentiasa terjaga ketika kehamilan.
Adakah anda berisiko?
Ada beberapa faktor yang membuatkan anda mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidap diabetes gestasi:
- Umur lebih daripada 25 tahun.
- Anda mempunyai berat badan berlebihan dan tidak aktif.
- Anda mempunyai tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.
- Pernah mengalami diabetes gestasi pada kehamilan sebelumnya.
- Menghidap PCOS, sejenis penyakit ketidakseimbangan hormon yang mengganggu sistem reproduktif wanita.
- Anda menghidap prediabetes.
- Anda mempunyai ahli keluarga yang menghidap diabetes.
Walau bagaimanapun, wanita yang tidak mempunyai faktor risiko di atas juga boleh menghidap diabetes gestasi ketika hamil.
Oleh sebab itu, wanita mengandung diwajibkan untuk melakukan pemeriksaan GDM dan memeriksa bacaan GDM semasa hamil.
Jika anda mempunyai persoalan mengenai tempoh kehamilan, sertailah Komuniti Kehamilan untuk bertukar-tukar pendapat dengan ibu lain di luar sana. Anda juga boleh ajukan soalan dan terima maklum balas daripada pakar!
Mengapa perlu pastikan bacaan normal GDM semasa hamil? Untuk pengetahuan bakal ibu, diabetes gestasi boleh meningkatkan risiko tekanan darah tinggi.
Malah, ia juga boleh menyebabkan kelahiran anak bersaiz besar yang perlu dilahirkan secara C-section.
Jika anda mempunyai masalah diabetes gestasi, bayi berada dalam risiko yang lebih tinggi untuk:
- Bersaiz besar (4 kg atau lebih besar).
- Mengalami kelahiran pramatang.
- Mempunyai masalah pernafasan.
- Menghidap diabetes jenis 2 pada masa hadapan.
Baca juga:
- Nak Elak Diabetes Gestasi, Kena Tahu Bacaan Gula Normal Untuk Ibu Mengandung!
- Adakah Diabetes Gestasi Menjejaskan Bayi Anda?
Bacaan GDM semasa hamil, ini yang perlu ibu tahu
Jika anda menghidap diabetes gestasi, ketahuilah bahawa anda tidak keseorangan. Ia berlaku kepada ribuan lagi wanita lain di seluruh dunia.
Apa yang penting, ibu haruslah sentiasa peka dengan bacaan gula dalam darah ketika kehamilan.
Kondisi ini boleh dirawat, namun jika ia dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh membawa mudarat kepada anda dan juga bayi dalam kandungan.
Jadi, ibu hamil perlulah lebih peka terhadap bacaan gula dalam darah. Sebagai panduan, pastikan bacaan GDM semasa hamil adalah dalam julat berikut:
- Sebelum makan – 5.3 mmol/L atau kurang
- Sejam selepas makan – 7.8 mmol/L atau kurang
- Dua jam selepas makan – 6.7 mmol/L atau kurang
Pastikan anda periksa kadar gula dalam darah:
- Sebelum dan selepas makan, serta sebelum tidur untuk wanita yang mempunyai diabetes sebelum hamil.
- Sebelum sarapan dan selepas makan, untuk wanita yang mengalami diabetes gestasi.
Ingatlah, diabetes gestasi boleh dirawat. Dengan bantuan doktor, anda boleh pastikan kehamilan yang dilalui kekal sihat untuk anda dan juga bayi dalam kandungan.
Cara mencegah diabetes gestasi
Diabetes gestasi bukanlah sesuatu yang boleh dijangka. Walau bagaimanapun, ada caranya untuk memastikan bacaan GDM semasa hamil dalam lingkungan yang normal. Salah satunya adalah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.
Jika anda menghidap diabetes gestasi, perubahan-perubahan sihat ini mungkin dapat membantu mengurangkan risiko diabetes gestasi pada kehamilan akan datang.
Antara amalan gaya hidup sihat yang dapat membantu mengekalkan bacaan GDM semasa hamil:
- Makan makanan yang sihat. Pilih makanan yang kaya dengan serat tetapi rendah kalori dan lemak. Tambahkan buah-buahan, sayur-sayuran dan bijirin penuh ke dalam diet anda.
- Kekal aktif. Bersenam sebelum dan semasa kehamilan boleh melindungi anda daripada diabetes gestasi. Cuba lakukan senaman ringan sekurang-kurangnya 30 minit, 3 kali seminggu.
- Mulakan kehamilan dengan berat yang sihat. Jika anda ingin mengandung, cuba turunkan berat badan terlebih dahulu untuk kehamilan yang lebih sihat.
- Jangan biarkan berat badan naik mendadak. Walaupun kenaikan berat ketika hamil merupakan sesuatu yang normal dan sihat, namun berat yang naik secara mendadak boleh meningkatkan risiko diabetes gestasi.
[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]