backup og meta

Awas! Bahana Asap Rokok Terhadap Bayi Anda

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 17/07/2023

    Awas! Bahana Asap Rokok Terhadap Bayi Anda

    Asap rokok mengandungi lebih daripada 4,000 bahan kimia termasuklah sianida, lead dan sekurang-kurangnya 60 bahan kimia yang menyebabkan kanser. Apabila anda merokok semasa hamil, toksik dalam asap rokok akan menyerap ke dalam saluran darah yang merupakan sumber utama oksigen dan nutrien.

    Kesemua 4,000 bahan kimia ini akan mendatangkan kemudaratan kepada bayi anda. Namun begitu, terdapat dua bahan kimia yang paling berbahaya iaitu nikotin dan karbon monoksida. Kedua-dua bahan kimia ini akan menjadi punca utama kepada komplikasi ketika hamil yang disebabkan oleh asap rokok.

    Mengapakah merokok semasa hamil sangat berbahaya?

    Kekurangan oksigen akan mendatangkan kesan negatif terhadap perkembangan bayi. Secara puratanya, merokok semasa hamil akan meninggikan risiko bayi lahir terlalu awal atau kurang berat semasa lahir. Paling merisaukan, merokok juga akan meninggikan risiko kematian bayi.  

    Setiap batang rokok yang anda hisap akan meningkat risiko komplikasi kehamilan. Meskipun anda bukanlah perokok tegar, kesannya tetap sama. Tubuh badan seorang perokok sangat sensitif kepada setiap dos pertama nikotin yang diambil setiap hari dan dengan sebatang atau dua batang rokok juga sudah boleh menyebabkan salur darah anda menjadi sempit. Ini menunjukkan bahawa tidak terdapat sebarang perbezaan antara perokok tegar atau tidak tegar.  

    Komplikasi yang paling serius termasuklah kematian bayi, kelahiran bayi pramatang dan/atau kurang berat adalah disebabkan bayi anda kurang mendapat oksigen yang secukupnya dan keadaan ini berpunca daripada nikotin dan karbon monoksida yang terkandung dalam asap rokok.

    Nikotin akan menyebabkan saluran darah menjadi sempit termasuklah saluran darah yang terdapat pada tali pusat bayi lalu menyebabkan kekurangan oksigen. Ia umpama memaksa bayi anda untuk menghirup udara melalui straw yang sempit. Lebih membimbangkan, sel darah merah yang membawa oksigen mula membawa karbon monoksida yang dihirup daripada asap rokok. Seterusnya, straw yang sempit itu tidak lagi mampu untuk membawa oksigen seperti yang sepatutnya.

    Merokok semasa hamil akan menyebabkan:

  • Amaun oksigen yang diperlukan oleh anda dan bayi akan berkurangan
  • Meningkatkan kadar degupan jantung
  • Meningkatkan risiko keguguran dan kematian bayi
  • Meningkatkan risiko kelahiran bayi pramatang dan/atau kurang berat
  • Meningkatkan risiko bayi anda menghadapi masalah pernafasan
  • Meningkatkan risiko kecacatan semasa lahir
  • Meningkatkan risiko Sudden Infant Death Syndrome (SIDS)
  • Perokok pasif juga akan mendatangkan kemudaratan terhadap bayi anda

    Jika pasangan anda atau sesiapa sahaja yang tinggal bersama anda merokok, asap rokok tersebut akan mendatangkan mudarat kepada anda dan bayi sebelum atau selepas kelahiran. Paling membimbangkan, sebenarnya agak sukar untuk anda meminta individu lain di sekeliling anda untuk tidak merokok.

    Perokok pasif juga akan menyebabkan kelahiran bayi yang kurang berat selain meningkatkan risiko kematian bayi mengejut. Bayi yang mempunyai ibu bapa perokok juga adalah lebih berisiko untuk dijangkiti bronkitis dan pneumonia semasa tahun pertama mereka.

    Kelebihan berhenti merokok semasa hamil

    Berhenti merokok akan dapat membantu anda dan bayi anda dengan serta-merta. Gas-gas berbahaya seperti karbon monoksida dan pelbagai lagi bahan kimia lain dapat dibersihkan daripada badan anda. Antara kelebihan berhenti merokok semasa hamil adalah:

    • Anda dapat mengurangkan risiko mengalami komplikasi semasa kehamilan dan kelahiran.
    • Anda dapat menjalani kehamilan yang lebih baik dan melahirkan bayi yang sihat.
    • Anda dapat mengurangkan risiko kematian bayi.
    • Anda dapat mengurangkan risiko bayi lahir terlalu awal dan mempunyai masalah pernafasan, pemakanan dan kesihatan yang berkaitan dengan bayi pramatang.
    • Anda dapat mengurangkan risiko bayi lahir kurang berat. Bayi yang dilahirkan oleh wanita yang merokok adalah secara purata 200g lebih ringan daripada bayi yang normal dan akan mengakibatkan pelbagai masalah semasa hamil dan selepas lahir contohnya, mudah dijangkiti infeksi.
    • Anda dapat mengurangkan risiko kematian bayi mengejut yang turut dikenali sebagai sudden infant death syndrome (SIDS).

    Berhenti merokok akan membantu bayi anda kelak. Kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa perokok kebanyakannya akan menghidapi asma dan pelbagai penyakit serius yang memerlukan rawatan hospital.

    Lebih cepat anda berhenti merokok, lebih baik. Namun jika anda tidak mampu untuk melakukannya secara mengejut dan hanya mampu untuk berhenti merokok pada minggu-minggu terakhir kehamilan anda, ia juga akan mendatangkan kesan yang positif kepada anda dan juga bayi.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Ahmad Farid · Disemak pada 17/07/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan