“Minuman anak apa yang perlu si manja elak ya?’. Persoalan seperti ini pasti selalu berlegar di dalam fikiran setiap ibu bapa. Namun, tidak semua tahu tentangnya. Jangan risau, Hello Doktor ada jawapannya.
Hampir kesemua pakar perubatan dan jurulatih kecergasan sebulat suara mengatakan hidrasi yang cukup adalah sangat penting bagi tubuh badan manusia. Menurut mereka, hidrasi dapat dicapai dengan minum air pada jumlah yang secukupnya.
Persoalannya, adakah semua air selain air putih mampu memberi kesan kepada tahap hidrasi tubuh badan?
Persoalan ini sangat penting bagi setiap ibu bapa kerana mereka perlu memastikan anak mereka kekal berhidrasi dengan memberikan jumlah air yang diperlukan oleh tubuh badan. Bagi mencapai tujuan ini, mereka juga perlu tahu minuman jenis apa yang tidak patut anak mereka ambil.
Jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk mengetahuinya dengan lebih lanjut!
Hidrasi & dehidrasi
Sebagaimana yang kita telah ketahui, hidrasi yang cukup memang sangat penting bagi tubuh badan manusia. Kekurangannya akan mengakibatkan dehidrasi. Apakah ia?
Ramai orang beranggapan bahawa tidak meminum air yang secukupnya adalah sebab dehidrasi. Namun, tidak minum air yang mencukupi hanyalah sebahagian daripada punca seseorang boleh dehidrasi.
Tubuh kita terdiri daripada 70% air. Setiap hari kita sering kehilangan sebahagian daripada air itu melalui pembuangan air kecil, pergerakan usus, peluh, dan air mata.
Masalahnya muncul apabila tidak mengambil/menggantikan air yang hilang, dan menyebabkan peratusan air dalam tubuh badan kita menurun.
Menurut Ohio State University Wexner Medical Center, apabila kehilangan tubuh badan kita kehilangan air, kita juga kehilangan garam dan elektrolit dalam sistem yang diperlukan untuk tubuh kita. Gabungan kehilangan garam dan air menyebabkan dehidrasi.
Jadi, minum air yang cukup adalah penting untuk anak agar mereka kekal berhidrasi. Namun, ibu bapa perlu lebih berhati-hati ya. Ada minuman anak anda perlu elak!
Minuman anak anda perlu elak!
#1. Minuman bergas
Minuman bergas atau bekarbonat mempunyai kandungan gula, asid dan bahan pewarna yang sangat tinggi. Ia mengandungi sekurang-kurangnya 9 sudu kecil gula yang mampu merosakkan gigi si kecil. Pendek kata, ia tidak langsung mempunyai sebarang khasiat.
#2. Minuman berkafein
Minuman berkafein seperti kopi dan teh sangat berbahaya kepada anak anda kerana ia mampu memberi rangsangan dan tindak balas terlampau kepada anak anda seperti sukar untuk tidur.
#3. Minuman berjeli
Minuman berjeli seperi cincau, puding, ‘nata de coco’ atau ‘bubble’ tidak sihat untuk anak anda kerana ia mengandungi kandungan gula dan kalori yang sangat tinggi.
#4. Susu kocak
Susu kocak atau ‘milkshake’ sememangnya minuman yang digemari ramai terutamanya kanak-kanak kerana teksturnya yang berkrim dan rasanya yang berlemak. Pun begitu, mungkin ramai tidak tahu bahawa ia mengandungi kandungan gula dan lemak tepu yang tinggi.
#5. Minuman tenaga
Minuman tenaga adalah minuman yang tidak sesuai dengan namanya kerana ia mengandungi kandungan gula, kafein dan kalori yang sangat tinggi. Ia juga mampu mengakibatkan tekanan darah menaik lalu menganggu tidur anak anda. Ini sekaligus akan membawa kepada masalah lain seperti diabetes dan obesiti.
#6. Minuman herba
Minuman herba kebanyakannya diambil oleh kanak-kanak sebagai suplemen untuk menurunkan berat badan. Namun begitu, ia sangat bahaya kerana apa yang terdapat pada label tidak semestinya sama dengan kandungannya.
#7. Minuman diet
Minuman diet yang juga diambil oleh kanak-kanak yang mempunyai masalah berat badan bukanlah mempunyai kesan yang sama seperti namanya. Ia mengandungi bahan kimia dan pemanis tiruan yang sangat berbahaya buat kanak-kanak.
#8. Minuman yogurt
Minuman yogurt mungkin dianggap oleh ibu bapa sebagai minuman yang sihat kerana kredibilitinya yang berada pada aras yang sama dengan minuman kultur yang lain dan mampu melancarkan pergerakan usus yang sihat. Pun begitu, kebanyakan minuman jenis ini sebenarnya menggunakan pewarna dan perasa tiruan.
#9. Minuman isotonik
Minuman isotonik dianggap sebagai air yang sihat dan merupakan alternatif yang lebih bagus daripada air putih. Namun begitu, ia adalah tidak benar kerana minuman jenis ini sebenarnya mengandungi kandungan gula yang sangat tinggi.
#10. Manisan tempatan
Manisan tempatan seperti cendol, air batu campur, laici kang sememangnya merupakan identiti masyarakat Malaysia dan kita tidak boleh mengelakkan diri daripada mencubanya. Namun begitu, kandungan gula, pewarna dan perasa yang sangat tinggi adalah berbahaya kepada kanak-kanak.
#11. Jus dalam tin
Jus dalam tin kelihatan seperti minuman yang sihat dan merupakan versi jus buah-buahan sebenar yang disejukbeku dan disimpan di dalam tin. Pun begitu, ia adalah sama sekali tidak sama dengan jus buah-buahan sebenar kerana kandungan gulanya yang jauh tinggi berbanding versi yang asli.
#12. Kordial
Kordial juga merupakan antara versi jus buah-buahan sebenar yang sebenarnya tidak sihat untuk kanak-kanak. Ini kerana ia bukanlah menggunakan pati atau pes buah-buahan yang sebenar sebaliknya menggunakan pewarna dan perasa tiruan yang jelas sekali berbahaya buat kesihatan anak anda.
Tertera di atas ini adalah beberapa jenis minuman anak yang perlu dielakkan. Pun begitu, janganlah terlalu tegas sehingga mereka jadi takut atau langsung tidak mahu minum air. Jika mereka minta untuk minum air-air ini, cuba tegah dengan baik dan berikan mereka pilihan yang lain.
Antara pilihan yang lain itu tentu sekali adalah air putih. Namun, jangan pula terlebih minum sampai anak anda kembung perut pula. Lain pula ceritanya nanti!
Konklusi
Kesimpulannya, dehidrasi adalah masalah kesihatan yang perlu dielakkan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak. Caranya, mudah sahaja. Minta anak anda minum air dalam kuantiti yang secukupnya. Cuma pastikan mereka elakkan minuman yang tertera di atas ini okay!
Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.
[embed-health-tool-child-growth-chart]