backup og meta

Anak Gemar Bersukan? Mama Babah Berikan Sokongan Dengan 7 Cara Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan · Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/06/2022

    Anak Gemar Bersukan? Mama Babah Berikan Sokongan Dengan 7 Cara Ini!

    Apakah peranan ibu bapa menggalakkan anak bersukan? Hello Doktor ada jawapan untuk anda yang mempunyai anak aktif bersukan, teruskan membaca! Semoga bermanfaat.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

    7 peranan ibu bapa dalam menyokong anak aktif bersukan

    Bersukan sangat bermanfaat untuk kanak-kanak tetapi ada kalanya sebagai ibu bapa, kita tidak tahu apakah cara terbaik untuk menyokong anak agar bergiat aktif dalam sukan.

    Bertenang! Berikut antara tip yang boleh dicuba dalam memberikan galakan kepada anak anda tanpa mengira jenis atau peringkat yang disertai mereka, seperti:

    #1: Biarkan anak aktif bersukan mengikut minat

    Anda pastinya mempunyai minat terhadap sukan tertentu ketika zaman persekolahan dahulu, betul tak? Dan sudah tentu seboleh-bolehnya mahukan anak mengikut jejak langkah anda.

    Tetapi penting untuk anda fahami bahawa anak mungkin mempunyai minat dan bakat yang berbeza. Jadi anda tidak boleh memaksa anak ke arah yang tidak sesuai dengan minat mereka.

    Cara terbaik untuk memainkan peranan ibu bapa bagi menyokong anak bersukan adalah dengan mendedahkan anak kepada beberapa jenis sukan dan membiarkan mereka memilih sukan yang dirasakan sesuai dengan jiwa mereka.

    anak aktif

    #2: Tunjuk tingkah laku positif

    Pada peringkat permulaan anak aktif bersukan, mereka akan merasakan ia sangat kompetitif. Ketika ini anak memerlukan panduan untuk mengemudi dunia sukan. 

    Apa yang boleh anda lakukan adalah dengan memfokuskan kepada perkara positif seperti cara menghormati jurulatih, rakan sepasukan dan ibu bapa. Didik anak untuk belajar daripada kesilapan dan tidak berputus asa.

    Tunjukkan nilai-nilai teladan untuk membantu anak mengembangkan perspektif positif dalam sukan dan juga kehidupan pada masa mendatang.

    #3: Galakkan anak aktif bersukan untuk menghormati jurulatih

    Jurulatih merupakan antara individu penting yang membantu membentuk anak untuk menjadi atlet berjaya. Mereka mungkin mengorbankan masa peribadi dan keluarga untuk membantu atlet mereka.

    anak aktif

    Antara peranan ibu bapa yang penting adalah untuk mendidik anak supaya menghormati jurulatih sejak daripada hari pertama.

    #4: Ajar anak untuk menjadi yang terbaik dalam sukan

    Peranan ibu bapa menggalakkan anak bersukan adalah dengan mengajar mereka untuk bertolak ansur.

    Bergiat aktif dalam acara berpasukan akan membantu anak untuk belajar cara bekerjasama dengan individu lain demi mencapai matlamat.

    Didik anak untuk menghindari tingkah laku negatif seperti merendahkan atlet atau pasukan lain. Sentiasa tekankan semangat kesukanan dan kerja berpasukan.

    Baca juga:

    #5: Berikan anak aktif bersukan makanan berkhasiat

    Peranan ibu bapa menggalakkan anak bersukan juga merangkumi untuk menyediakan pemakanan seimbang dan berkhasiat buat anak. Ini penting untuk membantu mereka mengekalkan prestasi sukan yang terbaik. 

    Anda harus mengetahui kanak-kanak yang aktif secara fizikal perlu kekal terhidrasi. Air kosong pilihan terbaik dan elakkan untuk memberikan minuman tenaga kepada anak.

    Pastikan anak mengamalkan diet sihat dan snek berkhasiat. Setiap hidangan dan snek haruslah mempunyai protein tanpa lemak, lemak sihat, karbohidrat kompleks, buah-buahan dan sayuran.

    Umumnya, keperluan pemakanan anak adalah berbeza, terutamanya ketika fasa pertumbuhan pesat. Jadi anda boleh berunding dengan pakar untuk lebih mengetahui keperluan pemakanan anak.

    #6: Bantu anak mengawal emosi

    Anak yang gemar bersukan akan melalui pelbagai emosi – kegembiraan kerana kemenangan atau kekalahan yang mengecewakan.

    Ada kanak-kanak akan berasa gelisah atau bimbang mengenai prestasi mereka dan marah untuk kesilapan yang dilakukan. Ia adalah keadaan normal dan boleh meningkat jika anak menyertai pasukan atau pertandingan kompetitif.

    Jadi tugas anda sebagai ibu bapa adalah untuk menggalakkan anak bercakap secara terbuka mengenai perasaan mereka. Jadilah pendengar yang terbaik, terima luahan emosi mereka dan cuba untuk singkirkan perasaan negatif. 

    Anak anda mungkin memerlukan bantuan untuk mengelakkan daripada meluahkan emosi secara negatif semasa bersukan. 

    Antara teknik mudah seperti belajar mengira 1-5 atau menarik nafas dalam-dalam sebanyak tiga kali, boleh membantu mewujudkan perbezaan yang besar.

    Amalan meditasi ini membantu atlet-atlet muda untuk kekal fokus semasa latihan dan pertandingan.

    anak aktif

    #7: Sentiasa berbangga dengan anak aktif bersukan

    Semestinya, perkara paling penting adalah setiap pengalaman dilalui anak haruslah menjadi sesuatu yang positif dan menyeronokkan. 

    Ia adalah sesuatu yang bagus dan membanggakan jika anak dapat bermain sukan untuk mewakili sekolah atau universiti.

    Namun apa yang mustahak untuk anak adalah mengetahui bahawa anda sebagai ibu bapa akan sentiasa menyokong mereka, tidak kira apa pun.

    Kedengaran mudah, bukan? Tetapi kebanyakan ibu bapa terlupa untuk menyatakannya secara lisan bahawa mereka sentiasa berada di belakang anak.

    Cuba untuk jadikan ia sebagai satu amalan setiap kali anak memulakan latihan atau pertandingan. 

    Jangan lupa untuk memuji anak bagi setiap perkara yang mereka lakukan sama ada di dalam padang atau di luar.

    Ingatlah anak yang gemar bersukan akan mengembangkan tabiat sihat yang akan berkekalan sepanjang kehidupan mereka nanti.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Joseph Tan

    Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 20/06/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan