home

What are your concerns?

close
Inaccurate
Hard to understand
Other

Nak Elak Anak Pertama Terasa Dengan Kehadiran Baby Baharu? Ibu, Boleh Cuba Tip Ini

Nak Elak Anak Pertama Terasa Dengan Kehadiran Baby Baharu? Ibu, Boleh Cuba Tip Ini

Kehadiran adik baru pastinya perubahan besar bagi seorang anak sulung. Apakah caranya untuk mengelakkan anak pertama terasa hati dengan kelahiran bayi baharu?

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.

Persediaan anak pertama untuk kehadiran bayi baharu

Biasanya sebelum kelahiran bayi baharu, sebagai ibu bapa pastinya anda akan menyatakan kepada anak bahawa dengan kehadiran adik nanti, mereka boleh bermain bersama, betul tak?

Tetapi apabila si sulung cuba untuk mencium atau bermain dengan si adik, anda mengingatkan mereka untuk berhati-hati, bahkan mungkin mereka dimarahi.

Tanpa disedari, mereka terasa hati dan menjadi tidak keruan kerana segala yang dilakukan tampak salah di mata ibu.

Kewujudan adik yang disangka akan menghadirkan rasa gembira, nampaknya tidak menjadi kenyataan.

Jangan risau, ada beberapa teknik yang boleh dicuba untuk mengatasi keadaan ini.

anak pertama

Jujur dengan anak agar tidak terasa hati

Mulakan untuk berborak dengan anak pertama anda mengenai bayi. Ambil tahu perasaan mereka jika mempunyai ahli keluarga baharu.

Mengetahui perasaan mereka membolehkan anda untuk membantu anak menerima kehadiran adiknya nanti.

Jangan lupa untuk kongsikan bersama mereka tentang berita kehamilan anda sebaik sahaja mengetahui mengenainya.

Didik anak pertama

Mengajar anak yang lebih tua cara untuk berinteraksi dengan bayi baru lahir secara tidak langsung dapat menjaga dan melindungi si kecil.

Didik secara lisan, tunjukkan contoh, bimbingan serta memberikan semangat dengan berhemah agar si sulung tidak terasa hati.

Hindari daripada meninggikan suara.

Contohnya, ajarkan mereka cara untuk menggosok belakang badan si kecil. Ceritakan tentang kebaikan sentuhan dalam menenangkan bayi.

Pastikan anda memberikan pujian kepada mereka kerana berjaya melakukannya dengan baik.

Ia secara tidak langsung mengajar anak untuk bersikap fizikal dengan bayi melalui cara yang positif.

Pun begitu, elakkan daripada meninggalkan anak yang lebih tua bersendirian dengan si kecil, sehingga anda benar-benar yakin.

Baca juga:

Pantau anak pertama

Sehingga anda benar-benar memahami dan dapat membaca reaksi anak yang lebih tua terhadap adik baharu, sentiasa awasi mereka.

Ini kerana jika wujud tindakan fizikal kasar pada si kecil, anda dapat menghindarinya secepat mungkin.

Sekiranya ia terjadi, lakukan sesuatu untuk mengubah fokus mereka seperti memberikan mainan kegemaran atau membuka siaran televisyen disukai si sulung.

Paling penting, elakkan daripada menyalahkan anak yang tua semasa melindungi bayi baru lahir anda.

Jangan menyalahkan bayi

Dalam usaha untuk mengeratkan ikatan antara anak-anak anda, elakkan daripada meletakkan kesalahan pada bayi.

Misalnya jika anak sulung ingin ke taman tetapi bayi sedang tidur, ujarkan bahawa anda boleh pergi setelah adik bangun.

Jangan pula anda berikan jawapan yang anda tidak dapat ke taman kerana bayi tidur.

Amalan seperti itu dapat membantu anak merasai kewujudan adik baharunya tanpa kelihatan terlalu drastik. Ini sekali gus mengelakkan mereka terasa hati.

anak pertama

Sesi penyusuan bayi & anak pertama

Menyusukan bayi dengan kehadiran anak yang lebih tua boleh membawa kepada 2 keadaan, sama ada memudahkan atau menyukarkan.

Sesetengah anak mungkin berasa cemburu apabila melihat si ibu menyusukan adik, khususnya jika mereka masih sukar menerima perubahan ini.

Sekiranya itu situasi anda, berikan anak sesuatu yang dapat mengubah tumpuan mereka seperti memberikan barang permainan kesukaannya.

Sekiranya boleh, dapatkan bantuan ahli keluarga lain seperti pasangan ataupun pengasuh untuk menjaga anak yang lebih tua semasa anda menyusukan si adik.

Libatkan anak pertama

Ajari anak cara untuk membantu anda menguruskan atau menghiburkan si adik.

Biarkan anak sulung untuk membantu membuka hadiah bayi dan menggunakan kamera untuk mengambil gambar si adik.

Anda juga boleh menunjukkan mereka cara untuk memakaikan stoking atau meletakkan losen pada bayi.

Pastikan anda memberikan pujian dan dorongan kepada mereka, okay?

anak pertama

Elak membandingkan dengan si sulung

Untuk mengelakkan anak lebih tua terasa hati, hindari daripada membuat pernyataan untuk membandingkan antara mereka adik-beradik.

Contohnya seperti, “Adik baik duduk diam, tak macam abang asyik menangis sahaja masa baby dahulu.”

Dalam masa yang sama jangan memuji si sulung secara berlebihan daripada adiknya, kerana boleh menimbulkan rasa pengabaian dan lebih hebat daripada bayi.

Ia bukanlah cara yang sihat untuk mengeratkan ikatan adik-beradik. Sebaiknya berlaku adil dan saksama antara kedua-dua anak anda, okay?

Tunjukkan kasih sayang pada anak pertama

Walaupun anda sibuk untuk menguruskan si kecil, jangan pernah mengabaikan anak sulung.

Tunjukkan rasa kasih sayang anda dengan menyatakan “Mama sayang Kakak”. Anda juga boleh memeluk atau mencium anak tanpa mengira masa.

Tindakan anda ini akan membuatkan anak berasa masih disayangi walaupun dengan kehadiran si kecil.

Untuk tempoh beberapa bulan pertama selepas kelahiran bayi baharu, ia adalah masa yang akan menguji kesabaran kalian sebagai ibu bapa.

Ini kerana ia adalah tempoh masa untuk menyesuaikan diri bagi setiap ahli keluarga.

Sentiasa kekal tenang, okay?

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

Gambar penulisbadge
Ditulis oleh Asyikin Md Isa Disemak pada 19/08/2021
Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor