Untuk tempoh beberapa waktu, jika anda melihat bayi hisap jari, usah bimbang kerana ia membawa manfaat tersendiri. Namun apabila sampai satu jangka usia, tabiat menghisap jari tersebut harus dihentikan.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkannya di sini.
Kenapa bayi hisap jari?
Ia adalah perbuatan semula jadi untuk bayi baru lahir menghisap ibu jari mereka. Antara sebab-sebabnya termasuklah:
Bayi dilahirkan untuk menghisap
Menghisap adalah refleks bayi baru lahir yang normal kerana ia merupakan cara mereka makan.
Jadi, ia adalah satu perkara yang baik apabila si manja tahu bagaimana untuk melakukannya.
Bayi hisap jari untuk menenangkan diri
Walaupun anda baru sahaja selesai menyusukan bayi, si manja mungkin masih perlu untuk menghisap. Namun itu tidak bermakna bayi anda masih mahu meneruskan penyusuan.
Bayi bukan sahaja perlu menghisap untuk mengisi perut, tetapi mereka juga memerlukan hisapan ‘kosong’ bagi menenangkan diri. Itu sebabnya diciptakan puting kosong.
Ibu jari sentiasa ada di tangan
Terdapat satu lagi penjelasan mengapa bayi cenderung menghisap jari comel mereka. Jawapannya adalah kerana jari tersebut sentiasa ada bersama mereka.
Sudah tentu, untuk beberapa kali pertama ia mungkin perbuatan yang tidak disengajakan.
Walau bagaimanapun, sebaik sahaja si manja menyedari betapa selesanya tabiat itu, mereka akan memasukkan ibu jari ke dalam mulut dengan sengaja.
Manfaat bayi hisap jari
Terdapat juga kebaikan bayi hisap jari. Dengan kelebihan ibu jari yang sentiasa di sisinya, si manja akan dapat membina keupayaan untuk menenangkan diri mereka sendiri ketika meragam, tanpa memerlukan sebarang bantuan.
Namun apa yang penting, pastikan si manja bukan meragam kerana kelaparan!
Sekiranya kalian berasa terganggu melihat si manja menghisap ibu jarinya, pilihan terbaik adalah untuk memberikan si manja puting kosong.
Sebagai bonusnya, anda mempunyai lebih kawalan ke atas masa dan tempat untuk bayi menggunakan puting tersebut.
Baca juga:
Tempoh berhenti
Satu peraturan praktikal yang perlu kalian pertimbangkan jika membenarkan bayi hisap jari atau menggunakan puting kosong bagi tempoh masa panjang adalah untuk menghentikan tabiat tersebut sebelum tumbuh gigi kekal.
Ini kerana mengulangi tabiat atau penggunaan puting terlalu banyak boleh mengganggu penjajaran gigi dan struktur mulutnya.
Doktor gigi biasaya akan mengesyorkan untuk menghentikan tabiat menghisap jari atau puting sebelum melangkah usia 3 tahun.
Kebanyakan kanak-kanak akan berhenti menghisap ibu jari dengan sendirinya, terutamanya selepas dimasukkan ke prasekolah. Mungkin kerana ada rakan sekelas yang memberitahu ia merupakan tabiat kebudak-budakan.
Jadi, selagi si manja belum mencapai usia 3 tahun, biarkan mereka meneruskan tabiat itu dengan gembiranya jika ia boleh membantu menenangkan diri.
Cara bantu anak berhenti menghisap jari
Perkara pertama sekali yang boleh anda lakukan adalah bercakap dengan anak untuk menghentikan tabiat tersebut.
Anda lebih berkemungkinan berjaya melakukannya jika anak mempunyai kemahuan untuk berhenti.
Kadangkala tidak memberikan perhatian kepada tabiat itu juga dapat menghentikannya. Ini terutamanya jika anak menghisap ibu jarinya untuk mendapatkan perhatian anda.
Sekiranya masih tidak berkesan, cubalah salah satu teknik berikut:
Galakan positif
Berikan pujian kepada anak atau sedikit ganjaran seperti membawa mereka ke taman permainan jika berhenti menghisap ibu jari.
Tetapkan matlamat yang boleh dicapai, seperti tidak menghisap jari sejam sebelum tidur. Anda boleh melekatkan pelekat pada kalendar untuk merekodkannya.
Kenal pasti pencetus tabiat menghisap jari
Jika anak melakukan tabiat tersebut sebagai tindak balas kepada tekanan, kenal pasti isu sebenar dan berikan keselesaan dengan cara lain – seperti memberikan anak pelukan atau kata-kata semangat.
Anda juga boleh memberikan anak bantal atau stuffy animal untuk mereka squeeze.
Peringatan mesra
Jika tabiat menghisap jari dilakukan anak tanpa berfikir dan bukannya sebagai cara mendapatkan perhatian, secara perlahan-lahan ingatkan mereka untuk berhenti.
Jangan sesekali meninggikan suara, mengkritik atau mengejek mereka.
Perlukan masa
Tabiat bayi menghisap jari ini mungkin memerlukan sedikit masa untuk dihentikan terutamanya jika ia sudah dilakukan sejak kecil lagi.
Sebagai ibu bapa, anda perlu banyak bersabar dan sentiasa berfikiran positif untuk membantu anak menghentikan tabiat ini.
Jangan risau kerana terlalu banyak tekanan pada anak mungkin hanya akan melambatkan prosesnya.
Jika ia berterusan sehingga mereka mula bersekolah, mungkin anda ingin berbincang dengan doktor gigi atau pakar ortodontik.
[embed-health-tool-baby-poop-tool]