backup og meta

Bila Boleh Berikan Bayi Makanan Pedas Seperti Kari? Ini Penjelasan Lengkap Untuk Anda

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 11/05/2021

    Bila Boleh Berikan Bayi Makanan Pedas Seperti Kari? Ini Penjelasan Lengkap Untuk Anda

    Bolehkah saya beri bayi makanan yang mengandungi rempah ratus (pedas atau beraroma) setelah berusia 6 bulan dan ke atas? 

    Persoalan di atas sememangnya lazim diajukan oleh ibu bapa kepada doktor ketika janji temu.

    Malaysia merupakan negara yang terkenal dengan kepelbagaian jenis makanan.

    Asimilasi budaya membuatkan makanan yang mengandungi rempah ratus lazim dinikmati segenap masyarakat.

    Walau bagaimanapun, apabila ia berkaitan dengan makanan untuk bayi yang sedang membesar, kita perlu berwaspada.

    Ia berikutan makanan yang diberikan perlulah mengikut kesesuaian, menepati citarasa dan mengandungi pelbagai jenis nutrien yang berkhasiat.

    Jika anda ingin tahu sama ada makanan pedas sesuai untuk diberikan kepada anak ataupun tidak, teruskan membaca artikel ini.

    Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Keibubapaan, sila dapatkan di sini.

    Kenapa bayi perlu makan makanan pejal setelah berusia 6 bulan?

    Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyarankan bayi yang baru lahir untuk diberikan susu badan eksklusif tanpa sumber makanan yang lain.

    Susu ibu sememangnya berkhasiat dan ia mengandungi nutrien penting yang dapat menyokong tumbesaran anak.

    Namun, apabila mereka mencecah usia 6 bulan, nutrisi yang dibekalkan oleh susu ibu tidak mencukupi untuk menyokong tumbesaran mereka pada tahap yang optimum.

    Perkara ini menyebabkan anda perlu beri mereka makanan pepejal (pejal) berikutan:

    1. Selera makan mereka tidak boleh dipenuhi dengan hanya pemberian susu badan atau susu formula.
    2. Bayi akan mengalami masalah kekurangan zat besi dan elemen zink.
    3. Sistem penghadaman mereka sudahpun bersedia untuk memproses makanan pepejal.
    4. Anak anda sudah boleh menerima suapan makanan.

    Perkembangan ini pasti membuatkan anda teruja hendak berikan anak merasai makanan selain susu badan termasuklah makanan pedas. 

    Pemberian makanan juga sering dilakukan secara berperingkat. Makanan yang mengandungi rempah ratus kebiasaannya diberikan pada fasa lewat.

    Ia akan disertakan dengan pemberian susu badan sehingga anak mencecah usia 2 tahun.

    Debat berkaitan dengan pemberian makanan pedas kepada bayi 

    makanan pedas

    Secara amnya, terdapat dua jenis rempah ratus.

    Satu yang ditambah di dalam masakan untuk memberikan kepedasan makanan dan satu lagi ditambah bagi meningkatkan aroma.

    Bagi bayi yang berusia 6 bulan dan ke atas, pemberian makanan seharusnya tertumpu kepada penggunaan rempah ratus beraroma.

    Ini berikutan makanan pedas melibatkan rangsangan reseptor oleh bahan aktif cili yang dikenali sebagai capsaicin.

    Ia boleh melekat pada reseptor sakit yang terletak pada lidah bagi menghasilkan signal untuk dihantar ke otak.

    Ya, rasa pedas yang anda alami pada lidah sebenarnya adalah rasa sakit.

    Oleh sebab itulah kita perlu berhati-hati apabila memberikan makanan berempah kepada bayi yang sedang membesar.

    Namun, di Asia, lazim bagi ibu bapa untuk memberikan makanan pedas kepada anak mereka semasa awal usia.

    Pendedahan awal ini menyebabkan berlakunya proses adaptasi terhadap tahap kepedasan pada peringkat awal. Kelak, keupayaan mereka untuk menahan pedas meningkat.

    Jika ditanya adakah boleh bagi makanan pedas kepada anak, jawapannya adalah bergantung.

    Tambahan pula, terdapat sesetengah bayi yang sudah pun familiar dengan rasa pedas jika anda sering mengambil makanan pedas ketika menyusu badan.

    Rasa itu boleh meresap masuk ke dalam susu badan sehingga boleh mempengaruhi citarasa bayi.

    Jika anda ingin memberikan makanan seperti kari, lada dan sebagainya, tunggu mereka mencapai sekurang-kurangnya usia 1 tahun.

    Kanak-kanak yang berusia di bawah 1 tahun mudah untuk mendapat tindak balas makanan dan agak sensitif memandangkan mereka hanya biasa dengan makanan asas (bubur dan sebagainya).

    Beri tumpuan kepada khasiat makanan untuk perkembangan optimum, bukan makanan pedas sahaja

    rempah ratus

    Makanan merupakan aspek penting bagi kanak-kanak memandangkan ia mempengaruhi kadar pertumbuhan dan perkembangan mereka.

    Tumpuan seharusnya diberikan kepada makanan berzat dan mengandungi khasiat mineral yang optimum.

    Namun, bukan semua ibu bapa mampu untuk membiayai kos makanan yang dikhususkan untuk bayi memandangkan harganya yang boleh jadi mahal.

    Maka, dalam situasi tersebut, jika anda ingin memberikan makanan yang kebiasaannya anda masak kepada bayi yang berusia 1 tahun ke atas, pastikan anda memeriksa tahap kepedasannya.

    Bukan semua makanan pedas tidak baik untuk kesihatan. Malah, capsaicin yang menyebabkan rasa pedas itu sendiri mempunyai kebaikan anti barah sehingga boleh menghindarkan kanser.

    Namun, ia juga boleh merangsang reseptor sakit menyebabkan anak anda tidak selesa dan mungkin meraung kepedasan jika mereka tidak biasa dengan makanan yang diberi.

    Jadi, adalah lebih baik jika anda memperkenalkan makanan pedas seperti rempah ratus dan sebagainya secara berperingkat.

    Konklusi

    Makanan pedas boleh diberikan kepada anak yang masih kecil (1 tahun ke atas), namun anda disarankan untuk mengawal tahap kepedasan secara berperingkat.

    Jika anda bimbang sekiranya si manja tidak dapat menahan makanan pedas atau mereka menunjukkan sebarang simptom (menangis tidak berhenti, cirit birit dan sebagainya), bawa mereka berjumpa dengan doktor.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Mohammad Nazri Zulkafli · Disemak pada 11/05/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan