Bayi yang sedang membesar dalam perut ibu membuatkan si ibu tidak lari daripada sentiasa berasa lapar dan ingin mengunyah. Masalahnya adalah, tidak semua makanan dan minuman boleh diambil oleh ibu kerana sesetengahnya boleh memberi kesan kepada tubuh ibu dan kandungan. Sedar akan keadaan bakal ibu yang kerap ingin mengunyah, kami sediakan siri snek berkhasiat yang boleh memenuhi keperluan nutrien penting anda semasa kehamilan. Setiap snek hanya mengandungi 200-300 kalori dan ia amatlah mudah untuk disediakan.
Avokado lenyek bersama kraker
Apa yang anda perlukan: Separuh biji avokado, roti rangup atau kraker. Sapukan sekeping kraker dengan separuh biji avokado lenyek.
Bagi anda yang biasanya mengalami masalah kekejangan kaki semasa kehamilan, ini masanya untuk anda mendapatkan buah avokado. Kejang pada otot kaki adalah disebabkan oleh kekurangan potassium, sementara avokado adalah buah yang kaya dengan potassium. (Separuh buah avokado mengandungi 345 mg potassium, 114 kalori, dan kira-kira 5 g serat.) Setiap hari, bakal ibu perlu mengambil 4,700 mg potassium. Walaupun jumlahnya kelihatan banyak, tetapi anda boleh mendapat mineral ini daripada sumber tambahan lain kerana kebanyakan buah-buahan dan sayur-sayuran mengandungi potassium.