“Bolehkah saya bersenam ketika mengandung?” adalah pertanyaan yang sering bermain dalam fikiran wanita yang hamil. Hanya kerana anda sedang berbadan dua tidak bermakna anda perlu meninggalkan rutin jasmani anda. Bersenam ketika mengandung adalah baik untuk anda namun beberapa pengubahsuaian rutin perlu dilakukan.
Yang perlu buat
- Dapatkan nasihat pakar kesihatan terlebih dahulu tentang senaman yang ideal atau yang selamat dengan anda sebelum memulakan, mengubah atau menyambung rutin senaman anda.
- Pendekkan tempoh bersenam anda. Sekiranya dahulunya anda bersenam dalam tempoh satu jam sehari, cuba pendekkan kepada 30 minit sehari melakukan senaman ringan.
- Minum air yang cukup sebelum dan selepas senaman.
- Pilih pakaian yang sesuai seperti pakaian yang longgar, mempunyai penyerapan peluh yang baik dan juga bra yang memberi sokongan yang baik.
- Lakukan regangan sebelum dan selepas senaman. Cara terbaik untuk melakukan aktiviti regangan adalah dengan melakukan aktiviti pada keamatan yang rendah kemudia beransur-ansur tingkatkan kematan senaman dalam masa 5 hingga 8 minit.
- Pilih senaman yang sesuai. Melakukan yoga sebelum mengandung adalah kaedah yang baik untuk mengekalkan keanjalan dan kekuatan otot. Senaman rendah impak adalah pilihan yang bagus seperti berenang, berjalan dan berbasikal.
- Gunakan beban atau alat pemberat yang lebih ringan.
- Fokus pada bahagian belakang, bahu, dada dan otot bicep. Anda akan membawa kandungan selama 9 bulan dan banyak lagi episod mendukung yang perlu anda hadapi di masa akan datang. Jadinya, menguatkan otot-otot ini adalah senaman yang bijak bagi memastikan anda tidak menderita daripada sakit belakang.
- Kerap kencing adalah sesuatu yang menyusahkan jadi kerap lakukan senaman Kegel untuk mengawal kekuatan otot lantai pelvis.
- Makan dengan mencukupi. Bersenam akan membakar kalori jadi pastikan zat dan kalori dalam pemakanan anda mencukupi agar bayi anda kekal sihat.
Yang jangan buat
- Elakkan kerap baring terlentang kerana berat rahim anda yang mengandungi janin itu boleh menekan salur darah vena utama yang membawa darah ke jantung, menyebabkan anda rasa ingin pitam, sesak nafas atau muntah.
- Berdiri terlalu lama akan mengurangkan saluran darah kembali ke jantung, menyebabkan rahim dan bahagian atas badan tidak menerima darah yang mencukupi.
- Elakkan aktiviti berimpak tinggi. Bermain tenis mungkin akan menjadi bahaya kerana imbangan anda akan terjejas akibat perubahan dinamik badan yang meningkat kemungkinan anda untuk jatuh. Berlari pada kadar yang rendah dan sederhana boleh dilakukan dengan berhati-hati.
- Jangan bersenam terlalu lasak atau banyak. Sekiranya anda rasa sakit badan, lemah dan penat dan bukannya lebih kuat atau bertenaga, mungkin anda telah menolak badan anda ke hadnya.
- Jangan bersenam dalam kawasan yang panas atau lembap. Ini bermakna elakkan yoga bikram, pilates panas, sauna dan mandi air panas. Ketika mengandung, badan anda secara umumnya lebih panas berbanding biasa menyebabkan pendedahan tambahan kepada haba menjadi sesuatu yang membahayakan.
Dengan pengubahsuaian yang minima ini, anda mempunyai pilihan yang banyak untuk kekal aktif ketika mengandung. Mengekalkan kecergasan ketika hamil boleh memberi impak yang positif pada keseluruhan pengalaman mengandung.
Hello Health Group tidak memberi nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.
[embed-health-tool-pregnancy-weight-gain]