backup og meta

Bayi Baru Lahir Maut Kerana Jangkitan Group B Streptococcus, Ibu Ambil Tahu Tanda BAHAYA Ini!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 04/07/2022

    Bayi Baru Lahir Maut Kerana Jangkitan Group B Streptococcus, Ibu Ambil Tahu Tanda BAHAYA Ini!

    Baru-baru ini, terbaca perkongsian seorang rakan di media sosial tentang kisah seorang ibu yang baru melahirkan anak tetapi terpaksa redha dengan pemergian anaknya itu kerana akibat terkena jangkitan kuman – Group B Streptococcus (Strep) pada pintu rahim. Jadi, artikel ini akan membantu anda untuk mengenali dan memahami tentang kuman ini.

    Apa itu Group B Streptococcus?

    Group B Streptococcus (Strep) atau lebih dikenali dengan singkatan GBS adalah bakteria biasa yang berada dalam usus atau saluran kemaluan dan ia tidak mendatangkan bahaya kepada individu dewasa. Namun, malangnya, bagi bayi yang baru lagi, GBS boleh menyebabkan penyakit serius yang dikenali sebagai penyakit GBS.

    Apakah puncanya?

    Bakteria GBS hidup dalam usus dan saluran kemaluan, termasuk faraj. Lebih kurang 1 daripada 4 individu wanita hamil akan mempunyai bakteria ini. Ia adalah normal untuk mempunyai bakteria ini di dalam badan.

    Bakteria ini tidak disebarkan secara seksual, dan tidak merebak melalui makanan ataupun air. Bakteria ini mungkin berada dalam badan anda untuk tempoh masa yang singkat, ia mungkin datang dan pergi atau anda mungkin akan sentiasa mempunyai bakteria ini.

    Kebiasaannya, anda tidak akan mengetahui bahawa anda mempunyai GBS kerana bakteria ini tidak mendatangkan sebarang simptom atau kesakitan. Dalam sesetengah kes, bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan pada saluran kencing dan pundi kencing.

    Jangkitan bakteria ini boleh berada pada bayi semasa proses kelahiran jika bayi terdedah kepadanya atau mungkin tertelan cecair yang mengandungi GBS. Bayi yang mendapat jangkitan ini boleh mengalami beberapa komplikasi seperti jangkitan paru-paru, meningitis, atau jangkitan darah yang dipanggil sepsis.

    Sememangnya GBS tidak mendatangkan bahaya kepada individu dewasa tetapi bagi sesetengah individu dewasa yang lebih berusia dan mempunyai masalah kesihatan yang kronik, ia mungkin mengakibatkan jangkitan yang lebih serius berpunca dari GBS.

    Simptom Group B Streptococcus

    Bayi

    Kebanyakan bayi yang dilahirkan oleh wanita yang mempunyai GBS adalah sihat, tetapi terdapat beberapa kes bayi yang terkena jangkitan GBS ketika proses kelahiran mendapat sakit yang kritikal.

    Untuk bayi, penyakit yang disebabkan GBS boleh hadir dalam dua bentuk: jangkitan awal atau jangkitan lambat.

    Jangkitan awal – bayi yang mendapat jangkitan awal ini akan menjadi sakit dalam tempoh seminggu selepas lahir. Antara simptom yang mungkin berlaku adalah:

    • Demam
    • Kesukaran untuk menyusu
    • Kelesuan

    Jangkitan lambat – penyakit ini boleh berkembang dalam masa seminggu hingga beberapa bulan selepas kelahiran, biasanya dalam bulan-bulan pertama selepas kelahiran. Antara simptom yang mungkin berlaku:

    • Kesukaran bernafas
    • Demam
    • Kesukaran untuk menyusu
    • Kelesuan
    • Kerengsaan

    Bayi yang mempunyai bakteria GBS boleh mengalami komplikasi serius, untuk tempoh jangka panjang, jangkitan ini boleh mengancam nyawa seperti:

    • Pneumonia – jangkitan paru-paru
    • Meningitis – keradangan dalam lapisan otak dan saraf tunjang
    • Sepsis – jangkitan darah

    Masalah jangka masa panjang yang boleh timbul adalah seperti:

  • Hilang pendengaran
  • Masalah pembelajaran
  • Celebral palsy (kerosakan otak)
  • Sawan
  • Dewasa

    Kebanyakan individu dewasa membawa bakteria GBS ini di dalam badan. Kebiasaannya ia wujud dalam usus, rektum, faraj, pundi kencing mahupun tekak anda. Individu dewasa yang mempunyai GBS, tidak mempunyai sebarang simptom. Namun, dalam sesetengah kes, GBS pada individu dewasa boleh menyebabkan jangkitan pada saluran kencing atau jangkitan yang lebih serius seperti jangkitan darah (bacteremia) atau radang paru-paru.

    Risiko jangkitan?

    Walaupun bukan semua bayi yang terdedah kepada GBS akan dijangkiti, namun, masih wujud peratusan kecil untuk bayi mendapat penyakit GBS. Jika anda mempunyai GBS, bayi anda berisiko untuk dijangkiti jika:

    • Ibu pembawa GBS dalam badan
    • Bayi dilahirkan secara pramatang (kurang 37 minggu)
    • Air ketuban pecah 18 jam atau lebih lama dari tempoh itu sebelum bersalin
    • Ibu mempunyai jangkitan pada tisu plasenta dan cecair amniotik (chorioamnionitis)
    • GBS dikesan berada dalam urin (bacteriuria) ibu ketika hamil, sama ada kehamilan sekarang atau sebelumnya
    • Suhu badan ibu mencecah lebih 38C ketika bersalin
    • Ibu pernah melahirkan bayi dengan penyakit GBS

    Bagi individu dewasa akan terdedah kepada jangkitan GBS, jika

    • Mempunyai masalah kesihatan yang menjejaskan sistem imun seperti diabetes, jangkitan HIV, kanser atau penyakit hati
    • Berusia 65 tahun ke atas dan tinggal di rumah jagaan

    Rawatan

    Jika bayi anda mempunyai jangkitan ini, rawatan yang akan diberikan adalah antibiotik, yang akan diberikan melalui saluran darah.

    Bayi anda juga mungkin memerlukan rawatan untuk merawat simptom GBS, termasuk:

    • Suntikan cecair melalui saluran darah (IV)
    • Oksigen
    • Perubatan lain, bergantung kepada keadaan bayi

    Pencegahan

    Jangkitan ini boleh dicegah. Jika anda hamil dan ujian menunjukkan anda mempunyai bakteria jenis ini, doktor boleh memberikan anda antibiotik semasa ingin melahirkan agar anda tidak menyebarkan jangkitan kepada bayi, dan jika bayi anda sakit, antibiotik boleh merawat jangkitan.

    Penicillin dan ampicillin – dua antibiotik yang sering digunakan untuk merawat jangkitan ini. Jika anda ada alahan kepada penicillin, doktor boleh memberikan anda ubatan lain. Anda perlu mengambil antibiotik semasa proses melahirkan, bukan sebelum. Jika anda mengambilnya awal semasa kehamilan,bakteria mungkin akan kembali.

    Pengambilan antibiotik semasa melahirkan akan mencegah jangkitan awal GBS pada bayi. Tetapi, bayi anda masih berisiko untuk mendapat jangkitan lambat GBS. Jadi, adalah penting untuk anda mengambil perhatian terhadap semua simptom yang mungkin muncul pada bayi anda terutama pada bulan pertama kelahiran mereka.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 04/07/2022

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan