backup og meta

Kehamilan dan Autisme: Berat Badan semasa Hamil, Diabetes dan Asid Folik

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 30/11/2021

    Kehamilan dan Autisme: Berat Badan semasa Hamil, Diabetes dan Asid Folik

    Adakah berat badan semasa hamil mempengaruhi risiko mendapat anak autisme?

    Satu kajian dari University of Utah yang diterbitkan pada November 2013 menunjukkan terdapat potensi hubungan antara lebihan berat badan semasa hamil dengan risiko autisme. Kajian sebelumnya menegaskan bahawa terdapat kemungkinan hubungan antara indeks jisim tubuh (BMI) wanita sebelum kehamilan, berat badan semasa hamil, dan kebarangkalian anak mendapat autisme. Satu teori tentang perkara ini ialah lebihan lemak badan boleh mempengaruhi tahap hormon seseorang wanita atau membawa kepada keradangan, mempengaruhi perkembangan otak janin. Kadar obesiti dan kadar autisme kedua-duanya meningkat sejak beberapa dekad lepas. Namun, ini tidak bermakna kedua-duanya berkaitan. Wanita disarankan untuk memantau berat badan mereka semasa hamil bagi mengelakkan masalah-masalah seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

    Adakah terdapat kaitan antara diabetes gestasi dan autisme?

    Kajian dalam Journal of the American Medical Association (JAMA) pada April 2015 menegaskan bahawa bakal ibu yang didiagnosis dengan diabetes gestasi pada usia kandungan 26 minggu adalah 63 peratus lebih cenderung untuk mendapat bayi autisme. Ini bermakna untuk setiap 1,000 wanita yang mengalami diabetes gestasi, tujuh daripadanya mungkin mendapat bayi autisme. Penyelidik percaya bahawa pendedahan utero terhadap gula darah tinggi boleh mempengaruhi perkembangan otak bayi dan meningkatkan risiko gangguan perkembangan bayi. 

    Selain itu, kajian terdahulu menunjukkan kemungkinan kaitan antara gula darah tinggi semasa hamil dan risiko autisme. Faktor utama adalah bagaimana paras gula dalam darah tinggi. Kajian JAMA mendapati bahawa bayi yang lahir daripada ibu yang mengalami diabetes jenis 2 sebelum hamil tidak mempunyai risiko besar autisme, berkemungkinan disebabkan ibu tersebut mengambil ubat untuk menguruskan tahap gula darah mereka.

    Diabetes gestasi menyebabkan beberapa masalah untuk bayi, termasuk kelahiran pramatang, berat badan bayi semasa lahir tinggi dan peningkatan kemungkinan obesiti dan diabetes jenis 2 semasa dewasa nanti. Bakal ibu mempunyai risiko terbesar mendapat tekanan darah tinggi, preeklampsia, dan diabetes jenis 2. Semua ibu hamil perlu cuba untuk mengawal gula darah mereka, tanpa mengambil kira penemuan ini.

    Bolehkah asid folik membantu merendahkan risiko autisme? 

    Kajian Epidemiology pada 2011 mendapati bahawa pengambilan vitamin pranatal tiga bulan sebelum hamil dan semasa sekurang-kurangnya sebulan pertama kehamilan boleh merendahkan risiko bayi autisme. Kajian lain menunjukkan paras asid folik tinggi – sejenis vitamin B penting untuk perkembangan otak – adalah teras utama.

    Semua wanita dalam usia yang membolehkannya hamil (walaupun mereka tidak berusaha untuk hamil) perlu mengambil antara 400 hingga 800 mikrogram (mcg) asid folik setiap hari. Kebanyakan wanita mengambil kira-kira 150 mcg asid folik sehari daripada sumber makanan yang diperkuat seperti roti dan bijirin. Kajian American Journal of Clinical Nutrition pada 2012 menyarankan bahawa wanita memerlukan sekurang-kurangnya empat kali 600 mcg untuk merendahkan risiko autisme. Periksa label nutrien vitamin, dan jika perlu, bercakap dengan doktor anda untuk menambah pengambilan asid folik anda dan makan lebih makanan yang kaya dengan folat (seperti lentil, bayam dan brokoli) dalam diet anda.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 30/11/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan