Adakah benar makan ubi kentang dalam pantang boleh menyebabkan angin atau ia mitos yang salah? Teruskan membaca perkongsian artikel ini untuk mengetahui antara jenis makanan yang boleh mengakibatkan angin semasa tempoh berpantang.
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Tempoh berpantang
Bimbang untuk makan ubi kentang dalam pantang kerana takut badan berangin? Sebelum kita mengetahui jawapannya, jom fahami secara ringkas kepentingan penjagaan pemakanan ketika berpantang.
Seperti kita semua sedia maklum, setiap wanita selepas melahirkan anak amat disarankan untuk menjalani tempoh berpantang.
Tujuannya adalah untuk memberikan masa buat ibu baharu memulihkan badan serta mendapatkan kembali kekuatan diri.
Sepanjang tempoh ini – antara enam hingga lapan minggu – anda memerlukan rehat secukupnya, melakukan aktiviti fizikal ringan, mengelakkan kemurungan dan paling penting untuk menjaga aspek pemakanan.
[embed-health-tool-due-date]
Penjagaan pemakanan: Makan ubi kentang dalam pantang bahaya?
Umumnya, matlamat utama perlunya menjaga pemakanan semasa berpantang adalah untuk:
- Mengembalikan berat badan sebelum kehamilan
- Mendapatkan nutrien mencukupi bagi mengembalikan tenaga buat ibu baharu
- Membekalkan khasiat terbaik buat bayi baru lahir
Bercakap mengenai pemakanan, adakah benar makan ubi kentang dalam pantang boleh menyebabkan angin?
Apakah makanan lain yang harus dihindari kerana boleh mengakibatkan badan berangin semasa tempoh pantang?
Makan ubi kentang dalam pantang punca badan berangin?
Jika ada mengatakan bahawa makan ubi kentang ketika pantang boleh menjadi punca angin semasa pantang, ia adalah satu kepercayaan yang salah. Ini kerana kentang sama sekali tidak boleh mengakibatkan berangin.
Sebaliknya, pengambilan sayur-sayuran menjalar, sejuk dan berangin boleh menyebabkan ibu alami kembung dan sakit-sakit badan. Antaranya seperti:
- Ubi kayu
- Petola
- Terung
- Timun
- Tomato
- Brokoli
- Kubis
- Seleri
- Sayur keladi
- Pucuk ubi
- Pucuk paku
- Bayam
- Kacang panjang
- Kacang botol
- Labu
- Rebung
- Jeruk maman
- Petai
- Jering
Makanan berangin harus dielakkan selain makan ubi kentang dalam pantang
Makanan bersifat sejuk dan berangin dipercayai boleh menyebabkan sengal dan kesakitan pada tubuh. Ia juga dilarang kerana boleh menjadi punca sakit tulang, sejuk otot serta lemah sendi.
Pengambilan makanan bersifat sejuk ini semasa berpantang, sekiranya tidak sesuai dengan badan boleh memberikan kesan seperti rasa demam dan badan menggigil.
Jom kita lihat apakah makanan lain yang boleh menjadi pencetus angin dalam badan dan perlu dihindari.
Bijirin gandum dan oat
Tidak dinafikan bijirin gandum dan oat merupakan makanan berkhasiat yang baik untuk badan.
Malangnya makanan berasaskan bijirin ini juga boleh menyebabkan kehadiran gas dalam perut – punca badan berangin. Ini secara tidak langsung menyebabkan ia menjadi makanan untuk orang berpantang pembedahan atau bersalin normal perlu elakkan.
Jadi buat penggemar overnight oat untuk sementara waktu ini, mungkin anda boleh hentikan dahulu pengambilannya.
Selain makan ubi kentang dalam pantang, elakkan nangka, jambu batu & durian
Bukankah buah adalah makanan yang menyihatkan? Ada juga ke buah yang perlu dielakkan semasa pantang?
Secara amnya, buah sejuk amat berbisa untuk ibu semasa pantang. Ia juga boleh menjadi faktor penyumbang kepada kembung dan sebu perut.
Beberapa jenis buah yang paling perlu dielakkan semasa pantang adalah buah nangka, jambu batu dan durian. Ini kerana ia bukan sahaja dikatakan berangin tetapi mempunyai sifat sejuk.
Ais batu dan makanan sejuk beku
Ketika cuaca panas, sudah tentulah minuman berais akan menjadi pilihan, tetapi buat anda yang sedang berpantang, sebaiknya dikurangkan pengambilan ais batu.
Begitu juga dengan pengambilan makanan sejuk atau frozen. Ini kerana semasa pantang, sebaiknya anda digalakkan mengambil makanan segar yang dimasak setiap hari.
Kedua-dua jenis makanan ini; ais batu dan frozen food dipercayai boleh menyebabkan kehadiran angin dalam badan hingga boleh mengakibatkan demam dan badan menggigil – keadaan yang dianggap sebagai bentan.
Produk tenusu
Pengambilan laktosa boleh mengakibatkan angin dalam usus dan secara tidak langsung boleh mengakibatkan rasa mual, cirit-birit dan kembung.
Walaupun susu membekalkan pelbagai khasiat, tetapi buat sementara waktu sepanjang tempoh berpantang ini, elakkanlah.
Selain daripada susu, anda juga dinasihatkan untuk menghindari produk tenusu seperti keju, yogurt, aiskrim atau sebarang makanan dan minuman yang dihasilkan daripada susu bagi menghindari sebarang ketidakselesaan selepas pengambilannya.
Jika ini adalah kali pertama menjalani pantang, mungkin anda boleh mencuba mengambil makanan yang dilarang semasa tempoh berpantang. Ini kerana tindak balas setiap badan adalah berbeza.
Sebagai contoh, bagi sesetengah individu, mereka mungkin tidak boleh mengambil sayuran seperti kangkung dan kubis kerana boleh mengakibatkan bentan dan berangin satu badan. Tetapi ada juga yang tidak mengalami sebarang masalah.
Selamat berpantang daripada Hello Doktor!
[embed-health-tool-bmi]