backup og meta

Bagaimanakah Posisi Tidur yang Selamat untuk Ibu Hamil?

Disemak secara perubatan oleh Dr. Nur 'Aqilah Binti Hadenor · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 16/07/2020

    Bagaimanakah Posisi Tidur yang Selamat untuk Ibu Hamil?

    Salah satu perkara yang menjengkelkan semasa kehamilan adalah kesukaran untuk mendapatkan tidur yang lena. Bukan mudah untuk mendapatkan tidur nyenyak dengan keadaan perut yang semakin membesar. Malangnya, posisi tidur biasa anda yang menyelesakan tidak lagi berhasil semasa anda hamil. Oleh itu, anda perlulah menukar posisi tidur yang betul bagi mendapatkan tidur yang nyenyak, bukan sahaja untuk keselesaan tubuh anda, bahkan juga demi keselamatan bayi.

    Mengapa saya tidak selesa dengan posisi tidur biasa saya? 

    Semasa hamil, suhu badan anda akan meningkat dan anda akan kerap berasa panas, berpeluh, tidak selesa, sakit payudara malah anda juga akan rasa pedih hulu hati terutama apabila anda terbaring. Ibu hamil akan mengalami masalah keselesaan tidur semasa memasuki trimester ketiga sehinggalah menghampiri tempoh bersalin. Antara punca yang menyebabkan ketidakselesaan anda ini termasuklah:

    • Perut yang semakin membesar
    • Sakit belakang
    • Pedih hulu hati
    • Nafas pendek
    • Insomnia

    Gejala-gejala ini membataskan anda untuk tidur pada posisi kegemaran anda. Walau bagaimanapun, tidak semestinya posisi tidur yang biasa anda lakukan itu selamat untuk anda, terutama semasa anda hamil.  

    Apakah posisi tidur terbaik semasa hamil?

    Tidur mengiring

    Posisi mengiring adalah disarankan dan digalakkan kepada ibu hamil. Posisi ini adalah yang paling selamat untuk bayi anda. Malah, posisi ini lebih selesa memandangkan bahagian abdomen anda semakin membesar. Persoalannya, mengiring ke kanan atau ke kiri? Pakar menyarankan ibu hamil tidur mengiring ke kiri kerana vena besar (inferior vena cava) membolehkan aliran darah yang optimum dari bahagian bawah tubuh ke jantung. Malah, oksigen dan nutrisi juga dapat disalurkan semaksima mungkin kepada bayi melalui plasenta. Selain itu, tidur mengiring juga membantu mengurangkan pembengkakan pada pergelangan kaki dan tangan. Bagi membolehkan anda tidur dengan selesa, anda disarankan untuk mengubah posisi mengiring ke kanan dan kiri.

    Selain itu, anda juga boleh tidur mengiring dengan keadaan lutut anda membengkok. Anda boleh meletakkan bantal di bawah perut, atau di antara kedua-dua kaki ataupun di belakang badan; mengikut keselesaan anda.

    Posisi tidur yang perlu dielakkan semasa hamil

    Tidur terlentang

    Tidur terlentang adalah tidak disarankan kepada wanita hamil terutama selepas kandungan berusia lebih 5 bulan. Posisi terlentang akan menyebabkan masalah seperti sakit belakang badan, masalah pernafasan, masalah sistem penghadaman, buasir, dan tekanan darah rendah. Tidur terlentang juga boleh menyebabkan rahim anda memberi tekanan kepada saluran darah besar (aorta dan inferior vena cava), seterusnya menghalang peredaran darah ke jantung. Tekanan pada saluran tersebut boleh melambatkan kitaran darah untuk sampai kepada tubuh anda sekali gus mengganggu bekalan oksigen serta nutrien yang perlu disalurkan kepada bayi di dalam rahim. 

    Selain itu, penurunan tekanan darah juga boleh membuatkan anda pening kepala, terutama apabila anda cuba untuk duduk atau berdiri selepas bangun dari tidur. Bagi sesetengah wanita hamil pula, tekanan darah mereka mungkin akan menaik. Tidur terlentang juga akan membuatkan anda berdengkur, yang membawa kepada masalah apnea tidur disebabkan berat badan anda meningkat.

    Tidur meniarap

    Jika anda biasa tidur meniarap dengan keadaan badan anda menghempap perut, anda perlu mengubah posisi ini semasa hamil. Perut yang semakin membesar menyukarkan anda untuk tidur meniarap. Bukan itu sahaja, tabiat tidur meniarap juga perlu diubah sejak awal kehamilan lagi. Posisi meniarap berbahaya dan boleh menyebabkan risiko bayi mati di dalam kandungan kerana darah yang membawa oksigen dan nutrien tidak sampai kepada bayi.

    Hello Health Group tidak menyediakan nasihat perubatan, diagnosis, atau rawatan.

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Nur 'Aqilah Binti Hadenor

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 16/07/2020

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan