backup og meta

Apa Yang Boleh & Tidak Boleh Dimakan semasa Hamil

Disemak secara perubatan oleh Panel Perubatan Hello Doktor


Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 13/09/2019

    Apa Yang Boleh & Tidak Boleh Dimakan semasa Hamil

    Orang kata, wanita hamil kena jaga makan. Apa maksud disebaliknya? Tahukah anda bahawa terdapat sesetengah jenis makanan yang tidak boleh dimakan oleh wanita hamil. Dan, terdapat juga sesetengah makanan yang dikatakan tidak boleh diambil oleh ibu hamil, namun sebenarnya boleh dimakan asalkan dengan kuantiti yang sederhana. Ketahui jenis-jenis makanan tersebut dan alasan pantang-larang makan dibuat untuk ‘mak buyong’.

    Durian

    Mesti anda pernah dengar orang-orang tua melarang ibu hamil untuk makan buah durian, bukan? Larangan memakan raja segala buah ini dibuat kerana dikatakan terlalu ‘panas’ untuk mereka yang hamil.

    Walau bagaimanapun, tiada sebarang kajian yang menunjukkan buah durian tidak selamat dimakan. Cuma, kandungan yang terdapat dalam buah durian, iaitu kandungan gula dan karbohidratnya begitu banyak dan boleh membahayakan ibu hamil yang menghidap diabetes. Kajian menunjukkan dua ulas durian yang bersaiz sederhana mengandungi kira-kira 60 kalori di dalamnya. Selain itu, durian juga menghasilkan banyak gas dalam perut dan usus, serta boleh menyebabkan ibu hamil mengalami kembung perut dan loya-loya.

    Justeru itu, adalah lebih elok jika ibu hamil mengehadkan pengambilan makanan ini dengan maksimum dua ulas durian sehari atau kurangkan pengambilannya.

    Coklat

    Adakah coklat berbahaya kepada wanita hamil? Kebanyakan wanita hamil yang menggemari coklat ragu-ragu untuk menikmati makanan kegemaran mereka itu memandangkan coklat juga mempunyai kandungan kafein.

    Wanita hamil dibenarkan memakan produk berasaskan koko ini hanya jika mereka tidak mempunyai alergi kepada koko dan coklat.

    Menurut kajian, kandungan kafein yang terdapat pada coklat adalah rendah dan masih selamat untuk wanita hamil. Tambahan pula, coklat juga kaya dengan magnesium yang baik untuk perkembangan otak bayi di dalam rahim.

    Selain itu, coklat juga membuatkan wanita hamil berasa lebih tenang dan mengurangkan tahap tekanan mereka.

    Walau bagaimanapun, setiap makanan jika diambil secara berlebihan pasti terdapat kesan buruknya. Justeru itu, kepada penggemar coklat, anda masih boleh menikmati makanan kegemaran anda ini tetapi haruslah berpada-pada. Jangan lupa! Coklat yang manis juga mempunyai kandungan gula dan lemak yang banyak selain mengandungi kalori yang tinggi. Jadi, berpada-padalah dalam memilih makanan anda!

    Sushi

    Bergantung kepada proses sushi disediakan. Jika sushi telah dimasak, ya anda boleh makan, tetapi jika sushi dalam keadaan mentah, tidak digalakkan wanita hamil untuk makan. Sushi mentah mengandungi bakteria yang akan melemahkan wanita hamil. Sistem imunisasi badan anda terhalang semasa kehamilan, justeru itu badan anda tidak dapat menjaga fetus yang sedang membesar.

    Parasit yang terdapat dalam makanan mentah akan menyebabkan wanita hamil dan janin mengalami kekurangan nutrien. Sebaik-baiknya wanita hamil perlu mendapatkan makanan yang telah dimasak sempurna bagi menjaga kesihatan diri dan kandungan.

    Tapai

    Adakah anda penggemar tapai? Tahukah mengapa nenek moyang kita tidak mengizinkan orang mengandung memakan tapai? Hal ini adalah kerana kebanyakan makanan yang ditapai akan mengeluarkan sedikit alkohol, memandangkan proses penapaian adalah proses menukarkan gula kepada asid, gas dan alkohol.

    Bagi wanita hamil yang sensitif, memakan tapai pada awal kehamilan (trimester pertama) boleh menyebabkan keguguran dan memakan tapai pada trimester ketiga juga boleh menyebabkan kelahiran pramatang.

    Hal ini berlaku kerana alkohol yang terdapat dalam makanan itu cepat sampai kepada bayi melalui plasenta. Bukan itu sahaja, wanita yang memakan terlalu banyak tapai juga boleh menyebabkan kerosakan pada sel-sel otak dan sistem saraf pada bayi yang dikandung.

    Nanas

    Nanas turut dikategorikan sebagai makanan yang tajam oleh orang dulu-dulu. Nanas mengandungi enzim bromelain yang boleh mempercepatkan proses kelahiran. Walau bagaimanapun, menurut pakar, kandungan enzim bromelain dalam sebiji nanas terlalu sedikit untuk mempercepatkan kelahiran atau menyebabkan keguguran. Sebaliknya, enzim bromelain dalam tujuh biji nanas boleh mempercepatkan kelahiran.

    Meskipun begitu, tidak dapat dinafikan terlalu banyak nanas yang dimakan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami sakit perut dan cirit birit yang serius. Justeru itu, berpada-padalah!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Panel Perubatan Hello Doktor


    Ditulis oleh Nurul Nazrah Nazarudin · Disemak pada 13/09/2019

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan