backup og meta

Jangan Ambil Mudah Masalah Urat Simpul Semasa Hamil! Ini Keadaan PERIT Yang Dialami Bakal Ibu

Disemak secara perubatan oleh Dr. Muhamad Firdaus Rahim · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 04/01/2023

    Jangan Ambil Mudah Masalah Urat Simpul Semasa Hamil! Ini Keadaan PERIT Yang Dialami Bakal Ibu

    Bengkak kaki adalah antara perkara normal dilalui ibu hamil. Begitu juga dengan masalah urat simpul. Keadaan ini pastinya mendatangkan rasa perit bagi wanita berbadan dua. 

    Masalah urat simpul

    Urat kaki yang sihat mempunyai injap sehala untuk membantu aliran darah kembali ke jantung. 

    Semasa anda berjalan, otot betis akan mengepam darah ke jantung. Manakala injap berfungsi menghalangnya daripada mengalir ke bawah.

    Keadaan urat simpul atau dalam istilah perubatannya, vena varikos (varicose veins) akan terjadi apabila injap sehala ini tidak berfungsi dengan baik. 

    Situasi tersebut menyebabkan darah berkumpul pada urat, yang akan meregangkan dinding vena dan menyebabkan urat membengkak, berpusing dan timbul.

    Sekiranya keadaan bengkak menjadi cukup besar, anda akan dapat melihatnya di bawah kulit.

    Urat simpul & ibu hamil

    Ibu hamil lebih cenderung untuk mengalami keadaan vena varikos ini kerana 3 sebab utama, iaitu:

    • Sepanjang kehamilan, anda menghasilkan lebih banyak darah daripada biasa untuk membantu bayi membesar
    • Semasa bayi membesar, rahim akan menekan dan menyekat sebahagian urat yang mengembalikan darah daripada kaki ke jantung
    • Hormon kehamilan menjadikan dinding urat anda lebih lembut, yang menyukarkannya untuk berfungsi dengan baik

    Dalam kebanyakan kes, darah cenderung terkumpul pada kaki dan mengakibatkan kaki membengkak dan seterusnya terjadi vena varikos.

    Umumnya, masalah urat bersimpul ini cenderung terjadi dan berkembang pada bahagian kaki. 

    Walau bagaimanapun, ia juga boleh berlaku pada vulva (lubang faraj) atau rektum. Vena varikos pada rektum juga dikenali sebagai buasir.

    urat simpul

    Kesan masalah vena varikos

    Masalah urat simpul yang dialami boleh menyebabkan rasa sakit dan kesakitan pada kaki.

    Kaki anda mungkin berasa berat atau lenguh, mengalami rasa berdenyut, sensasi terbakar atau kekejangan. 

    Bagi sesetengah ibu hamil dengan keadaan ini, ia mungkin tidak memberikan sebarang masalah. Pun begitu, situasi itu bukanlah sesuatu yang selalu terjadi.

    Anda mungkin akan mendapati bahawa sebarang simptom yang dialami akan bertambah buruk pada hari tersebut terutamanya setelah berdiri terlalu lama.

    Namun, menjelang keesokan pagi, anda biasanya akan berasa lebih baik kerana sudah berbaring dan tekanan pada urat telah berkurang.

    7 tip melegakan keperitan kesan urat simpul bagi ibu hamil

    Terdapat beberapa cara boleh dicuba untuk membantu mengurangkan vena varikos yang muncul semasa mengandung, atau sekurang-kurangnya memastikannya terkawal.

    1. Darah sentiasa mengalir

    Berikan peluang untuk kaki anda berehat dan tinggikan paras kaki ketika duduk. Semasa berdiri, letakkan sebelah kaki pada bangku rendah dan tukar kaki secara bergilir.

    Regangkan pergelangan kaki sekerap mungkin dan hindari daripada posisi duduk dengan kaki bersilang. 

    urat simpul

    1. Bergerak

    Senaman adalah kunci untuk mencegah vena varikos. 

    Jadi banyakkan berjalan setiap hari, atau lakukan beberapa senaman intensiti rendah yang dapat meningkatkan peredaran darah.

    Penyelidikan menunjukkan bahawa bergerak di dalam air sangat membantu, jadi anda boleh mencuba tip ini dalam kolam renang.

    1. Kekalkan keselesaan

    Pastikan anda memakai pakaian – termasuk seluar dalam – yang sesuai atau tidak terlalu kecil terutama pada bahagian atas kaki.

    Jangan memakai tali pinggang atau stoking kaki dengan bahagian atas elastik yang terlalu ketat.

    Hindari daripada memakai kasut yang sempit dan bertumit tinggi – untuk mengelakkan anda hilang keseimbangan.

    1. Kekalkan berat badan seimbang

    Sebagai ibu hamil, anda disyorkan untuk mengekalkan kenaikan berat badan semasa mengandung mengikut saranan doktor – biasanya antara 11 hingga 15 kilogram.

    Pertambahan berat yang berlebihan hanya akan menambah tekanan pada sistem peredaran darah yang sudah banyak ‘bekerja’.

    1. Posisi tidur

    Untuk elakkan urat simpul, anda dinasihatkan tidur pada posisi sebelah kiri.

    Ini membantu mengelakkan tekanan pada saluran darah utama dan memastikan peredaran darah menjadi kuat.

    urat simpul

    1. Jangan meneran

    Elakkan daripada mengangkat barang berat atau meneran ketika dalam bilik air. 

    Jika anda mengalami sembelit – salah 1 masalah biasa dialami ibu hamil – ia juga boleh mengakibatkan urat mudah kelihatan. 

    1. Ambil vitamin harian

    Pengambilan vitamin setiap hari juga membantu mengatasi masalah berkaitan urat ini. Di samping itu, pemakanan yang seimbang ketika hamil juga dapat menjaga kesihatan urat.

    Pastikan anda mengambil makanan dengan vitamin C.

    Mineral itu akan digunakan oleh tubuh untuk menghasilkan kolagen dan elastin – tisu penghubung yang memperbaiki dan mengekalkan saluran darah.

    Mencegah berlakunya vena varikos

    Seorang ibu hamil yang mengalami masalah urat simpul, keadaan tersebut mungkin akan hilang tanpa rawatan apabila bayi anda berusia 3 hingga 4 bulan. 

    Bagi sesetengah wanita, keadaan itu boleh berlanjutan sehingga setahun.

    Sementara menunggu keadaan urat pulih, anda boleh mencuba memakai stoking mampatan atau mengangkat kaki apabila berasa urat tidak selesa. 

    Anda boleh mendapatkan nasihat doktor jika mempunyai kebimbangan tentang keadaan vena varikos ini. 

    Pastinya mereka dapat memberikan penyelesaian terbaik untuk membantu menghilangkan gejala yang dialami. 

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Muhamad Firdaus Rahim

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 04/01/2023

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan