backup og meta

Berdebar Nak Masuk Bilik Bersalin? Ibu Kena 'Prepare' Hadapi Kontraksi Sebelum, Semasa & Lepas Bersalin!

Disemak secara perubatan oleh Dr. Ahmad Wazir Aiman · Dokter Umum · Hello Health Group


Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 29/12/2021

    Berdebar Nak Masuk Bilik Bersalin? Ibu Kena 'Prepare' Hadapi Kontraksi Sebelum, Semasa & Lepas Bersalin!

    Antara petunjuk proses kelahiran bayi adalah ibu mengandung akan mengalami tanda kontraksi. Tapi adakah semua kontraksi itu sama atau mempunyai jenis-jenis yang lain?

    Apa itu tanda kontraksi?

    Kontraksi adalah bahagian normal kehamilan dan berlaku ketika otot rahim mengetat dan melentur, sama seperti proses meregangkan otot lain. 

    Pada akhirnya, pengecutan otot rahim inilah yang akan membantu anda dalam proses kelahiran bayi, mendorong si manja ke dalam saluran kelahiran dan keluar ke dunia.

    Pun begitu, bagi kebanyakan wanita hamil, tanda kontraksi atau aktiviti otot rahim ini boleh menjadi sesuatu yang membingungkan.

    Ini terutamanya jika perlu membandingkan antara kontraksi untuk kelahiran atau sebaliknya. 

    6 tanda kontraksi berkaitan proses kelahiran bayi

    Umumnya, dikatakan terdapat 6 jenis kontraksi yang akan anda lalui sebelum, semasa dan selepas bersalin

    1. Braxton Hicks – Kontraksi setiap hari

    Dinamakan sempena nama doktor, Braxton Hicks pada dasarnya dianggap sebagai kontraksi pemanasan (warm up).

    Ia adalah satu keadaan normal dan biasanya akan bermula pada trimester kedua. Selalunya anda akan rasa pengerasan atau pengetatan otot rahim yang cepat, terutamanya pada bahagian depan. 

    Mengalami dehidrasi atau pergerakan yang lebih banyak boleh menyebabkan tanda kontraksi ini terjadi. 

    Bagi sesetengah keadaan ibu selepas bersalin Braxton Hicks lebih dirasai pada waktu malam, terutamanya selepas hari yang memenatkan. 

    Jadi, bakal ibu sekalian, usah kelam kabut ya jika mengalami kontraksi ini. Ia bukanlah tanda proses kelahiran bayi sehingga memerlukan anda bergegas ke hospital. Bertenang! 

    tanda kontraksi

    1. Kontraksi fasa awal kelahiran – Masa untuk bersedia tetapi jangan pergi ke hospital lagi

    Kontraksi ini mungkin akan menimbulkan rasa tidak selesa. Anda mungkin akan berasa seperti mengalami kekejangan haid tahap ringan sehingga sederhana. 

    Biasanya tempoh kontraksi itu berselang dan berubah-ubah. Antara 7 hingga 10 minit, bahkan mungkin berselang 20 minit atau lebih.

    Ketika kekejangan itu berlaku, anda mungkin boleh tidur atau melakukan sebarang aktiviti lain. 

    Untuk mengetahui sama ada apa yang anda alami itu kontraksi fasa awal kelahiran atau Braxton Hicks, anda perlu melihat atau mengira masa pengecutan dan melihat coraknya. 

    Jika berada dalam fasa awal proses kelahiran bayi, anda perlu mempunyai matlamat untuk kekal berada di rumah selama mungkin. 

    Minta bantuan pasangan untuk membantu mewujudkan ruang berehat bagi menenangkan diri – mungkin menggunakan pencahayaan yang rendah dan suasana tenang.

    Jika ia tidak membantu, mungkin anda boleh alihkan perhatian dengan melakukan aktiviti lain seperti berjalan kaki, memasak atau menonton rancangan TV atau filem kegemaran. 

    1. Kontraksi fasa kelahiran aktif – Ya! Anda boleh mengajak pasangan ke hospital

    Tanda kontraksi yang berlaku pada fasa kelahiran aktif ini bermaksud segala-galanya semakin meningkat – kekerapan kontraksi semakin dekat – antara jarak 4 hingga 5 minit dan berlangsung sekitar 30 saat hingga 1 minit bagi setiap sesi kontraksi.

    Pada ketika ini, doktor akan menyarankan bahawa ia merupakan masa  yang tepat untuk pergi ke tempat bersalin pilihan anda. Ini terutamanya apabila kontraksi semakin kuat, kerap dan dekat. 

    Umumnya, wanita yang mengalami kontraksi jenis ini berasakan ia perkara yang menyakitkan, khususnya pada bahagian depan dan belakang rahim. 

    Anda mungkin memerlukan lebih sokongan emosi atau bantuan untuk menenangkan diri sepanjang tempoh ini. 

    1. Kontraksi peralihan – Menghampiri masa bersalin!

    Fasa peralihan ini bermaksud anda akan bersalin tidak lama lagi. Ia adalah di mana bukaan serviks berubah daripada 8 kepada 10 cm. 

    Keadaan ini selalunya merupakan bahagian yang paling sukar untuk proses kelahiran bayi dan kebanyakan bakal ibu akan mengatakan “Saya tidak boleh melakukannya!”.

    tanda kontraksi

    Tanda kontraksi yang berlaku pada fasa peralihan ini boleh berlanjutan sehingga 2 minit dan kuat dengan tempoh rehat pendek di antaranya. 

    Biasanya, ia disertai dengan tekanan besar pada bahagian vagina dan rektum.

    Dalam tempoh ini, anda mungkin akan mengalami rasa mengigil, muntah, rasa kesejukan dan keinginan untuk bersuara. 

    Sudah jadi perkara biasa untuk individu yang berada pada fasa kontraksi ini untuk tidak mahu disentuh atau berbicara. 

    Tetapi jika anda memerlukan sokongan, kata-kata semangat daripada pasangan pastinya memberikan perbezaan besar antara tekanan kuat pada punggung dan sokongan yang diperolehi. 

    1. Kontraksi meneran – Bayi bersedia untuk keluar!

    Semasa fasa meneran ini, anda seringkali berasakan sensasi seperti keinginan untuk membuang air besar.

    Pada ketika ini, tanda kontraksi yang berlaku adalah lebih kuat dan jarang untuk berkurangan. Ada wanita yang berasakan mudah untuk meneran semasa kontraksi berlaku. 

    Untuk meneran bagi mengeluarkan bayi, biasanya memerlukan sokongan yang banyak. Pasangan anda boleh membantu memberikan kata semangat seperti “Anda hebat” atau “Anda boleh melakukannya”.

    Suami juga mungkin boleh membantu mengelap peluh atau memegang tangan anda untuk memberikan lebih keselesaan. 

    tanda kontraksi

    1. Kontraksi selepas proses kelahiran bayi – Pengecutan otot rahim juga berlaku selepas bersalin

    Tanda kontraksi tidak hanya diperlukan untuk mengeluarkan plasenta sejurus selepas bayi dilahirkan, tetapi proses pengucupan rahim  – membolehkan rahim kembali ke ukuran asal sebelum kehamilan (involution) – juga boleh menyebabkan kontraksi. 

    Proses penyusuan susu ibu juga boleh menyebabkan berlakunya kontraksi selepas melahirkan anak

    Dikenali sebagai sakit selepas bersalin, ia biasanya berada pada keadaan paling sakit antara 2 hingga 3 hari selepas kelahiran. Namun, ia keadaan normal untuk dialami!

    Seperti ketika menempuhi proses kelahiran bayi, ingatlah, pastinya anda boleh melalui kesakitan ini juga!

    Penafian

    Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

    Disemak secara perubatan oleh

    Dr. Ahmad Wazir Aiman

    Dokter Umum · Hello Health Group


    Ditulis oleh Asyikin Md Isa · Disemak pada 29/12/2021

    advertisement iconIklan

    Adakah artikel ini bermanfaat?

    advertisement iconIklan
    advertisement iconIklan