“Doktor, umur saya dah lebih 40 tahun. Kalau saya mengandung lagi, apa risikonya?” Pun begitu, pernahkah anda tertanya-tanya tentang risiko yang terpaksa dihadapi ibu hamil jika si suami lewat usia 40 tahun ke atas?
Soalan sebegini selalu sahaja diajukan kepada doktor oleh wanita yang ingin hamil walaupun sudah berusia lebih 40 tahun.
Buat anda yang belum tahu, 40-an adalah usia di mana wanita tidak lagi digalakkan untuk mengandung.
Ini kerana terdapat beberapa risiko kehamilan lewat usia buat wanita.
Antara yang paling popular adalah risiko mendapat anak autisme akan menjadi lebih tinggi jika wanita mengandung pada usia tua.
Jom sama-sama kita ikuti artikel ini untuk mengetahui lebih lanjut tentangnya!
Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kehamilan, sila dapatkannya di sini.
Ia bukan salah pasangan wanita sahaja
Hakikatnya, kita selalu sahaja menyalahkan golongan wanita sekiranya berlaku sebarang masalah berkaitan kehamilan.
Namun, kita juga perlu tahu golongan lelaki juga tidak boleh terlepas begitu sahaja.
Sebagai contoh, kita boleh lihat dari aspek kesuburan. Pasangan yang mahu hamil dengan cepat dan mudah perlu subur kedua-duanya. Ini bermakna, jika salah seorang tidak subur, ia tetap sukar.
Samalah juga halnya dengan perkara ini. Bukan sahaja usia isteri yang perlu diambil kira malahan usia suami juga sama!
Kedua-duanya memainkan peranan dalam menurunkan atau meningkatkan risiko kehamilan.
Menurut perkongsian Dr. Imelda Balchin melalui laman sosial Facebook beliau, ada beberapa risiko kesihatan buat bakal bayi jika usia bapanya semakin tua – 40 tahun ke atas.
“Semakin tua usia bapa, semakin tinggi risikonya. Inilah dinamakan dose-response relationship”, jelas beliau lagi.
Persoalannya, apakah risiko-risiko yang diperkatakan itu?
Risiko isteri hamil anak suami lewat usia
Di Malaysia, tiada sebarang peraturan yang menghalang atau melarang anda dan pasangan untuk memiliki anak pada usia bila sekalipun.
Ia adalah terpulang kepada anda untuk memikirkannya secara rasional.
Pun begitu, ada beberapa risiko isteri hamil anak suami lewat usia yang kalian perlu tahu, iaitu:
#1. Suami lewat usia punca keguguran bayi
Pertama sekali, ini adalah risiko yang paling dibimbangi akan terjadi.
Ini kerana isteri yang hamil anak suami lewat usia dikatakan akan meningkatkan risiko keguguran bayi sebelum minggu ke-20 kehamilan (stillbirth).
#2. Suami lewat usia punca kecacatan bayi
Selain itu, kehamilan isteri dengan suami yang berusia 40 tahun ke atas juga boleh meningkatkan risiko kecacatan bayi – kelainan pada pertumbuhan tengkorak, anggota tubuh badan dan jantung bayi.
#3. Autisme
Seperti mana yang selalu kita baca atau dengar, wanita yang hamil lewat usia berisiko melahirkan anak autisme.
Namun, kajian juga menunjukkan ia boleh terjadi jika si suami berusia 40 tahun ke atas.
#4. Childhood Acute Lymphoblastic Leukaemia
Buat anda yang belum tahu mengenai terma ini, ia adalah sejenis kanser darah di mana penghasilan sel darah putih tidak normal.
Ia berisiko terjadi kepada bayi dengan ibu atau bapa yang lewat usia.
#5. Skizofrenia
Akhir sekali, terdapat kajian yang mengatakan bahawa usia isteri atau suami lewat usia dan tua akan meningkatkan risiko anak lahir dengan penyakit mental skizofrenia.
Namun, ini cuma sekadar satu risiko dan tidak semestinya akan terjadi.
Walau bagaimanapun, adakah anda mahu berhadapan dengan risiko-risiko yang dinyatakan ini? Tepuk dada tanya selera…
Konklusinya, tiada siapa yang dapat menghalang atau melarang sesiapapun hamil pada usia yang mereka mahu.
Sebaliknya, kita hanya mampu memberikan nasihat, maklumat atau informasi yang boleh membantu kalian membuat keputusan sendiri.
Pertimbangkanlah faktor bilangan anak, tahap kesihatan anda dan pasangan, kewangan, kerjaya dan ekonomi anda sebelum memutuskan untuk menambah ahli keluarga.
Selain itu, pertimbangkan juga faktor usia anda. Adakah anda mahu risiko-risiko yang kami nyatakan ini menimpa anak anda?
Jika tidak, sila berfikir dengan wajar sebelum membuat keputusan.
[embed-health-tool-ovulation]