Tahukah anda, individu yang mengamalkan gaya hidup tidak aktif atau disebut sebagai gaya hidup sedentari mampu meningkatkan risiko mortaliti dua kali ganda berbanding dengan individu yang aktif?
Hidup dalam kehidupan yang tidak aktif atau sedentari ini merupakan antara isu penting yang melibatkan kesihatan awam. Kehidupan sedentari ini dilihat semakin meluas diamalkan di kebanyakan negara dan ia mempunyai hubung kait dengan masalah tahap kesihatan yang kronik. Tetapi, apakah itu kehidupan sedentari?
Gaya hidup sedentari adalah sejenis amalan kehidupan yang melibatkan hanya sedikit atau tiada langsung aktiviti fizikal.
Individu dengan kehidupan sebegini adalah tidak aktif, lebih banyak menghabiskan masa untuk duduk atau berbaring ketika melakukan aktiviti seperti membaca, bersosial, menonton televisyen, bermain permainan video atau menggunakan telefon pintar mahupun komputer hampir sepanjang hari.
Gaya kehidupan sebegini hanya menggunakan tenaga yang sedikit
Individu dengan kehidupan yang tidak aktif ini tidak dapat memenuhi garis panduan aktiviti fizikal yang disarankan.
Menurut Garis Panduan Aktiviti Fizikal 2008 yang dikeluarkan bagi rakyat Amerika, seorang individu dewasa seharusnya melakukan sekurang-kurangnya 150 minit aktiviti fizikal intensiti sederhana setiap minggu.
Malah, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) turut menyarankan untuk setiap individu dewasa bersenam sekurang-kurangnya 30 minit sehari bagi mendapatkan kehidupan yang lebih sihat.
Gaya hidup vs kematian pramatang
Menurut penulis kajian dari Norwegian University of Science and Technology, Trondheim, Norway, Dr Trine Moholdt berkata, “Daripada hasil kajian, menunjukkan seseorang yang melakukan aktiviti fizikal mungkin akan dapat mencegah kematian pramatang. Tetapi bagi mendapat faedah kesihatan maksimum mencegah kematian pramatang yang melibatkan pelbagai punca dan penyakit kardiovaskular, seseorang itu perlu untuk melakukan aktiviti fizikal secara berkala.”
Tambah beliau lagi, jika sebelum ini anda bukan seorang individu yang aktif, anda masih belum terlewat untuk mengurangkan risiko dengan mengubah gaya hidup untuk melakukan sebarang aktiviti fizikal secara aktif dan berkala.
Kematian pramatang itu didefinisikan sebagai kematian yang berlaku sebelum purata usia kematian mengikut populasi tertentu di dalam sesebuah negara. Sebagai contoh, kematian di Amerika Syarikat adalah pada purata usia 75 tahun. Oleh itu, sebarang kematian yang berlaku sebelum usia tersebut, dianggap sebagai kematian pramatang.
Dua dekad kajian
Dalam satu kajian HUNT yang dibentangkan dalam ESC Congress 2019 bersama World Congress of Cardiology, menyatakan individu dengan gaya hidup tidak aktif bagi tempoh dua dekad, iaitu selama 20 tahun, dikaitkan dengan dua risiko kematian pramatang berbanding dengan mereka yang menjalani kehidupan aktif secara fizikal.
Pelaksanaan kajian ini adalah bertujuan untuk melihat bagaimana perubahan dalam melakukan aktiviti fizikal dalam tempoh 22 tahun mempunyai kaitan dengan kematian yang disebabkan oleh pelbagai punca dan juga penyakit kardiovaskular.
Kebanyakan kajian yang telah dilakukan lebih kepada mengkaji hubungan antara aktiviti fizikal dan umur yang panjang. Kajian ini dilaksanakan dengan menyoal selidik tahap aktiviti fizikal peserta kajian hanya untuk sekali sahaja dan mengikut perkembangan mereka bagi tempoh beberapa tahun.
Aktiviti fizikal merupakan satu perlakuan tingkah laku yang sentiasa berubah bagi kebanyakan individu, jadi ia adalah satu perkara penting untuk menyiasat mengenai perubahan yang berlaku dari masa ke masa yang melibatkan risiko kematian pada masa hadapan.
Dalam kajian HUNT, penduduk Norway yang berusia 20 tahun dan ke atas diminta untuk mengambil bahagian dalam 3 tempoh kajian, iaitu 1984-1986, 1995-1997 dan 2006-2008. Pada ketiga-tiga titik masa tersebut, individu yang mengambil bahagian ditanya mengenai kekerapan dan jangka waktu aktiviti fizikal masa lapang yang dilakukan. Kajian semasa menggunakan data tinjauan pertama dan ketiga.
Seramai 23,146 individu lelaki dan wanita dimasukkan ke dalam analisis. Aktiviti fizikal yang dilakukan dikategorikan sebagai tidak aktif, sederhana (kurang daripada dua jam seminggu) dan tinggi (dua jam atau lebih dalam tempoh seminggu). Peserta dibahagikan kepada kumpulan tertentu berdasarkan tahap aktiviti yang dilakukan dalam setiap tinjauan.
Data aktiviti fizikal yang diperolehi dikaitkan dengan maklumat kematian sehingga akhir tahun 2013 menggunakan Norwegian Cause of Death Registry.
Risiko kematian dalam setiap kumpulan aktiviti fizikal dibandingkan dengan kumpulan rujukan, iaitu individu yang melaporkan tahap aktiviti tinggi semasa dua tempoh tinjauan.
Analisis ini diselaraskan untuk melihat faktor yang mempengaruhi prognosis seperti indeks jisim badan, usia, jantina, tabiat merokok, tahap pendidikan dan tekanan darah.
Amalkan gaya hidup aktif dan sihat
Berbanding dengan kumpulan rujukan, individu yang tidak aktif dalam kedua-dua tahun; 1984-1986 dan 2006-2008, mempunyai dua kali lebih tinggi risiko berkemungkinan untuk berhadapan dengan kematian yang disebabkan oleh pelbagai punca dan 2.7 kali lebih berisiko kematian akibat penyakit kardiovaskular.
Berbanding dengan kumpulan rujukan yang melakukan aktiviti fizikal intensiti tinggi, mereka yang melakukan aktiviti sederhana pada kedua-dua titik masa, masing-masing mempunyai 60% dan 90% risiko kematian yang disebabkan oleh pelbagai punca dan penyakit kardiovaskular.
Justeru itu, Dr Moholdt berkata, individu dewasa adalah amat disarankan untuk melakukan aktiviti fizikal iaitu 150 minit seminggu bagi aktiviti fizikal intensiti sederhana atau 75 minit seminggu untuk intensiti tinggi.
Beliau turut mengingatkan individu untuk melakukan aktiviti fizikal walaupun ia berada di bawah tahap yang dinasihatkan kerana ia tetap akan memberikan manfaat kesihatan. Kecergasan fizikal adalah lebih penting berbanding jumlah latihan yang dilakukan.
Jadi, bagi mengurangkan risiko kematian yang disebabkan oleh pelbagai punca mahupun penyakit kardiovaskular, lakukan sebarang aktiviti yang anda sukai dan banyakkan bergerak dalam kehidupan seharian anda. Sesungguhnya mencegah itu adalah lebih baik daripada merawat.
[embed-health-tool-heart-rate]