Senaman aerobik sering dianggap sebagai senaman yang melibatkan penggunaan stamina berbanding dengan kekuatan fizikal.
Apabila berbicara mengenai aerobik, pasti anda akan terbayangkan individu yang berjoging, berlari atau berenang walhal skopnya tidaklah sempit sebegitu.
Senaman aerobik adalah sebarang bentuk aktiviti yang melibatkan penggunaan kumpulan otot besar dan menggalakkan aliran darah di seluruh badan.
Ini termasuklah:
- Berjalan.
- Berenang.
- Berbasikal.
- Berlari.
- Berkebun.
- Bersukan (bola sepak, ragbi dan sebagainya).
Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan setiap individu untuk melakukan senaman aerobik pada intensiti sederhana sekurang-kurangnya 150 minit seminggu.
Berdasarkan saranan tersebut, jelas menunjukkan terdapat kebaikan melakukan senaman aerobik hatta seseorang itu hanya berkebun di masa senggang sahaja.
Namun, mengapa ia begitu? Teruskan membaca untuk mengetahui tentang kebaikan senaman aerobik terhadap tahap kesihatan manusia.
Manfaat pertama
Tingkatkan tahap kesihatan kardiovaskular
Kebanyakan doktor dan pakar jantung menyarankan setiap individu untuk melakukan senaman bagi menghindarkan faktor risiko penyakit jantung.
Persatuan Jantung Amerika (AHA) turut mengemukakan saranan yang sama.
Senaman kardiovaskular boleh membantu menguatkan otot jantung. Ini bermakna, darah boleh dipam dengan lebih efisien ke seluruh badan dan tekanan darah dapat dikawal dengan lebih baik.
Mereka yang kerap bersenam juga mempunyai paras lipoprotein berketumpatan tinggi (HDL) yang optimum dan lipoprotein berketumpatan rendah (LDL) yang rendah.
Manfaat no. 2
Bantu kawal paras gula dalam darah
Aktiviti fizikal boleh membantu setiap individu untuk mengawal paras insulin di dalam badan sambil mengekalkan gula dalam darah pada paras yang rendah.
Hakikatnya, pergerakan badan baik untuk setiap individu dan kebanyakan kajian mengaitkan amalan senaman yang kerap dengan penurunan risiko terhadap penyakit kronik.
Kajian metaanalisis yang diterbitkan pada tahun 2013 melibatkan pesakit kencing manis jenis 2 menunjukkan, sebarang pergerakan (aerobik atau bukan aerobik) boleh memberikan kawalan gula yang baik kepada penghidap.
Manfaat no. 3
Senaman aerobik boleh turunkan kekerapan simptom asma
Kita sering beranggapan bahawa pesakit asma tidak sesuai melakukan aktiviti kardiovaskular berikutan keupayaan pernafasan mereka yang terhad.
Walau bagaimanapun, kajian menunjukkan dapatan yang sebaliknya.
Senaman kardiovaskular boleh membantu penghidap asma untuk menurunkan kekerapan dan tahap keterukan serangan asma yang dialami.
Pun begitu, rujukan kepada doktor perlu dilakukan bagi tujuan pemeriksaan untuk melihat tahap kesesuaian aktiviti dengan masalah asma yang dihidapi.
Setiap individu mempunyai daya tahan yang berbeza. Anda mungkin akan ditegah daripada melakukan aktiviti senaman berat jika baru hendak mula bersenam.
Manfaat no. 4
Kawal kesakitan kronik secara semula jadi
Jika anda mempunyai masalah sakit belakang kronik, senaman kardiovaskular berimpak rendah seperti berenang boleh memberikan kelegaan.
Bagi mereka yang mengalami kesakitan kronik berpunca daripada pertambahan berat badan, aktiviti senaman boleh membantu anda mencapai berat badan optimum.
Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna anda tidak memerlukan rujukan kepada doktor perubatan untuk tujuan pemeriksaan.
Terdapat pelbagai faktor yang boleh menyebabkan seseorang itu mendapat masalah sakit belakang atau jenis kesakitan kronik yang lain.
Manfaat no. 5
Senaman aerobik bantu anda mudah tidur
Jika anda sering mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam, anda boleh cuba lakukan aktiviti kardiovaskular semasa anda berjaga.
Kajian menunjukkan gabungan didikan berkenaan dengan kebersihan tidur dan senaman kardiovaskular secara berkala merupakan satu bentuk rawatan insomnia yang efektif.
Subjek kajian menyertai aktiviti aerobik selama 16 minggu berturut dan kemudiannya diberikan soalan penilaian berkaitan dengan mood dan tabiat tidur mereka.
Mereka yang aktif bersenam mempunyai kualiti tidur yang lebih baik dan mereka lebih bertenaga untuk menjalani rutin di siang hari.
Manfaat no. 6
Nak kawal berat badan? Buatlah aerobik
Tabiat pemakanan dan senaman merupakan elemen penting dalam proses menurunkan berat badan.
Senaman aerobik mempunyai impak yang besar terhadap kadar penurunan berat dan pengekalan berat selepas anda mencapai berat ideal.
Kajian berkaitan yang diterbitkan pada tahun 2012 menunjukkan jika peserta dengan berat badan berlebihan mengekalkan diet sedia ada dan ditambah dengan senaman kardio.
Peserta mengalami penurunan berat badan di antara 4.3 hingga 5.7% daripada berat asal.
Jika anda tidak mempunyai kelengkapan sukan di rumah, cuba aktiviti seperti berjalan, berjoging dan sebagainya.
Gabungan di antara kawalan pengambilan kalori dan senaman aerobik boleh memberikan kesan penurunan berat badan yang lebih ketara.
Manfaat no. 7
Menguatkan sistem pertahanan badan
Kajian yang dijalankan oleh Universiti Pennsylvania telah menunjukkan senaman aerobik boleh meningkatkan jumlah antibodi badan yang dikenali sebagai immunoglobulin.
Keadaan ini berbeza dengan subjek yang tidak aktif. Hormon stres mereka tinggi dan mereka tidak menunjukkan sebarang perubahan pada fungsi sistem imun.
Situasi ini tidak terhad kepada aktiviti aerobik sahaja. Apa-apa aktiviti aerobik atau bukan aerobik boleh memberikan kesan baik terhadap kekuatan sistem imun manusia.
Ia memberi gambaran akan kepentingan untuk kekal aktif bagi memastikan tahap kesihatan berada pada paras optimum.
Manfaat no. 8
Menguatkan ingatan
Tahukah anda, tisu otak anda akan beransur-ansur hilang apabila anda mencecah usia 30 tahun?
Walaupun ia merupakan satu berita buruk, namun saintis telah menemui cara untuk meningkatkan keupayaan kognitif dan memperlahankan proses kehilangan tisu otak; iaitu senaman aerobik.
Untuk menguji teori tersebut, 55 orang tua telah terlibat dalam penilaian otak berdasarkan kepada imej imbasan resonans magnet (MRI).
Mereka yang aktif melakukan aktiviti aerobik mempunyai struktur otak yang lebih mantap berbanding dengan mereka yang tidak aktif melakukan senaman aerobik.
Konklusi
Senaman aerobik boleh memberikan pelbagai kebaikan kesihatan.
Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik seperti asma, penyakit jantung dan sebagainya, rujukan dan pemeriksaan doktor perlu dilakukan terlebih dahulu.
[embed-health-tool-heart-rate]