Definisi
Apa itu Pemeriksaan Telinga Di Rumah?
Pemeriksaan telinga di rumah ialah pemeriksaan visual ke atas saluran telinga dan gegendang telinga menggunakan sebuah alat yang dipanggil otoskop. Otoskop ialah alat yang boleh digenggam yang dilengkapi dengan lampu, kanta pembesar dan tempat melihat berbentuk corong dengan hujung yang sempit dan runcing dinamakan spekulum.
Pemeriksaan ini boleh membantu mengesan banyak masalah telinga seperti jangkitan telinga, tahi telinga berlebihan atau objek di salur telinga.
Selepas mendapat arahan dan latihan dari doctor, pemeriksaan ini boleh membantu ibubapa kepada kanak-kanak yang selalu mendapat jangkitan telinga dan sakit telinga. Kadangkala, seorang kanak-kanak boleh mendapat jangkitan telinga dimana simptomnya hanyalah tidak selesa, demam atau rasa sakit di telinga. Pemeriksaan ini boleh menemukan sebab simptom-simptom ini. Tetapi ia boleh jadi susah untuk belajar menggunakan otoskop dan sesetengahnya berkualiti rendah. Pemeriksaan oleh doktor selalunya diperlukan.
Mengapa ia dijalankan?
Ia dijalankan untuk:
- Mencari tanda-tanda jangkitan apabila seseorang ada sakit pada telinga atau apabila kanak-kanak mempunyai simptom yang samar-samar.
- Memeriksa objek asing di dalam telinga seperti serangga atau kacang.
- Memeriksa pengumpulan tahi telinga apabila seseorang mengadu hilang pendengaran atau rasa penuh atau tekanan dalam telinga.
Perkara yang perlu anda tahu sebelum pemeriksaan
Apa yang anda perlu tahu sebelum menjalani pemeriksaan ini?
Sesetengah otoskop menggunakan gelombang suara yang memantul ke gegendang telinga untuk mengesan otitis media dengan efusi (cecair dalam telinga tengah).
Tahi telinga (cerumen) ialah rembesan perlindungan normal dalam salur telinga. Ia kebiasaannya kering sendiri dan membersihkan bahagian luar telinga sudah mencukupi. Jangan bersihkan salur telinga anda menggunakan swab kain, pin rambut, klip kertas atau kuku jari kerana ia boleh mencederakan salur atau gegendang telinga dan akan menolak tahi telinga lebih jauh ke dalam salur telinga.
Tidak kira apa yang anda lihat dengan otoskop, sila hubungi doktor jika anak anda mengalami:
- Sakit telinga yang teruk terutamanya jika anak anda demam.
- Hilang pendengaran secara tiba-tiba.
- Gagal menggerakkan otot di satu bahagian muka (lumpuh saraf fasial).
- Satu atau kedua-dua telinga berdering tanpa henti.
- Cecair keluar dari satu atau kedua-dua telinga.
Ketahui apa yang berlaku
Apakah persediaan ujian ini?
Tiada persediaan khusus. Sila sentiasa ingat untuk membersihkan spekulum menggunakan air yang panas dan bersabun sebelum menggunakannya.
Apa yang berlaku ketika ujian ini?
Jika anda ingin memeriksa anak kecil, pastikan dia baring dengan kepala berpaling pada satu sisi atau duduk di atas pangkuan orang dewasa sambil kepala di atas dada. Kanak-kanak yang lebih dewasa atau orang dewasa boleh duduk dengan kepala menyenget sedikit ke depan ke arah bahu yang bertentangan. Posisi duduk adalah yang terbaik untuk mengenal pasti otitis media dengan efusi (cecair di belakang gegendang telinga).
Pilih tempat melihat yang paling besar yang sesuai dengan salur telinga dan lekatkannya pada otoskop. Jika seseorang itu hanya mempunyai masalah dengan satu telinga, pegang otoskop dengan satu tangan dan gunakan tangan satu lagi untuk menarik dengan cermat bahagian luar telinga ke atas dan belakang. Ini akan meluruskan salur telinga dan memperbaik visualisasi. Untuk bayi di bawah 12 bulan, tarik telinga dengan cermat ke bawah dan belakang.
Kemudian, masukkan dengan perlahan bahagian hujung tempat melihat ke dalam salur telinga sambil melihat ke dalam otoskop. Kawasan tepi salur telinga boleh jadi agak sensitif. Jadi, cuba untuk tidak meletakkan tekanan pada salur telinga. Menetapkan tangan anda di mukanya mungkin membantu supaya tangan anda bergerak bersama kepalanya jika dia bergerak dengan laju.
Jangan alihkan otoskop ke depan tanpa melihat ke dalamnya. Pastikan anda boleh nampak jalan menuju salur telinga. Anda tidak perlu memasukkan tempat melihat terlalu jauh ke dalam telinga–cahaya melangkauinya dengan baik.
Posisikan sudut tempat melihat sedikit kearah hidungnya untuk mengikut sudut normal salur telinga. Sambil melihat ke dalam otoskop, gerakkanya dengan cermat pada sudut yang berbeza supaya anda dapat melihat dinding salur telinga dan gegendang telinga. Sila berhenti jika ada rasa sakit.
Apa yang berlaku selepas ujian ini?
Minta doktor untuk mengulang kaji semula teknik ini dengan anda dan untuk melihat anda melakukan pemeriksaan. Kemudian, sila berlatih pada beberapa orang dewasa sihat yang sudi supaya anda tahu bagaimana rupa salur dan gegendang telinga yang normal. Jangan putus asa jika anda tidak dapat melihat gegendang telinga pada kali pertama–ia memerlukan sedikit latihan dan pengalaman.
Memahami keputusan
Apa maksud keputusan saya?
Salur telinga. Ia mempunyai saiz, bentuk dan warna yang berbeza.
Normal: Berwarna kulit, mengandungi rerambut kecil dan kebiasaannya terdapat sedikit tahi telinga berwarna coklat kekuningan atau coklat kemerahan.
Abnormal: Goyang atau tarikan dari telinga bahagian luar menyebabkan rasa sakit. Salur telinga berwarna merah, bengkak atau diisi dengan nanah.
Gegendang telinga. Ia berwarna putih mutiara atau kelabu cerah dan anda boleh melihat menembusinya. Anda boleh melihat tulang-tulang kecil telinga tengah menolak gegendang telinga.
Normal: Anda melihat kon cahaya yang dikenali sebagai “refleks cahaya”, yang memantul dari permukaan gegendang telinga. Kon cahaya ini terletak di posisi pukul 5 di telinga kanan dan posisi pukul 7 di telinga kiri.
Abnormal: Refleks cahaya malap atau tidak ada. Gegendang telinga berwarna merah dan membonjol. Anda selalunya akan lihat cecair kuning atau buih di belakangnya. Lubang pada gegendang telinga (penembusan). Parut putih di permukaannya. Jika anak anda pernah meletakkan tiub di dalam telinga, anda mungkin juga melihat tiub plastik kecil yang kebiasaannya berwarna biru atau hijau. Gegendang telinga dihalang oleh tahi telinga atau objek seperti kacang atau manik.
Nota: Jika anda melihat salur telinga meradang, nanah, gegendang telinga malap atau kemerahan, cecair di belakang gegendang telinga, lubang pada gegendang telinga atau objek asing di dalam telinga, sila hubungi doktor anda.
Julat normal bagi ujian ini mungkin berbeza bergantung kepada makmal dan hospital. Sila berbincang dengan doktor anda tentang apa-apa persoalan yang anda ada berkenaan keputusan ujian anda.
Jika anda mempunyai sebarang persoalan berkenaan ujian ini, sila berunding dengan doktor anda untuk memahami dengan lebih baik.