Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Serviks, sila dapatkannya di sini.
Pesakit yang didiagnos dengan kanser serviks mungkin memerlukan beberapa jenis rawatan untuk kanser serviks yang mereka alami. Rawatan ini mungkin berbentuk pembedahan, terapi radiasi dan kemoterapi. Ubat-ubatan lain juga boleh diambil oleh pesakit untuk melegakan simptom yang mereka alami.
Pembedahan
Wanita yang menghidap kanser serviks mungkin akan mengalami beberapa jenis pembedahan. Prosedur ini dilakukan untuk:
- Diagnosis kanser serviks
- Menentukan sejauh mana kanser telah merebak
- Bantu merawat kanser terutama yang masih berada pada tahap awal.
Pembedahan akan dilakukan mengikut saiz dan tahap kanser serviks yang pesakit alami. Selain itu, jika pesakit mempunyai niat untuk mengandung lagi, doktor juga akan menjalankan pembedahan mengikut kesesuaian.
Pembedahan yang mungkin dilakukan ialah:
1. Pembedahan untuk membuang kanser sahaja
Jika kanser bersaiz kecil, doktor mungkin boleh membuang kanser tersebut menggunakan prosedur yang dikenali sebagai radical trachelectomy procedure.
Pembedahan ini melibatkan pemotongan berbentuk kon yang akan membuang sedikit bahagian serviks dan sedikit tisu yang mengelilingi kanser tersebut. Pembedahan jenis ini membolehkan pesakit untuk mengandung selepas menerima rawatan kanser.
2. Pembedahan untuk membuang serviks (trachelectomy)
Kanser yang masih berada pada tahap yang awal boleh dirawat menggunakan pembedahan jenis ini. Prosedur pembedahan ini akan membuang bahagian serviks tetapi mengekalkan uterus. Oleh itu, wanita masih boleh mengandung selepas menerima rawatan.
3. Pembedahan untuk membuang serviks dan uterus (hysterectomy)
Doktor akan bertindak membuang uterus dan juga serviks melalui pembedahan ini. Oleh itu, wanita tersebut tidak dapat mengandung selepas melakukan pembedahan.
Namun, pembedahan ini boleh merawat kanser serviks yang masih berada pada tahap yang awal. Selain itu, kadar keberulangan kanser juga dapat dikurangkan secara signifikan.
Terapi radiasi
Terapi radiasi boleh digunakan sebagai salah satu rawatan utama untuk merawat kanser serviks. Terapi radiasi boleh dilakukan secara bersendirian ataupun dilakukan bersama rawatan lain seperti pembedahan.
Terapi radiasi juga boleh dilakukan untuk mengelakkan kanser daripada merebak atau berulang semula selepas dirawat. Terapi radiasi yang selalu digunakan untuk merawat kanser serviks ialah:
- External beam radiation (ERBT) – Terapi radiasi jenis ini akan menghalakan sinaran X-ray daripada luar badan. Setiap radiasi akan berlangsung selama beberapa minit. Prosedur ini merupakan prosedur yang tidak menyakitkan. Ia sama seperti anda mengambil sinaran X-ray, tetapi dos radiasi yang digunakan adalah lebih kuat.
- Brachytherapy – Brachytherapy ataupun terapi dalaman ini dilakukan dengan cara meletakkan punca radiasi di dalam atau berdekatan dengan lokasi kanser. Radiasi jenis ini hanya boleh bergerak dalam jarak yang pendek. Selalunya, brachytherapy akan dilakukan bersama external beam radiation sebagai rawatan utama kanser serviks. Ini kerana, rawatan ini jarang dilakukan secara bersendirian.
Terapi radiasi mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri terhadap pesakit. Sebagai contoh, pesakit boleh alami vaginal stenosis atau luka pada bahagian vagina.
Luka ini menghasilkan parut yang membuatkan vagina makin sempit, tidak boleh meregang dan lebih pendek. Oleh itu, wanita yang melakukan rawatan kanser dengan terapi radiasi mungkin akan mengalami kesukaran untuk melakukan hubungan seksual.
Kemoterapi
Kemoterapi merupakan rawatan yang digunakan untuk memusnahkan sel kanser dengan cara menghentikan sel tersebut daripada membesar, membahagi atau merebak ke bahagian badan yang lain.
Selalunya, kemoterapi diberikan secara oral (melalui mulut) kepada pesakit. Namun, semua ubat yang digunakan untuk merawat kanser serviks akan diberikan secara intravena.
Kanser serviks selalunya dirawat melalui gabungan terapi radiasi dan kemoterapi. Dengan cara ini dapat membantu terapi radiasi berfungsi dengan lebih baik.
Kemoterapi mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri, antaranya ialah:
- Rasa loya dan muntah-muntah
- Hilang selera makan
- Rambut gugur
- Ulser di dalam mulut
- Penat yang amat sangat
Ubat kemoterapi boleh membunuh sel kanser, namun pada masa yang sama ia turut membunuh sel kanser yang normal. Kesan sampingan yang berlaku akibat kanser bergantung kepada dos yang diterima dan jangka masa rawatan.
Kesan sampingan yang diterima semasa rawatan kanser boleh dikurangkan. Oleh itu, berbincang dengan doktor anda jika ada mengalami rasa sakit berpunca dari rawatan kanser.
Doktor boleh memberikan anda ubat yang bersesuaian untuk mengurangkan rasa sakit yang dialami.
Penjagaan di rumah dan gaya hidup
Penting untuk pesakit melakukan penjagaan kendiri di rumah selepas mendapat rawatan untuk kanser serviks.
Disebabkan rawatan kanser selalunya mempunyai kesan sampingannya yang tersendiri, maka rawatan di rumah yang bersesuaian mungkin dapat membantu anda untuk mengurangkan rasa sakit yang dihadapi.
Sebagai contoh, anda boleh:
1. Menjaga luka akibat pembedahan
Jika anda baru melalui pembedahan, pastikan anda menjaga luka pembedahan dengan baik. Pastikan luka anda bersih. Cuci luka menggunakan sabun dan air. Kemudian, keringkan menggunakan tuala bersih. Pastikan balutan luka bersih dan tukar secepat mungkin apabila ia menjadi kotor.
2. Ambil makanan yang sihat
rawatan kanser serviks
Diet yang kaya dengan sayur-sayuran dan buah-buahan terbukti dapat melawan kanser. Oleh itu, banyakkan makan sayur dan buah-buahan dalam diet seharian anda.
3. Berhenti merokok
Wanita yang merokok mempunyai risiko dua kali ganda untuk menghidap kanser serviks. Seperti ramai yang sedia maklum, tabiat merokok boleh mengakibatkan pelbagai jenis kanser.
Bahan kimia yang terdapat di dalam rokok boleh merosakkan DNA di sekitar kawasan serviks lalu mengakibatkan kanser.
4. Pastikan anda tidak terkena sebarang jangkitan
Rawatan kemoterapi dan radiasi akan melemahkan sistem imun badan. Oleh itu, pastikan anda tidak mengambil sebarang daging yang kurang masak untuk elakkan sebarang jangkitan.
Pada masa ini, badan mungkin tidak dapat melawan jangkitan dengan efisien kerana daya tahan badan yang menjadi lemah akibat rawatan kanser.
Selain itu, kanser serviks mempunyai stigma yang tersendiri dalam kalangan masyarakat. Disebabkan ia berkaitan dengan organ seks, maka masalah yang berkaitan dengan kanser ini sukar untuk dibincangkan bersama orang lain.
Pesakit yang menghidap kanser serviks mungkin rasa sukar untuk berkomunikasi mengenai penyakit yang mereka alami. Jika rasa malu untuk meluahkan perasaan anda kepada ahli keluarga atau rakan-rakan, anda boleh berhubung terus dengan doktor.
Mereka boleh mencadangkan solusi tertentu seperti kaunseling atau memperkenalkan anda dengan beberapa kumpulan sokongan yang lebih memahami tentang penyakit yang sedang anda alami.
Terapi tanpa preskripsi (over-the-counter therapy)
Terapi yang boleh dibeli di farmasi atau secara over-the-counter boleh digunakan untuk merawat kesan sampingan yang berlaku akibat rawatan kanser.
Sebagai contoh, pesakit boleh membeli ubat tahan sakit seperti ibuprofen ataupun naproxen. Pesakit juga boleh mengambil ubat untuk melegakan demam seperti acetaminophen.
Walau bagaimanapun, sebelum mengambil sebarang jenis ubat tanpa preskripsi, pastikan anda berhubung dengan doktor terlebih dahulu. Pastikan ubat ubatan tersebut tidak mempunyai sebarang kesan negatif terhadap rawatan kanser.
Ubat pelengkap/alternatif untuk kanser
Ubat pelengkap dan alternatif (complementary and alternative medicine – CAM) merupakan terma yang digunakan untuk merujuk kepada produk yang bukan sebahagian daripada rawatan perubatan standard.
Rawatan perubatan standard merupakan rawatan yang dijalankan oleh doktor di hospital. Terapi CAM pula dilakukan dengan cara menggabungkan perubatan alternatif bersama dengan perubatan pelengkap untuk mengurangkan kesan sampingan yang disebabkan oleh kanser.
Bukan semua terapi CAM selamat untuk dijalankan. Namun, ada yang telah diuji selamat dan efektif untuk dilakukan terhadap pesakit kanser.
Terapi CAM menggunakan pelbagai jenis ubat-ubatan yang berasaskan herba dalam rawatannya. Namun, bukan semua produk yang dikatakan bersifat semula jadi ini selamat untuk merawat kanser.
Sebagai contoh, kava kava, sejenis herba yang dikatakan boleh merawat kegelisahan (anxiety) tapi dalam masa yang sama boleh menyebabkan kerosakan pada hati.
Jika anda ingin melakukan terapi CAM, pastikan berhubung dengan doktor terlebih dahulu. Seterusnya minta doktor mencadangkan seseorang yang berkelayakan untuk memberikan terapi CAM kepada anda.