backup og meta

Kanser Serviks Ketika Hamil, Apa Risikonya Terhadap Ibu Dan Anak?

Kanser Serviks Ketika Hamil, Apa Risikonya Terhadap Ibu Dan Anak?

Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Serviks, sila dapatkannya di sini.

Tahukah anda, penyakit serviks atau kanser serviks boleh berlaku kepada ibu yang sedang hamil? Walau bagaimanapun, insiden ini amat jarang berlaku – hanya 1%-3% kehamilan sahaja yang dicatatkan mengalami komplikasi ini.

Wanita mengandung yang mendapat diagnosis kanser serviks selalunya menerima berita mengenai kanser tersebut ketika mereka sudahpun hamil.

Hampir separuh daripada kes didiagnosis ketika ibu sedang hamil, manakala separuh lagi didiagnosis 12 bulan selepas kelahiran.

Rawatan kanser serviks ketika ibu sedang mengandung merupakan sesuatu yang amat sukar untuk dilakukan kerana bayi dalam kandungan akan turut sama mengalami kesan akibat rawatan.

Apabila seorang wanita itu mengandung, sukar untuk mereka mengawal emosi. Oleh sebab itu, diagnosis kanser sewaktu kehamilan mungkin merupakan sesuatu yang sukar untuk diterima.

Walau bagaimanapun, ramai bakal ibu yang menghidap kanser ketika mengandung dapat melahirkan anak dengan selamat.

Oleh sebab itu, jangan pernah putus asa atau patah semangat. Masih ada harapan untuk ibu tersebut melahirkan anak yang sihat dan sembuh daripada kanser walaupun menerima diagnosis sewaktu kehamilan.

Rawatan untuk ibu hamil yang menghidap penyakit serviks

Kebanyakan wanita yang didiagnosis dengan kanser serviks sewaktu kehamilan mempunyai kanser serviks yang masih berada di peringkat awal.

Kajian mendapati kanser serviks yang berlaku kepada ibu hamil tidak akan merebak dan membesar dengan lebih pantas jika dibandingkan dengan wanita yang tidak mengandung.

Rawatan untuk kanser serviks mungkin berbeza-beza mengikut usia kandungan. Contohnya:

1.   Kanser serviks ketika berada pada trimester kedua atau ketiga

Jika pesakit telah hamil lebih daripada 3 bulan, doktor mungkin akan mencadangkan agar pesakit teruskan kehamilan. Namun, bayi mungkin terpaksa dilahirkan awal melalui pembedahan caesarean (c-section).

Doktor mungkin akan membuang rahim pesakit pada masa yang sama. Kemudian, pesakit akan dirawat dengan rawatan tambahan menggunakan kemoterapi ataupun terapi radio.

2.   Kanser serviks ketika wanita hamil kurang daripada 3 bulan

Pesakit yang baru sahaja hamil mungkin perlu menjalani rawatan secepat mungkin kerana kanser yang dibiarkan merebak selama 6 bulan atau lebih merupakan sesuatu yang berbahaya.

Jika pesakit memutuskan untuk menjalani rawatan, malangnya kandungan perlu digugurkan.

Perkara ini mungkin merupakan sesuatu yang sangat menyedihkan dan boleh membuatkan ibu tertekan. Namun, kanser yang dibiarkan tanpa rawatan boleh meragut nyawa kedua-dua ibu dan anak.

Pesakit boleh memilih untuk menyambung kehamilan. Walau bagaimanapun, rawatan kanser ketika hamil masih lagi dalam fasa eksperimental.

Masih banyak lagi yang pakar tidak tahu tentang kesan jangka panjang yang akan berlaku kepada ibu dan bayi setelah mereka dirawat ketika mengandung.

Ibu yang ingin meneruskan kehamilan tidak akan menerima rawatan kanser sehinggalah wanita tersebut berada pada bulan ke-3 kehamilan. Ibu juga tidak boleh dirawat dengan kemoterapi kerana ia boleh menyebabkan keguguran.

3.   Ibu yang mempunyai tumor bersaiz kecil

Ibu yang mempunyai tumor bersaiz kecil boleh dirawat menggunakan kaedah cone biopsy atau trachelectomy.

Trachelectomy merupakan satu prosedur membuang sebahagian besar serviks dan bahagian atas vagina.

Bilangan wanita yang menjalani trachelectomy semasa hamil amatlah sedikit. Terdapat risiko pendarahan ataupun keguguran sejurus selepas pembedahan.

4.   Ibu yang mempunyai tumor bersaiz besar

Wanita yang tergolong dalam kumpulan ini mungkin perlu melakukan kemoterapi untuk mengecilkan atau mengawal kanser tersebut sehinggalah bayi selamat dilahirkan.

Menurut kajian,rawatan kemoterapi yang diberikan selepas trimester pertama tidak akan meningkatkan risiko kecacatan bayi.

Namun, banyak lagi kajian yang perlu dijalankan sebelum doktor boleh memutuskan dengan tepat mengenai risiko sebenar kemoterapi terhadap bayi dalam kandungan.

Bayi sihat walaupun kanser atau penyakit serviks

ibu hamil

Menurut Misty Wiggs, pesakit kanser serviks ketika hamil, dia terpaksa melakukan C-section ketika kandungan berumur 38 minggu. Namun, bayinya, Paxton selamat dilahirkan pada 28 September, 2015.

Misty telahpun didiagnosis dengan kanser serviks tahap 1 A ketika kandungannya menginjak ke usia 10 minggu.

Katanya lagi, perjalanannya melawan kanser serviks ketika hamil bukanlah sesuatu yang mudah. Misty mengalami gangguan emosi dan rasa amat takut dengan prognosis yang dibentangkan oleh doktor.

Walau bagaimanapun, Misty berbangga akan kejayaannya menentang kanser serviks ketika hamil. Dia juga percaya, ramai lagi wanita yang boleh mendapat ‘happy ending’ atau khabar baik seperti dirinya.

Memilih rawatan yang terbaik adalah sesuatu yang sukar untuk pesakit. Pesakit mungkin perlukan banyak masa bersendirian untuk memilih rawatan yang paling sesuai dan tidak memudaratkan dirinya dan juga bayi.

Kesimpulan penyakit serviks

ibu hamil

Pesakit boleh bertanya doktor tentang apa sahaja yang merunsingkan fikiran mereka. Untuk pengetahuan anda, pesakit juga berhak memilih untuk dapatkan pendapat kedua daripada doktor lain.

Rawatan untuk kanser akan membuatkan pesakit tidak boleh lagi mengandung. Ini kerana rawatan untuk kanser serviks selalunya merangkumi:

  1.       Pembedahan untuk membuang rahim
  2.       Terapi radio yang akan membuatkan ovari wanita berhenti berfungsi

Pesakit yang menghidap kanser pasti akan rasa tertekan apabila mendengar berita bahawa mereka tidak lagi dapat mengandungkan anak.

Oleh sebab itu, pastikan anda berbincang dengan doktor mengenai kesan rawatan ini.

Jika boleh, anda juga boleh minta berjumpa dengan kaunselor atau ahli terapi yang bertauliah untuk bantu menguruskan emosi anda.    

Penafian

Hello Health Group tidak menawarkan nasihat perubatan, diagnosis atau rawatan.

  1. Cancer Research UK. 2020. Fertility and cervical cancer. May 20. Accessed October 25, 2020. https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/cervical-cancer/living-with/fertility.
  2. —. 2020. Pregnancy. April 8. Accessed October 25, 2020. https://www.cancerresearchuk.org/about-cancer/cervical-cancer/treatment/pregnancy.
  3. Han, Sileny N., Mina Mhallem Gziri, Kristen Val Calsteren, and Frederic Amant. 2013. “Cervical cancer in pregnant women: treat, wait or interrupt? Assessment of current clinical guidelines, innovations and controversies.” Ther Adv Med Oncol. 211-219. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3707341/.
  4. MD Anderson Cancer Center. 2017. Facing a cervical cancer diagnosis during pregnancy. June 30. Accessed October 25, 2020. https://www.mdanderson.org/cancerwise/cervical-cancer-diagnosis-during-pregnancy.h00-159146034.html.

 

Versi Terbaru

28/05/2021

Ditulis oleh Fatin Zahra

Disemak secara perubatan oleh Dr. Joseph Tan

Diperbaharui oleh: Fatin Zahra


Artikel Berkaitan

Lakukan Ujian Diagnosis Untuk Memeriksa Kanser Serviks, Jangan Takut Untuk Buat Prosedur Ini

Sejauh Mana Kanser Serviks Merebak, Usah Bimbang Ini Rawatan & Terapi Yang Boleh Dilakukan


Disemak secara perubatan oleh

Dr. Joseph Tan

Perubatan dalaman atau am · Hello Health Group


Ditulis oleh Fatin Zahra · Disemak pada 28/05/2021

ad iconIklan

Adakah artikel ini bermanfaat?

ad iconIklan
ad iconIklan