Untuk mendapatkan lebih banyak info tentang Kanser Prostat, sila dapatkannya di sini.
Kanser pada kelenjar prostat adalah kanser kedua terlazim didiagnosis di seluruh dunia dan kedua tertinggi sebagai punca kematian kanser dalam kalangan lelaki.
Oleh sebab kebanyakan penghidap tidak menunjukkan simptom, maka ujian saringan adalah penting bagi mengesan barah pada peringkat awal.
Terdapat pelbagai jenis ujian yang boleh dijalankan bagi mengesahkan diagnosis penyakit prostat (kanser) seperti di bawah.
Ujian saringan untuk barah prostat
Terdapat dua ujian saringan utama bagi mengesan penyakit prostat (kanser). Antaranya adalah:
- Ujian antigen spesifik kepada prostat (PSA)
- Ujian rektal digital
Kedua-dua ujian tersebut kebiasaannya digunakan bersama.
Secara amnya, individu yang berusia 50 tahun ke atas disarankan untuk mengambil ujian saringan.
Namun, jika terdapat faktor risiko atau sejarah kanser prostat dalam keluarga, mereka boleh membuat saringan sebelum mencapai usia 50 tahun.
Berbeza dengan ujian diagnostik, ujian saringan tidak mengesahkan diagnosis bagi kanser prostat.
Ia hanya memberikan isyarat awal bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada kelenjar prostat dan ujian lanjut perlu dilakukan.
Ujian antigen spesifik kepada prostat (PSA) untuk kesan penyakit prostat
PSA merupakan protein yang dirembeskan oleh sel prostat. Ia adalah parameter yang spesifik kepada kelenjar prostat dan perubahan pada nilai normal memberikan implikasi bahawa terdapat masalah pada organ tersebut.
Walau bagaimanapun, ujian ini tidak spesifik kepada kanser prostat semata-mata.
Mereka yang mengalami masalah prostat membengkak (BPH), radang prostat dan penuaan juga boleh mengalami peningkatan pada bacaan nilai PSA.
Ada juga penghidap kanser prostat yang mempunyai nilai PSA normal.
Begitu juga mereka yang mengambil ubat BPH dan obes, mereka kebiasaannya mengalami penurunan pada paras PSA.
Walaupun terdapat nilai rendah dan tinggi bagi bacaan PSA, apa yang menjadi fokus dalam penilaian bacaan tersebut adalah perubahan nilai dalam satu tempoh masa.
Ini bermakna, peningkatan bacaan PSA dalam satu tempoh masa tertentu (berdurasi) adalah lebih berharga berbanding dengan bacaan PSA tinggi pada satu masa yang spesifik.
Terdapat beberapa variasi bacaan PSA yang akan dipantau dalam mendiagnosis masalah kanser prostat:
- Halaju PSA – Apabila terdapat peningkatan signifikan pada nilai PSA dalam satu tempoh masa tertentu, ia memberikan petunjuk bahawa pesakit mungkin mengalami kanser prostat.
- PSA bebas – Bacaan ini merujuk kepada nilai PSA yang tidak terikat kepada protein. Jika bacaan tersebut kurang daripada 10 peratus, puncanya mungkin kanser. Jika nilai lebih 25 peratus, puncanya mungkin tumor bukan kanser.
- Ketumpatan PSA – Bacaan ini mengukur jumlah PSA berbanding dengan saiz prostat melalui pemeriksaan ultra bunyi atau MRI. Semakin meningkat bacaan ketumpatan, semakin tinggi risiko diagnosis kanser.
- PSA spesifik dengan usia – Bacaan ini menentukan jumlah normal bagi PSA pada setiap peringkat usia. Signifikan nilai bacaannya masih tidak jelas dan ia tidak begitu tepat untuk mendiagnosis kanser.
- Pro-PSA – Bacaan ini dapat membezakan peningkatan bacaan PSA yang disebabkan oleh BPH dengan kanser prostat.
Pemeriksaan rektal digital (DRE)
Doktor akan masukkan jari bersarung tangan dengan bahan pelincir ke dalam rektum untuk memeriksa kelenjar prostat.
Keadaan permukaan tidak normal seperti ketulan, permukaan keras atau kesakitan semasa pemeriksaan merupakan salah satu tanda kanser prostat.
Walaupun prosedur ini tidak selesa, ia perlu dilakukan seiring dengan ujian PSA bagi mendapatkan diagnosis yang tepat.
Tanda tumor
Walaupun penggunaan ujian darah yang mengesan tanda tumor tidak dikira rutin, ia boleh digunakan dalam proses menyaring risiko kanser prostat.
Tanda tersebut boleh dihasilkan oleh sel kanser itu sendiri atau tindak balas badan terhadap kewujudan kanser.
Antara ujian yang boleh digunakan untuk mengesan tanda tumor adalah skor 4k dan indeks kesihatan prostat (PHI).
Ujian tersebut hanya meramal kecenderungan lelaki untuk mendapat kanser prostat.
Kontroversi dan risiko bagi ujian prostat PSA
Terdapat beberapa kontroversi yang berkait dengan keupayaan ujian PSA dalam mendiagnosis penyakit kanser prostat.
Antaranya adalah keputusan PSA boleh menyebabkan masalah overdiagnosis dan pemberian rawatan tidak sepatutnya kepada mereka yang bukan menghidap kanser prostat.
Oleh sebab itu, ujian saringan PSA tidak boleh digunakan untuk mendiagnosis barah prostat tanpa ujian sokongan yang lain.
Kajian yang diterbitkan oleh Unit Perkhidmatan Pencegahan Amerika Syarikat di laman jurnal JAMA pada tahun 2018 menunjukkan kematian akibat kanser prostat boleh dikurangkan melalui program ujian saringan berkesan.
Walau bagaimanapun, risiko untuk mendapat keputusan positif palsu, komplikasi biopsi (jika biopsi dibuat) dan overdiagnosis tinggi.
Tambahan pula, rawatan bagi kanser prostat boleh menyebabkan pelbagai jenis kesan sampingan dari aspek seksual, urinari dan risiko dimasukkan ke dalam hospital.
Prosedur dan ujian makmal bagi barah prostat
Jika ujian saringan menunjukkan tidak normal, maka ujian diagnostik akan dibuat untuk mengesahkan diagnosis kanser prostat.
Antara pemeriksaan dan ujian makmal yang akan dijalankan adalah seperti berikut.
Ultrabunyi transrektal (TRUS)
Pemeriksaan menggunakan alat ultrabunyi transrektal boleh membantu mengesan perubahan tidak normal pada kelenjar prostat.
Sebelum pemeriksaan bermula, prosedur enema akan dibuat untuk kosongkan rektum.
Kemudian, alat prob ultrabunyi akan dimasukkan ke dalam saluran rektum bagi melihat keadaan prostat.
Jika pemeriksaan prostat tidak normal, prosedur biopsi akan dijalankan bagi mengesahkan diagnosis kanser.
Biopsi 12-teras secara rambang
Apabila pemeriksaan dan ujian klinikal menunjukkan keputusan tidak normal, prosedur biopsi 12-teras secara rambang akan dilakukan.
Doktor akan mengambil sampel tisu dari 12 kawasan rambang pada kelenjar prostat dan pemeriksaan akan dibuat di bawah mikroskop.
Oleh sebab prosedur ini boleh memberikan ketidakselesaan dan rasa sakit kepada penghidap, ubat bius akan diberikan. Prosedur ini akan mengambil masa 20 hingga 30 minit.
Komplikasi yang boleh berlaku termasuklah pendarahan, darah dalam najis, air kencing dan air mani untuk beberapa hari.
MRI pelbagai parametrik untuk nilai tahap kanser prostat
Penggunaan pengimejan resonans magnet (MRI) pelbagai parametrik boleh mengesan sel kanser prostat dengan tahap ketepatan yang lebih tinggi berbanding dengan teknik biopsi 12 teras secara rambang.
Pemeriksaan pesakit menggunakan mesin MRI akan dibuat terlebih dahulu sebelum biopsi dilakukan.
Walaupun ujian ini dapat mengurangkan masalah overdiagnosis, namun bukan semua fasiliti kesihatan mempunyai kemudahan tersebut.
Pelakuran Biopsi-MRI
Sama seperti MRI pelbagai parametrik, prosedur pelakuran biopsi MRI boleh menjamin ketepatan diagnosis bagi penyakit kanser prostat.
Prosedur ini menggunakan mesin MRI dan TRUS bagi mengesan kawasan tidak normal pada kelenjar prostat. Kemudian, biopsi akan dibuat berdasarkan hasil ujian tersebut.
Ujian RNA Gen 3 Kanser Prostat (PCA3)
Bagi golongan tua, sekiranya ujian biopsi tidak menunjukkan kanser meskipun paras PSA berada pada tahap yang tinggi, maka ujian genetik PCA3 boleh dilakukan.
Prosedur ini akan membandingkan nisbah bagi nilai PCA3 RNA dan PSA RNA yang terkandung di dalam air kencing.
Sekiranya ia melebihi paras normal, biopsi perlu dibuat semula.
Ujian untuk mengukur tahap kanser
Maklumat berkaitan dengan tahap kanser boleh mengukur sejauh mana kanser sudah merebak atau seagresif mana ia beroperasi.
Terdapat pelbagai jenis ujian boleh mengukur maklumat tersebut seperti ini:
Penggredan Pemarkahan Gleason untuk kanser prostat
Bagi mengukur markah Gleason, dua sel kanser akan diperolehi daripada dua lokasi berbeza.
Ia akan diberikan markah di antara 3 hingga 5 berdasarkan kepada rupa di bawah mikroskop.
Skor 3 bermaksud sel prostat tersebut kelihatan seperti sel prostat normal manakala skor 5 sel prostat bermaksud ia kelihatan seperti sel yang tidak normal.
Kedua-dua skor tersebut kemudiannya akan dicampurkan bagi menentukan skor Gleason keseluruhan.
Terjemahan kepada nilai skor tersebut adalah seperti berikut:
- Gleason 6: Kanser yang mendapat skor 6 merupakan barah gred rendah berikutan ia mempunyai rupa persis sel prostat normal. Sel kanser tersebut mempunyai kemungkinan yang sangat rendah untuk membesar.
- Gleason 7: Ini merupakan markah bagi kanser prostat tahap sederhana. Rupa sel kanser kelihatan seperti tidak normal.
- Gleason 8 hingga 10: Markah ini diberikan kepada kanser bergred tinggi. Sel kanser tidak kelihatan langsung seperti sel prostat normal. Ia mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk membesar dan mengalami proses metastasis.
Berdasarkan kepada markah yang diperolehi, ia akan diklasifikasikan kepada beberapa gred:
- Gred kumpulan 1: Ketumbuhan Gleason 6
- Gred kumpulan 2: Ketumbuhan Gleason 7 (3 + 4 = 7). Struktur kelenjar pada sel kanser ini masih lagi dalam keadaan baik.
- Gred kumpulan 3: Ketumbuhan Gleason 7 (4 + 3 = 7). Struktur kelenjar pada sel kanser ini dalam keadaan yang tidak elok.
- Gred kumpulan 4: Ketumbuhan Gleason 8
- Gred kumpulan 5: Ketumbuhan Gleason 9 dan 10
Ujian makmal
Selain daripada ujian PSA, ukuran pada paras bahan kimia alkaline phosphatase di dalam darah boleh digunakan bagi mengetahui tahap kanser.
Lazimnya, paras bahan kimia ini akan meningkat sekiranya kanser sudah tersebar ke tulang.
Ujian imbasan
Beberapa jenis ujian imbasan boleh dibuat untuk mengetahui tahap kanser prostat:
- MRI
- Imbasan CT
- Imbasan tulang
- Imbasan PET
Ujian genetik
Terdapat beberapa jenis mutasi genetik yang sering dikaitkan dengan tahap kanser agresif. Antaranya adalah:
- Mutasi pada maklumat genetik BRCA1 dan BRCA2
- ATM
- CHEK2
- NBD
Buat masa sekarang ujian ini hanya akan dijalankan bagi populasi sasaran tertentu seperti mereka yang mempunyai latar belakang keluarga dengan masalah kanser prostat.
Konklusi
Proses bagi mendiagnosis penyakit prostat (kanser) dilakukan secara berperingkat.
Oleh sebab setiap ujian mempunyai kebaikan dan kekurangan yang tersendiri, maka pemeriksaan perlu dilakukan dengan teliti bagi mengesahkan diagnosis barah.
Sekiranya anda mengalami simptom kanser, sila berjumpa dengan doktor di fasiliti kesihatan terdekat.